They're My Best Buddies

Friday, 30 December 2011

Mimpi Semalam - Bab 10


Sejambak bunga mawar putih kembali menarik perhatian Dania. Dia yang sedang menyiapkan laporan audit ketika bertugas di Johor Bahru sepanjang minggu lepas, kini mengalihkan perhatiannya kepada kad yang terselit di celahan jambangan bunga tersebut. Dania cuba untuk mengelak dari mengalihkan pandangannya ke arah Farah, Sofea dan Hani. Dia sedar, ketiga-tiga pasang mata milik mereka sedang asyik memerhatinya.

Love to see you smile
Your admirer

            Cuba untuk tidak tersenyum ketika membaca baris ucapan ringkas di dalam kad itu, Dania meletakkan kembali jambangan bunga mawar putih di tepi sudut mejanya. Dia kembali menyambung semula kerjanya yang terhenti sebentar tadi.

            “Nia, orang yang sama ke bagi bunga ni..?” tanya Sofea yang kini sedang berdiri di hapadan Dania.

            Dania mengangkat mukanya memandang Sofea. Gadis itu kelihatan tidak sabar-sabar ingin tahu tentang pengirim bunga tersebut. Dania sekadar mengangkat bahu, sebagai menjawab pertanyaan Sofea. Reaksi Dania itu menimbulkan sedikit rasa tidak puas hati dalam diri Sofea. Pantas tangan Sofea mencapai jambangan bunga itu.

            “Oh, ada kad!” ujar Sofea sedikit teruja.

            Dania hanya menggelengkan kepala melihat gelagat temannya itu. Suara teruja Sofea menarik minat Farah dan Hani untuk menghampiri.

            “Apa yang tertulis dalam kad tu, Opie?” tanya Hani.

            Love to see you smile…” balas Sofea ringkas. Dahinya berkerut seribu. Siapakah pengirim misteri bunga mawar putih tersebut menjadi tanda tanya.

            “Itu je?” tanya Farah pula. Dia mengambil kad tersebut dari tangan Sofea.

            “Aku nak tahu siapa peminat misteri kau ni, Nia…” kata Sofea, berusaha untuk merendahkan nada suaranya.

            Dania bangun perlahan. Menghadap ketiga-tiga orang temannya itu. Sambil tersenyum, dia mengambil semula kad dari tangan Farah dan jambangan bunga dari tangan Sofea, lalu mengarahkan mereka bertiga kembali ke tempat mereka semula.

            “Alah, tak sporting betul!” bentak Hani. Namun, dia tetap melangkah menuju ke tempatnya. Farah dan Sofea mengekori perlahan di belakang. Sempat Sofea berbisik perlahan kepada Farah dan Hani yang dia akan mencari siapakah pengirim misteri tersebut.

            “Cari sampai dapat tau!” balas Hani, juga dengan suara yang berbisik.

            “Kalau kau dapat cari siapa pengirim bunga ni, kami belanja kau makan. Kau cakap je nak makan apa,” sahut Farah, masih dalam nada suara yang terkawal. Sesekali mereka menoleh ke arah Dania. Nampaknya, gadis itu tidak mendengar perbualan mereka bertiga.

            “Betul ni..?” tanya Sofea meminta kepastian. Matanya bersinar ceria. Pantang terdengar pasal makan!

            “Kau ni kalau pasal makan, memang nombor satu!” tingkah Hani perlahan. Dia memang tahu tabiat kuat makan temannya itu.

            Sofea hanya tertawa. Namun, dia telah merancang sesuatu untuk mengetahui pengirim bunga mawar putih tersebut. Sambil terangguk-angguk, Sofea kembali menyambung kerjanya semula. Farah dan Hani yang tersenyum melihat gelagat Sofea, turut sama menyambung semula kerja mereka.

                                                            *          *          *

Papermate : Kak Nia tak tahu siapa yang bagi ke..?

Bunga_Emas : Kalau akak tahu kan best

Papermate : Tapi seronoklah kak Nia ada peminat misteri kan…hehehe

Bunga_Emas : Seronoklah sangat! Akak risau ni…

Papermate : Kak Nia nak risau apa..?

Bunga_Emas : Macam mana kalau bekas tunang akak yang bagi bunga tu..? Dulu dia selalu bagi bunga mawar putih untuk akak. Akak rasa selain dia, takde siapa lagi yang tahu akak suka bunga mawar putih…

Papermate : Hmm…apa salahnya kalau dia yang bagi..?

Bunga_Emas : Tak salah…tapi akak tak suka. Dah la. Lupakan pasal bunga tu. Irfan dah siap berkemas untuk esok..?

Papermate : Dah siap. Tadi ayah su tolong packing baju. Irfan tak tahu nak kemas apa. Irfan tolong tengok je…hehehe

Bunga_Emas : Sedih pula rasanya nak berpisah dengan Irfan. Irfan jangan lupakan akak tau. Jaga diri baik-baik.

Papermate : Alah, kak Nia kan dah janji nak datang melawat saya nanti…?

Bunga_Emas : Yelah. Tapi, bukanlah hari-hari, kan? Ada masa lapang pasti akak datang melawat Irfan di sana.

Papermate : Kalau kak Nia bosan datang seorang, kak Nia boleh datang dengan ayah su. Baru best sikit…

Bunga_Emas : Apa yang best…??

Papermate : Best sebab dapat kunjungan serentak dari 2 orang yang saya sayang!

            Dania tersenyum melihat baris ayat tersebut. Terharu rasanya bila Irfan mengakui tentang perasaannya itu. Dania segera membalas dan menyatakan yang dia turut menyayangi kanak-kanak itu.

Papermate : Kak Nia, saya nak tidur dulu. Esok pagi nak kena bangun awal. Kak Nia jaga diri baik-baik ye. Jangan nakal-nakal tau!

Bunga_Emas : Eh, dia pula yang pesan kat kita jangan nakal-nakal..okay la…akak tak nakal. Akak jadi orang baik je. Irfan pun jangan nakal-nakal tau!

Papermate : Kak Nia nak nakal dengan ayah su boleh. Dengan orang lain, jangan tau! Hahahaha…

Bunga_Emas : Ish, budak ni!

            Setelah mengucapkan selamat malam, Dania segera mematikan komputer ribanya. Dalam hati dia berdoa moga-moga perjalanan Irfan dan Joshua akan dipermudahkan.

            Ayat yang tertulis di dalam kad yang disertakan di dalam jambangan bunga mawar putih siang tadi kembali menerpa ruang ingatannya. Dia sendiri benar-benar ingin mengetahui siapakah pengirim bunga tersebut. Jika pengirimnya adalah orang yang sama yang pernah mengirim bunga seperti itu kepadanya sebelum ini, dia harus segera mencarinya. Tapi, dia tidak pernah mengenali sesiapa yang bekerja di Casadaya Holdings. Itu saja maklumat yang dia ada tentang si pengirim.

            ‘Esok aku mesti pergi jumpa Stephanie. Aku nak check senarai supplier yang ada. Atau mungkin client..?? Ah, kalau client aku boleh check dengan Johnson,’ hati Dania berbicara sendiri. Merencana tindakan yang bakal dibuat pada keesokan harinya. Dia tersenyum puas. Ya, itulah jalan terbaik untuk dia mengetahui siapakah pengirim bunga tersebut.

                                                            *          *          *

            Dania buntu. Nama Casadaya Holdings tiada langsung dalam senarai pembekal ataupun pelanggan. Baik Stephanie, mahupun Johnson, kedua-duanya agak bingung apabila didesak oleh Dania untuk mencari nama syarikat tersebut.

            Dania kembali duduk di tempatnya. Dia cuba berfikir dengan cara apa lagi yang membolehkan dia mengetahui pengirim bunga tersebut. Nama Shima melintasi kotak fikirannya. Dania bergegas menuju ke tempat Shima. Gadis yang berkerja di bahagian receptionist itu memang jarang bercakap dengannya. Namun, Dania sudah tidak punya cara lain lagi.

            “Shima!” panggil Dania dari jauh.

            “Eh, cik Dania…terkejut saya. Ada apa hal ni?”

            “Saya nak minta tolong sesuatu, boleh tak..” tanya Dania. Dia berdiri penuh harap menghadap Shima.

            “Err, boleh…tapi, tolong apa..?” Shima bertanya balas. Dia hairan melihat Dania yang tiba-tiba datang bercakap dengannya. Selama ini mereka hanya berbalas senyuman. Jarang sekali mereka berpeluang untuk berbual. Shima hanya akan bertemu dengan Dania jika ada surat-surat yang perlu di tandatangani oleh gadis itu saja.

            “Tapi, perkara ni perlu dirahsiakan…” ujar Dania teragak-agak. Dia terfikir mungkinkah agak keterlaluan meminta pertolongan seseorang tetapi mahu dirahsiakan.

            “Saya macam dah boleh agak kot. Mesti pasal pengirim bunga mawar putih tu, kan..?” balas Shima, mengejutkan Dania.

            “Eh, macam mana awak tahu..?”

            “Tadi Opie ada datang jumpa saya, tanya perkara yang sama,” beritahu Shima.

            “Hah..??”

            “Tapi, maaflah cik Dania. Saya sendiri tak tahu siapa pengirim bunga tu,” beritahu Shima lagi dengan pandangan yang bersalah.

            “Eh, takpe. Saya bukan nak tanya siapa yang kirim bunga tu. Tapi, saya nak minta tolong, lepas ni kalau ada lagi florist datang hantar bunga untuk saya, awak paksa dia untuk beritahu siapa yang kirim. Kalau dia tak nak beritahu atau dia sendiri tak tahu, suruh dia bawa balik bunga tu. Jangan terima, boleh…?”

            “Oh, macam tu pula. Hmm, baiklah. Kalau itu yang cik Dania mahukan,” balas Shima.

            “Terima kasih. Dan tolong…”

            “…rahsiakan,” sambung Shima sebelum Dania sempat menghabiskan kata-katanya. Shima tersenyum sebagai membalas senyuman Dania.

            “Lagi satu, jangan beritahu apa-apa pada Sofea, Hani dan Farah tentang hal ni. Saya tak nak ada sesiapa pun yang tahu, boleh?”

            Shima sekadar mengangkat ibu jarinya sebagai tanda dia faham dengan permintaan Dania itu. Dania berlalu pergi dengan senang hati. Dia yakin Shima boleh dipercayai. Walaupun amat jarang berbual, namun selama dia bekerja di situ, belum pernah lagi desas-desus yang mengatakan Shima itu jenis yang suka membawa mulut.

Pengisian Jumaat (2)

Bismillahirrahmanirrahim

Firman Allah S.W.T :

Barangsiapa yang menentang Rasulullah setelah jelas kebenaran baginya,
dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang mukmin,
Kami biarkan dia berkuasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu,
dan Kami masukkan dia ke dalam neraka Jahanam,
dan Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali
(Surah An-Nisa : ayat 115)

Kepala Kusut Menaiki Tren KTM

Assalammualaikum W.B.T

Selamat pagi semua. Awal pula aku tulis entri hari ni. Tapi, takpela..sebab kejap lagi nak fokus pada kerja ** ye ke..??? Banyak kerja la kawan-kawan. Dah la hari ni aku tinggal seorang kat ofis. Semua pakat cuti beramai-ramai. Sampai hati diorang tinggalkan aku keseorangan macam ni..sob..sob =(

Dah..dah..ngada-ngada lebih plak! Okay..sambung balik cerita. Nak cerita pasal tren komuter (KTM). Semalam aku datang kerja dari Bukit Beruntung ---> KL...jauh juga ek. Tapi, tak kisah. Bukan nak cerita pasal perjalanan yg jauh tu. Nak cerita pasal tren yg aku naik semalam.

Aku naik tren pukul 6pm la lebih kurang. Punyalah ramai manusia kat stesen tu! Aku pun sempatla menyelitkan diri kat celahan manusia di bahagian menunggu koc wanita. Sampai situ, okay lagi. Aku pun layan perasaan sendiri jelah. Bila tren sampai je...yg sopan pun bertukar jadi ganas...haa, amekaw! Aku terpinga-pinga kejap. Dah lama tak naik tren KTM ni. Jadi, agak blur sekejap dengan situasi tu.

Tapi, aku berjaya juga la meloloskan diri ke dalam tren. Kat stesen KL Sentral tu je koc dah penuh gile. Bak kata orang tua-tua, "macam ikan sardin" Macam tu la keadaan kami kat dalam tren tu. Tak kisah, asalkan aku boleh bernafas dengan jayanya..tu dah cukup baik.

Sampai je kat stesen Kuala Lumpur, punyala ramai yg dah menanti. Diorang ni memang main sumbat je. Tak fikir dah yg tren tu penuh ke apa ke. Yg best nya, ada 3 orang ni...2 Melayu dan 1 India. Bertolak-tolak nak masuk dalam tren. Aku memang dah tersepit gile dah. Tak boleh nak gerak-gerak lagi. Mata je boleh gerak-gerak kiri dan kanan. Kat situ takpe lagi. Bila samapi je stesen Bank Negara, ada pula yg nak keluar. Tapi, tak sempat orang nak keluar, yg si India tu tiba terjatuh! Semua orang pandang la. Biasa la tu..rakyat Malaysia kan prihatin (",)

Dia bangun je terus jerit, "Siapa tolak saya??? B***h, b**i, s**l...! Tak pernah naik tren ke mahu tolak-tolak..??" Erkk...aku kembali blur. Aku rasa takde siapa yg tolak dia. Dia terjatuh sebaik saja pintu tren terbuka. Dah dia bersandar kat pintu. Tren penuh macam ikan sardin. So, possibility untuk jatuh macam tu memang tinggi la kan. Yg 2 orang Melayu tu pun sama naik juga. Tiba-tiba jadi geng dengan si India tu. Memaki hamun orang-orang kat dalam tren. Hmm...entah la. Hahaha...tak pasal-pasal aku dan yg lain-lain terpaksa dengar kesopanan mulut diorang tu.

Ada seorang gurl berdiri depan aku tu asyik geleng kepala je. Sempat dia beritahu yg itulah pertama kali dia menaiki tren KTM. Dia sangat-sangat terkejut dengan keadaan tu. Aku angguk je. Walaupun aku dah pernah naik tren KTM sebelum ni, tapi ini la pengalaman pertama aku berhadapan dengan situasi yg agak tak sopan macam ni. Nasib baik koc wanita. Kalau kat tempat koc yg bercampur-campur tu, macam mana la pula agaknya ye..?

p/s : sengaja **** beberapa perkataan kat atas...aku tahu korang faham maksudnya...

Thursday, 29 December 2011

Dia Dewa Hatiku - Bab 9


Syaqila terjaga dari lenanya. Dia segera menyeka peluh yang membasahi dahi. Mimpinya sebentar tadi bagaikan nyata. Dia beristighfar berkali-kali sebelum bangun untuk membuka lampu biliknya.

            “Mimpi ni menakutkan betul!” rungut Syaqila. Masih terbayang di ruang matanya wajah sinis Emran memandangnya di dalam mimpi itu. Ada seorang gadis di sisi Emran. Gadis itu turut memberi satu pandangan yang menjengkelkan terhadap Syaqila. Tapi, siapakah dia..? Mengapa dia muncul sekali dalam mimpi ni..?

            Syaqila segera mencapai telefon bimbitnya. Sudah hampir pukul 3 pagi. Dia teragak-agak untuk menghubungi Emran. Bimbang lelaki itu akan memarahinya kerana mengganggu tidur, Syaqila membatalkan terus niatnya. Dia mengingatkan dirinya untuk menghubungi Emran, awal pagi esok.

            Selimut ditarik menutup sepenuhnya tubuh kecil Syaqila. Dia cuba menepis ingatan mimpinya sebentar tadi. Di dalam mimpi itu, dia dan Emran telah pun mendirikan rumahtangga. Namun, tiba-tiba muncul seorang gadis dan dilihat sedang bermesra-mesraan dengan Emran di atas katil mereka!

            “Tak guna punya perempuan! Berani dia mengganggu hubungan aku dengan Emran! Tapi, siapa dia..??” Syaqila berbicara dengan dirinya sendiri. Buat seketika, dia agak terganggu dengan kehadiran gadis itu.

            Syaqila menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia cuba menenangkan diri. Mimpi itu hanyalah mainan tidur. Dia tidak mahu mimpi-mimpi sebegitu mengganggu ketenangannya. Namun, semakin dia cuba untuk melupakannya, semakin jelas bayangan Emran dan gadis itu muncul di ruang ingatan.

            “Fiq…” panggil Syaqila. Dia benar-benar memerlukan lelaki itu di saat ini. Terlupa sebentar akan hukuman yang telah dijatuhkan ke atas lelaki itu beberapa hari yang lepas, Syaqila mengelipkan matanya sebanyak tiga kali dengan harapan Fiqry akan segera muncul di depan mata.

            “Saya kat sebelah awak ni…” suara lembut Fiqry kembali menenangkan hati Syaqila.

            “Saya takut,” bisik Syaqila. Suaranya kedengaran sayup-sayup. Fiqry hanya berdiri kaku melihat gadis itu bangun dan duduk menghadapnya.

            “Awak tak perlu takut selagi saya ada di sini. Saya sentiasa ada untuk awak, ingat?” ucap Fiqry. Dia tersenyum ketika melihat Syaqila mulai mengukir senyuman.

            “Kenapa Emran tak macam awak…? Kenapa Emran tak selalu ada waktu saya perlukan dia..? Kenapa Emran sering menyakitkan hati walaupun saya sayangkan dia..?” adu Syaqila ketika Fiqry mengambil tempat duduk di sebelahnya.

            “Apa yang Emran dah buat..?” tanya Fiqry, berpura-pura tidak tahu. Hakikatnya, dia melihat sendiri kesedihan Syaqila dan kecurangan Emran.

            “Dia janji nak kahwin dengan saya,” beritahu Syaqila. Namun, ada nada was-was pada suaranya.

            “Kan bagus macam tu. Awak dapat kahwin dengan insan yang awak sayang. Kenapa mesti bersedih begini?” tanya Fiqry lagi.

            “Saya rasa tak sedap hatilah. Tadi, saya mimpikan Emran. Ada seorang perempuan di sisi dia. Saya takut dia tinggalkan saya dan pilih perempuan tu,” Syaqila menyambung luahan rasanya.

            “Itukan cuma mimpi. Awak terlalu banyak fikir, Syaqila. Awak tidur ye. Esok pagi awak call Emran. Mungkin dengan cara tu boleh meredakan sikit keresahan hati awak ni,” Fiqry mencadangkan. Walhal, dia sebenarnya telah tahu niat Syaqila yang mahu menghubungi Emran pada keesokan harinya.

            “Saya takut,” Syaqila mengulangi sekali lagi tentang rasa takutnya itu. Fiqry memaut bahu gadis itu. Bagaimana dia mahu menjelaskan kepada Syaqila agar melupakan saja lelaki yang tidak menghargainya itu?

            “Fiq, macam mana kalau Emran betul-betul tinggalkan saya?”

            Fiqry tidak terus menjawab. Dia tahu memang itu yang akan berlaku. Emran pasti akan meninggalkan Syaqila satu hari nanti. Cuma Syaqila saja yang masih belum dapat menerima kenyataan. Dia tidak mahu Syaqila terus-terusan ditipu oleh Emran. Namun, dalam masa yang sama juga, dia tidak mahu melihat kesedihan sering bertandang dalam hati gadis itu.

            “Syaqila, anggaplah akan ada lelaki yang terbaik telah ditakdirkan untuk awak. Kalau Emran lelaki yang telah ditakdirkan untuk awak, awak tak perlu rasa takut begini. Awak kena yakin, setiap apa yang diciptakan ke atas manusia ni, telah tertulis sejak azali lagi,” pujuk Fiqry.

            “Fiq, boleh saya tanya sesuatu?”

            “Apa saja…”

           “Awak ni manusia ke..?” pertanyaan Syaqila jelas menimbulkan perasaan lucu di hati Fiqry. Dia tersenyum riang. Dia menilik setiap inci wajah Syaqila. Dia tidak perlu menjawab pertanyaan itu. Syaqila pasti akan sedar siapa dirinya yang sebenar kelak. Fiqry mengekalkan senyumannya sehingga Syaqila mengikut untuk tersenyum sama.

            “Saya rasa awak ni bukan manusia. Tapi, saya tak tahu kenapa awak boleh terlalu faham tentang perasaan manusia…”

            Fiqry hanya mengangguk. Bersetuju dengan pendapat Syaqila tentang siapa dirinya. Namun, dia sedang memikirkan kemungkinan jawapan yang sesuai untuk perasaan ingin tahu Syaqila tentang kebolehannya.

            “Sukar saya nak jelaskan tentang perkara itu, Syaqila. Tapi, saya yakin satu hari nanti awak pasti tahu,” balas Fiqry tenang. Dia melihat dahi Syaqila yang berkerut bagaikan sedang memikirkan sesuatu.

            Syaqila akhirnya akur bahawa Fiqry tidak mungkin akan menjelaskan siapa dirinya yang sebenar. Syaqila yang terasa ingin menyambung semula tidurnya sempat berpesan kepada Fiqry agar tidak meninggalkan dirinya keseorangan di situ. Fiqry dengan senang hati berjanji untuk terus kekal di situ menemani Syaqila.

Kerana Takdir - Bab 11


“Reza tak boleh buat keputusan macam ni. Mama dan papa dah setuju!” bentak Suhana. Dia masih tidak boleh menerima kenyataan bahawa Reza tidak mahu menerima dirinya sebagai isteri.
            “Selama ni Reza anggap kakak macam kakak Reza sendiri. Macam mana Reza nak kahwin dengan kakak..?” balas Reza, tidak mahu mengalah. Dia semakin hairan dengan sikap Suhana. Bagaimanalah gadis itu boleh menyimpan perasaan terhadapnya?
            “Tapi Ana bukan kakak kandung Reza. Tak jadi masalah kalau kita nak kahwin, kan..?”
            “Ya Allah, bawa mengucap kakak! Kalau kakak teringin sangat nak berumahtangga, kakak carilah lelaki yang lebih layak. Reza bukan lelaki yang sesuai untuk kakak. Dan Reza tak akan mengahwini kakak!”
            Suhana menghempas pintu bilik Reza. Dia bergegas keluar dari bilik lelaki itu dengan harapan mahu bertemu dengan mama dan papa mereka. Lelaki yang selama ini menjadi idaman telah mengecewakan dirinya. Suhana masih tetap berdegil mahu mengahwini lelaki itu. Hanya dengan ikatan perkahwinan saja yang akan membuatkan Reza terus dekat dengan dirinya. Tidak sanggup melepaskan lelaki itu ke pangkuan perempuan lain.
            “Kenapa ni, Ana? Masam je muka…” tegur Dato’ Hasrul ketika terlihat wajah Suhana yang agak muram itu.
            “Reza tu menyakitkan hati Ana!” Suhana terus mengadu.
            Aduan Suhana itu menarik perhatian Dato’ Hasrul. Dia memanggil anak gadisnya itu duduk di hadapannya. Suhana terus saja duduk tanpa sebarang bantahan. Dia mula menyusun ayat untuk diberitahu kepada Dato’ Hasrul tentang keputusan Reza.
            “Ana nak cepatkan majlis kahwin ni, papa! Tak boleh tunggu lama-lama. Nanti Reza buat hal pula..”
            “Papa tak nak buat sesuatu dengan tergesa-gesa. Papa dan mama akan cuba untuk pujuk Reza supaya dia bersetuju dengan perkahwinan ni,” lembut Dato’ Hasrul bersuara, menenangkan hati panas Suhana.
            “Tapi Reza dah buat keputusan. Dia tetap tak mahu memperisterikan Ana,” Suhana memberitahu Dato’ Hasrul mengenai keputusan Reza itu.
            “Reza dah anggap Ana macam kakak dia dari kecil lagi. Tentulah susah untuk dia terima Ana. Ana kena bagi dia masa. Ambillah hatinya. Jangan asyik nak berkeras je,” pujuk Dato’ Hasrul. Ketika Suhana memberitahu tentang perasaannya terhadap Reza, dialah lelaki yang paling gembira sekali dengan berita tersebut. Hasratnya untuk menguatkan lagi ikatan kekeluargaan dengan Reza semakin menjadi nyata. Dia terus saja bersetuju dengan permintaan Suhana yang mahu mengahwini Reza.
            “Tapi, Ana tak nak jadi kakak Reza!”
            “Ana tetap akan berkahwin dengan Reza, walau apa pun keputusan dia. Reza tak akan berani menentang keputusan papa. Ana bersabar ye, sayang...” pujuk Dato’ Hasrul lagi. Suhana kembali tenang. Dia mulai tersenyum mendengar kata-kata Dato’ Hasrul yang berupa jaminan itu.
            Suhana kemudian meminta diri untuk kembali ke dalam biliknya. Dato’ Hasrul tidak membantah. Dia mengeluh sebaik saja langkah Suhana jauh meninggalkannya. Impiannya selama ini untuk memiliki anak kandung lelaki tidak pernah tertunai. Dia yang disahkan mandul oleh doktor merasa begitu kecewa. Segala hasil penat lelahnya selama ini tiada siapa yang akan mewarisinya.
            Namun, dia bersyukur kerana isterinya sentiasa berada di sisi. Tidak pernah walau sekalipun, Datin Noraini melahirkan hasrat untuk bercerai kerana ingin memiliki zuriatnya sendiri. Malah, wanita itu juga yang mencadangkan agar mereka mengambil anak angkat bagi melengkapi kehidupan mereka berdua.
            Kehadiran Reza di dalam keluarga itu benar-benar menceriakannya. Tambahan pula, Reza merupakan anak yang amat berbudi bahasa dan tahu menghormati orang lain. Bukan tidak pernah Dato’ Hasrul melihat Reza membantu orang gaji di rumah mereka melakukan kerja-kerja rumah. Dia pernah menegur sikap Reza. Namun, anak angkatnya itu tidak mahu mengikut katanya.
            Dato’ Hasrul juga tahu akan persahabatan Reza dengan teman-teman di sekolah mahupun di kolej. Reza tidak berkawan dengan anak-anak orang kenamaan. Reza lebih selesa berkawan dengan mereka yang bertaraf biasa dan sederhana. Walaupun Dato’ Hasrul merasakan sikap Reza itu sebagai langkah yang tidak baik untuk terus kekal menjaga nama baiknya sebagai seseorang yang berstatus penting dalam masyarakat, namun dia tidak boleh berkeras dengan Reza. Dia tidak mahu Reza lari meninggalkan mereka jika dia terlalu berkeras. Walaupun dia tahu Reza tidak akan membantah setiap arahannya, namun dia bimbang jika Reza memberontak di dalam diam.
            Kali ini, Dato’ Hasrul akan pastikan Reza mesti menurut perintahnya. Reza mesti menikahi Suhana, tanpa ada satu alasan untuk menolaknya. Hanya itu saja caranya untuk dia pastikan Reza kekal menjadi anaknya.
            Perlahan-lahan Dato’ Hasrul meraup wajah tuanya. Betapa sayangnya dia terhadap Reza, sehinggakan dia tidak sanggup kehilangan anak itu. Dia tahu dia tidak silap memilih Reza sebagai anak angkatnya, 10 tahun yang lalu.
                                                            *         *          *
            “Kau cubalah berbincang dengan orang tua kau. Mungkin mereka akan faham. Hal kahwin macam ni mana boleh dipaksa,” tenang Idham memberikan pendapatnya.
            “Susah sikitlah nak bincang dengan papa dan mama. Diorang macam suka je kalau aku kahwin dengan kak Ana tu!”
            “Ataupun, kau beritahu je yang kau dah ada pilihan lain. Apa susah..?” Idham sekali lagi memberikan pendapat yang berbeza.
            “Masalahnya aku memang takde pilihan lain. Lagipun, aku tak pandai menipulah, Id…”
            Idham memandang wajah Reza. Memang temannya itu tidak pandai menipu. Ketika mereka kecil dahulu, Reza merupakan antara teman-teman yang sering dibuli kerana kelurusan sikap yang dimilikinya.
            “Eh, Sarah kan ada?” tiba-tiba Idham bersuara, mengejutkan Reza. Kedua-dua mereka saling berpandangan.
            “Kau ni tak habis-habis dengan Sarah. Aku dengan dia tak pernah ada apa-apalah! Mungkin Sarah pun dah ada boyfriend,” balas Reza tersipu-sipu. Dia tidak menfikan bahawa Sarah memang teman rapatnya. Malah, mereka berdua sering menghabiskan masa bersama-sama ketika di Rumah Bakti dahulu. Namun, dia sendiri sukar untuk mentafsirkan hubungan itu atas dasar teman atau sebaliknya.
            “Alah, korang sama-sama ada hati, kan..? Cuma malu nak mengaku je. Apa kata kau mulakan dulu. Gentleman la sikit, kawan!” ujar Idham sambil tersengih-sengih.
            “Ish, mengarutlah kau ni, Id! Tak mungkinlah Sarah tu suka kat aku. Dia anggap aku macam kawan dia je..”
            “Takpe…kalau kau malu nak mengaku dengan Sarah, biar aku tolong beritahu dia bagi pihak kau, macam mana..?” Idham semakin bersemangat dengan ideanya itu.
            Reza sekadar menggelengkan kepala. Masak benar dengan sikap Idham yang suka mengusiknya. Dalam fikirannya sudah terbayangkan wajah Sarah. Namun, tiba-tiba dia berubah fikiran. Ada sesuatu dalam benaknya yang mengganggu sejak pertemuan mereka semalam.
            “Aku ada agenda lain, Id. Kau jangan cakap apa-apa dengan Sarah. Biarlah dia kekal menjadi teman rapat aku. Tapi, untuk mengambilnya sebagai isteri, itu perkara yang agak mustahil buat masa ni,” tingkah Reza tiba-tiba.
            “Agenda apa yang kau maksudkan..?” tanya Idham ingin tahu.
            Reza hanya tersenyum. Dia tiba-tiba terasa malu untuk berterus-terang dengan Idham tentang agendanya. Yang pasti, ia bukan melibatkan Sarah.
            Okay. Bila kau dah bersedia nak cerita, kau cari je aku. Tapi, pasal Sarah tu…kalau kau nak aku tolong cakapkan bagi pihak kau pun, aku boleh tolong,” ujar Idham. Turut tersenyum melihat Reza yang hanya mengangkat keningnya, sebagai tanda dia faham dengan kata-kata itu.
            Idham kembali bercerita seperti biasa. Banyak perkara yang mereka bualkan setelah 10 tahun tidak bertemu. Idham yang bercita-cita besar untuk menjadi ahli perniagaan yang berjaya seperti ayah angkatnya, turut bercerita tentang hasrat untuk menyambung pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi.
            Reza sekadar memasang telinga, mendengar impian teman baiknya itu. Banyak perkara sedang bermain di mindanya. Alangkah bagusnya jika dia tidak punya kakak angkat, atau mungkin lebih baik jika dia tidak diambil sebagai anak angkat kepada pasangan Dato’ Hasrul dan Datin Noraini. Hampir saja dia mengeluh jika tidak memikirkan Idham yang kini berada di hadapannya.
            “Tadi, Sarah ada beritahu aku tentang hal Azlyn,” Idham menukar topik perbualan setelah melihat wajah Reza yang kelihatan tidak bermaya itu.
            “Kenapa dengan Azlyn?” pantas Reza bertanya.
            “Sarah dan Kimi nak selidik tentang hal adik bongsu kita tu. Diorang risau sangat dengan keadaan dia. Aku rasa awal pagi tadi Sarah dan Kimi dah ke rumah Lyn,” beritahu Idham. Dia menyedut minumannya sambil memikirkan tentang sebarang hal yang mungkin akan didedahkan oleh Sarah mahupun Hakimi nanti.
            “Kenapa diorang tak ajak kita sekali..?”
            Idham mengangkat bahu. Dia sendiri mengetahui akan perkara itu awal pagi tadi. Itupun hanya kerana dia menelefon Sarah untuk mengajak gadis itu keluar bertemu Reza. Setelah diberitahu bahawa mereka berdua ingin ke rumah Azlyn, Idham terus mendesak untuk tahu perkara sebenarnya. Namun, Sarah hanya boleh berjanji untuk memberitahunya selepas dia kembali dari rumah Azlyn.
            “Kau rasa besar sangat ke masalah Lyn tu..?” tanya Reza lagi.
            “Hmm..Lyn yang kita kenal bukan jenis menipu, kan? Jadi, aku percaya dengan setiap apa yang keluar dari mulut dia. Dia tak akan mereka cerita untuk meraih simpati kita,” jawab Idham penuh yakin.
            “Apa kata kita call Sarah..?”
            “Nak buat apa..?” Idham bertanya balas.
            “Nak tahu apa yang diorang buat kat rumah Lyn. Boleh ajak Sarah dan Kimi lepak sekali dengan kita.”
            Idham bersetuju. Dia segera mendail nombor telefon bimbit Sarah. Buat seketika, panggilannya tidak dijawab. Idham terus mencuba lagi. Sambil membuat muka yang tidak berpuas hati kerana panggilannya tidak dijawab, Idham terus menyimpan semula telefon bimbitnya ke dalam poket seluar.
            “Biar aku cuba pula…” kata Reza sambil mendail nombor telefon Sarah. Namun, belum sempat dia mendengar deringan pertama, telefon bimbit Idham pula yang berbunyi. Panggilan dari Sarah itu membuatkan Idham kembali tersenyum. Dia menunjukkan nama Sarah yang terpamer pada skrin telefon bimbitnya kepada Reza.
            Perbualan antara Idham dan Sarah kedengaran agak tergesa-gesa. Idham hanya mengiakan saja apa jua yang diberitahu oleh Sarah. Reza yang terasa ingin menyampuk segera disabarkan oleh Idham.
            “Nanti Sarah dan Kimi nak datang sini. Kita tunggu diorang kejap,” beritahu Idham sebaik saja dia memutuskan talian telefon.
            “Ada masalah ke..?”
            Idham sekadar mengangguk. Kata-kata Sarah tentang kehidupan Azlyn masih terngiang-ngiang di telinganya. Dia berkira-kira sama ada mahu memberitahu kepada Reza terlebih dahulu sebelum tibanya dua lagi sahabat mereka. Namun, dia juga berfikir adalah lebih baik jika Sarah dan Hakimi sendiri yang memberitahu tentang perihal Azlyn itu. Mereka berdua boleh menceritakan dengan lebih jelas jika Reza ingin bertanya apa-apa.
            Reza juga nampaknya berfikiran sama seperti Idham. Dia mahu bertanya kepada lelaki itu tentang apa yang telah diberitahu oleh Sarah. Namun, dalam masa yang sama dia juga ingin mendengar sendiri dari mulut Sarah dan Hakimi tentang apa jua hal yang telah menimpa diri Azlyn.
            Pelbagai andaian dibuat sehinggalah akhirnya Idham dan Reza berbincang tentang perihal teman mereka itu. Menanti kedatangan Sarah dan Hakimi membuatkan mereka terasa masa begitu perlahan berlalu.
            “Assalammualaikum…”
            Serentak Reza dan Idham menoleh ke arah suara yang memberi salam itu. Sambil masing-masing menjawab salam, mereka bersalaman sesama sendiri.
            “Lama tunggu..?” tanya Sarah. Mukanya agak kemerahan menahan cuaca yang panas terik.
            “Takdelah lama sangat. Korang dari rumah Lyn terus ke sini ke..?” balas Idham, lalu terus bertanyakan soalan kepada Sarah dan Hakimi.
            “Aku ingat tadi nak terus ke tempat kerja Lyn. Tapi, Sarah dapat call dari kau pula. Tu yang datang sini dulu,” jawab Hakimi. Dia tercari-cari pelayan kedai makan tersebut untuk membuat pesanan.
            “Ceritalah pada kami apa yang korang buat kat rumah Lyn tadi,” desak Reza tidak sabar. Dia memandang wajah Sarah dan Hakimi silih berganti dengan penuh harapan.
            Hakimi menarik nafas, dalam. Dia memandang Sarah, jelas gadis itu juga menanti untuk berbual lebih lanjut tentang teman mereka, Azlyn. Pertemuan dengan abang angkat Azlyn sebentar tadi benar-benar mengganggu jiwanya. Hakimi menukar perasaan tenangnya kepada satu keluhan yang panjang.

Seminar tentang pengurusan fail

Hmm..kerja dah bertahun-tahun..tapi masih dihantar ke seminar tentang teknik pengurusan fail yg lebih efisyen. Adesss...masa mula-mula dapat email tu, aku terus rasa satu macam. Kenapa aku..?? Memang tension. Tapi, apakan daya. Bos sendiri yang bagi nama aku. Jadi, nak tak nak kena la pergi juga.

Fisrt day training - superb!! Perasaan tension tu dah bertukar menjadi teruja. Satu disebabkan oleh penyampai yg sangat berpengalaman dalam bidang ni. Satu lagi disebabkan oleh kawan-kawan yg turut serta dalam seminar ni. Sporting

Rupa-rupanya banyak ilmu yg aku dapat daripada seminar ni. Banyak benda remeh yg aku tak aplikasikan dalam kerja-kerja seharian aku di pejabat. Walaupun remeh, tapi setiap benda atau proses dalam pemfailan dan merekod tu memang sangat penting ye kawan-kawan.

Okay la. Aku pun tak nak cerita banyak-banyak tentang seminar ni. Nanti korang bosan pula nak baca. Sebab sebenar aku tulis entri ni ialah nak masukkan gambar. Takde kaitan!! Hehe..

Rupabentuk meja aku di tempat seminar tu
Bergambar sebelum 'acara' bermula (",)
Aku dan kak Erna
Take Five!!
Antara acara yg paling disukai..makan-makan!!

p/s : takde idea nak buat entri la..








Monday, 26 December 2011

Aku Mencari

Aku mencari lelaki yg boleh menjadi imam untuk solatku
Bukan sekadar lelaki yg boleh menjadi suami

Aku mencari lelaki yg boleh menjagaku saat susah dan senangku
Bukan sekadar lelaki yg boleh menjadi suami

Aku mencari lelaki yg boleh menerima diriku seadanya
Bukan sekadar lelaki yg boleh menjadi suami

Aku mencari lelaki yg boleh membimbingku untuk ilmu dunia dan akhirat
Bukan sekadar lelaki yg boleh menjadi suami

Wahai lelaki...di manakah anda..??


p/s : versi jiwang berkarat-karat...sang bf..agak2 kau termasuk ke dalam kategori lelaki yg aku cari ni..?? Demand itu perlu untuk menjamin masa depan yg lebih baik..huhu (",)




Friday, 23 December 2011

Perempuan Lasak..Salah Ke..??

Assalammualaikum W.B.T

Alhamdulillah. Dah hari Jumaat pun. Cepat betul minggu ni berlalu. Esok dah kembali bercuti. Tak sabar nak balik kampung jumpa mak dan ayah (",)

Hmm..kenapa aku pilih tajuk entri macam ni..? Ada kaitan ke dengan hidup aku..? Eh, mestilah ada. Kalau takde...aku tak cerita..hehe

Perempuan lasak. Aku mengaku diri aku ni boleh dimasukkan dalam kategori lasak. Tapi, lasak tu bukanlah ganas. Sebab aku tak rasa diri aku ni ganas. Cuma lasak dari segi tak boleh duduk diam, aktif dan cergas. Wahh gitu!!

Tapi, salah ke jadi perempuan lasak..?? Aku sendiri dibesarkan dalam keluarga yg punya bilangan adik-beradik lelaki yg ramai. Sehinggalah usia aku mencecah 11 tahun, hanya aku seorang saja anak perempuan di dalam keluarga. Selepas itu, baru la adik bongsu perempuan aku dilahirkan. Jadi, bayangkan 11 tahun membesar dengan abang dan adik-adik lelaki..? Mungkin ada yg lebih hebat dari itu. Mesti ada ramai yg punya pengalaman lebih menarik lagi, kan..?

Jadi, berbalik kepada diri aku sendiri, dibesarkan di kalangan adik-beradik lelaki bukanlah sesuatu perkara yg asing. Mak dan ayah aku tidak pernah pula 'menjadikan' aku ni sebagai anak lelaki. Dari segi pemakaian, layanan dan sebagainya, aku tetap dilayan seperti anak perempuan ** adess..memanglah kau ni perempuan Dylla!

TAPI...hoho..ada tapi pula!! Aku dulu suka menyibuk ikut abang aku pergi bermain dengan kawan-kawan dia. Abang main bola sepak, aku main bola sepak. Abang main rounders, aku pun main rounders juga. Semua lelaki. Dan hanya aku seorang jelah yg pakai skirt, kena buli dengan kawan-kawan abang..ciss! Tapi, tulah...aku bukan tak nak bermain dengan kawan-kawan perempuan. Tapi, aku rasa lebih selamat pergi bermain bila abang aku ada. Adik abang rupanya aku ni..hahaha

Apapun, alhamdulillah...aku masih kekal dengan ciri-ciri keperempuanan walaupun lasak. Banyak komplen yg aku dengar tentang diri aku yg lasak ni. Ramainya yg suruh aku berubah jadi lebih sopan dan santun. Aduhai, untuk pengetahuan semua, perempuan lasak ni bukan seorang yg tidak sopan. Perempuan lasak ni ada kelebihannya. Kebanyakan perempuan yg lasak ni pandai menjaga diri. Oh, tapi bukanlah nak kata perempuan yg lemah-lembut tu tak pandai jaga diri pula. Cuma, caranya yg agak berbeza (",)

Jadi, tak payah la komplen-komplen sangat ye. Bukan senang nak ubah diri dari lasak menjadi lemah-lembut. Bagi aku sendiri, perkara itu agak sukar memandangkan sifat lasak ni dah sebati dalam diri.


p/s : lasak tapi dalam hati ada taman..kuang...kuang...kuang :)

Pengisian Jumaat (1)

Assalammualaikum W.B.T

Bismillahirrahmanirrahim

Anas meriwayatkan daripada Rasulullah S.A.W bahawa baginda bersabda :
"Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman - seseorang yg mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain keduanya, seseorang yg mencintai seseorang yg lain hanya kerana Allah dan seseorang yg tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam Neraka"




Thursday, 22 December 2011

Gathering at Naili's Place

My 1st gathering since became ex-MJC..!! 7 of us met at Naili's Place, Sentul around 9.30pm. Sorry to say, but my 1st impression when I saw the Naili's Place entrance - "Oh, my! Why my friend told me Naili's Place has a nice views..?? Does she trying to make fun of me..??"

Well, I was quickly assess things without knowing the truth in advance. My impression turned to - "Wow, such a nice place!" after a few steps into the restaurant. So gentlemen, please don't judge a book by its cover, okay!! Hoho (",)

The menu's not bad. I, myself tried the Naili's Special Fried Rice. Talk about the presentation, yes, it's very impressive. But, I gave 3 star for the taste. Actually, I don't prefer to eat 'nasi goreng' at that kind of places, so the selection of the menu may not be done from the earlier. Just because I felt so hungry, so without any hesitation, I just chose the menu. Well, maybe I should try another menu next time (",)

As you eat in places like Secret Recipe, the price is also quite affordable. You can eat and enjoy the view in the same time and also entertained by the nice songs. I'll consider this place as my future plan re-union with my schoolmates.

Enjoy the pictures..!!












p/s : credit to Seman De Alfonso for the sweet and memorable photos..!!




Transformasi Diriku - Bukan Sekadar Menutup Aurat

Assalammualaikum W.B.T

Dah lama tak buat entri tentang transformasi diri aku ni. Cheh, macam la nak jadi para robot Transformer tu. Kecoh je nak cerita. Hehe..tak kisah la..itu je idea yg aku ada buat masa ni nak update blog.

Okay..berbalik kepada tajuk. Bukan sekadar menutup aurat. Aku fokuskan kepada diri aku sendiri setelah melalui zaman transformasi dan setelah melihat keadaan persekitaran. Bila melihat keadaan diri sendiri.. alhamdulillah, walaupun berseluar jenas, berskirt labuh, ber t-shirt, tapi aku akan pastikan yg pakaian aku tu tidak terlalu pendek atau singkat.

Sebelum berhijrah begini, aku memang selalu perhatikan gelagat orang ramai. Bila aku pandang sekeliling, terutamanya perempuan yg bertudung, aku selalu tertanya, kenapa mereka boleh bertudung tapi memakai baju yg berlengan sangat pendek..? Atau berbaju sangat ketat..? Atau berpakaian sangat singkat sehingga boleh menampakkan sebahagian dari kulit badan..? Takut aku melihat keadaan begini. Aku selalu berdoa, kalau la satu hari nanti aku bertudung ** alhamdulillah..dah tertunai pun doa aku (",) janganlah aku menjadi sebahagian dari orang-orang begini.

Maaf la, takde niat nak mengutuk apatah lagi nak menghina. Aku cuma rasa pelik. Selesa ke bertudung bila berpakaian begitu..? Hmm..tepuk dada tanya la iman. Kalau kita bertudung ikhlas kerana Allah S.W.T dan kerana memenuhi tuntutan-Nya, insyaAllah kita akan faham dengan lebih jelas tentang konsep berpakaian yg diwajibkan, terutamanya ke atas umat Islam la.

Aku sendiri pun belum sempurna lagi menutup aurat. Memang aku bertudung. Memang aku tidak memakai yg terlalu ketat, singkat dan sebagainya. Tapi, kadang-kadang aku suka juga sinsing lengan baju panjang yg aku pakai. Dan kadang-kadang aku pakai juga baju-baju yg berlengan 3/4 tu. Aku masih dalam proses untuk menyempurnakan aurat aku ni. InsyaAllah.

Wednesday, 21 December 2011

Malang tu memang tak berbau

Assalammualaikum W.B.T...

Poyos gile tajuk entri. Semua orang tahu malang tu memang tak berbau kan. Kalau la aku ada kelebihan untuk boleh menghidu bau malang tu, kan bagus...haha..mengarut sudah!

Nak cerita pasal malang ni, memang tak akan habis la ye. Macam-macam jenis malang ada. Malang yg sedikit atau malang yg banyak. Malang yg sedikit tu mungkin kita tak rasa teruk sangat la. Mungkin kita boleh cakap, "alah, nak buat macam mana, benda dah jadi..." Tapi, bagi yg ditimpa malang yg banyak atau malang yg sangat teruk, macam mana pula..? Atau pun bagi sesiapa yg ditimpa malang yg bertimpa-timpa..??

Hmm...kesian. Itu jelah yg mampu aku ucapkan. Sebab aku sendiri pernah ditimpa malang. Aku hanyalah manusia biasa yg sentiasa terdedah kepada bahaya dan sebagainya. Tapi, aku percaya, tiada siapa pun di dunia ini yg tak pernah ditimpa dengan nasib malang, kan..?

Cuma, janganlah kita terlalu taksub dengan nasib malang ni sehingga dengan mudah sekali menggelarkan diri kita atau sesiapa jua sebagai INSAN BERNASIB MALANG. Tiada siapa pun di dunia ini yg dilahirkan malang atau sebaliknya. Kita yg mencorakkan diri kita untuk menjadi apa.

Bagi aku sendiri, walaupun baru-baru ditimpa malang yg tidak disangka-sangka, dan meninggalkan kesan kepada fizikal aku, tapi aku bersyukur sebab boleh 'sembuh' dengan cepat sekali. Alhamdulillah. Semoga Allah merahmati hidup aku dan korang semua ye..amin (",)

Kembali setelah 4 hari membawa diri

Adoi...membawa diri ke mana pula ni Dylla oii?? Takde la kemana-mana pun. Sabtu Ahad memang hari untuk berehat la kan. Isnin dan Selasa baru ni pula, aku terpaksa menghadiri ssatu seminar tentang pengurusan rekod dan fail. Bunyinya agak mudah, kan..? Tapi, bila aku attend sendiri seminar tu baru aku tahu kerja-kerja memfail dan merekod bukan semudah yg disangka.

Google

Nanti aku ceritakan dalam entri lain. Sekarang kena buat kerja dulu. Banyak kerja tertangguh selama 2 hari tak bekerja ni. See you guys later!

Friday, 16 December 2011

UiTM Di Hatiku - Part 3

Sambungan entri [INI] dan [INI]

Mushroom
Mushroom tu cendawan kan..?? Semua orang tahu. Tapi, mushroom di UiTM Kampus Arau tu bukanlah cendawan. Rupabentuk bangunannya pun takde macam cendawan. Pokok-pokok cendawan pun takde kat kawasan Mushroom tu. Aku pun tak pasti kenapa ia dinamakan Mushroom. Tak sempat nak korek cerita masa kat sana dulu. Tapi, yg pasti Mushroom ni ialah pusat segala pusat kat UiTM Kampus Arau tu. Ada pusat jual-beli. Ada pusat dobi. Ada pusat sewa motor dan kereta. Ada pusat Cyber Cafe. Ada pusat sumber. Choppp...pusat sumber takde. Itu aku tambah sendiri..huhu (",)

Aku dan kawan-kawan kalau rasa bosan kat kolej, selalu la melepakkan diri kat Mushroom tu. Ada dua kedai makan kat situ yg telah menjadikan aku ni pelanggan tetap diorang. Satu tu kedai moy sup. Sedap gile! Pertama kali aku makan moy sup masa belajar kat sana la. Aku rasa dalam seminggu tu 4-5 kali juga la aku makan moy sup dia. Lagi satu kedai tu selalunya dimonopoli oleh pasangan kekasih. Aku kalau ke sana nak makan aiskrim atau fries je. Tak termasuk dalam golongan yg ber'dating' tu ye. Sebab aku takde boyfriend masa belajar dulu. Takde orang nak kat aku..hahaha

Cyber cafe kat Mushroom ni pun jadi tumpuan aku juga la. Zaman belajar dulu takde PC sendiri, apatah lagi nak ada laptop. So, nak print segala bentuk assignment kat CC tulah. Tapi, selalunya kalau pergi CC tu buat kerja sekejap je. Yg lamanya dok ber'chatting'. Zaman-zaman tu kan paling famous laman sembang MIRC. Macam-macam channel aku join. Borak dengan entah sape-sape. Bila diingatkan balik rasa sangat kelakar. Eh, tapi aku ada kenal seorang mamat ni kat MIRC channel 'Kampung' dan sampai sekarang kami masih berkawan baik. Anak-anak dia pun rapat dengan aku. Sebenarnya, teknologi di hujung jari ada kebaikannya kalau kita tak salah-gunakannya.

Memandangkan entri ni macam dah agak panjang, jadi aku terpaksa buat entri sambungan yg lain. Hmm..okay la. End of story (",)