They're My Best Buddies

Thursday, 1 December 2011

Mimpi Semalam - Bab 8


Dania menutup perlahan pintu biliknya. Dengan langkah kaki yang amat perlahan juga, dia menuju ke katil lalu merebahkan diri. Satu keluhan yang amat berat dilepaskan. Namun, ketika bibirnya cuba untuk mengukir senyuman, hatinya segera membentak.

               'Kau dah jatuh cinta dengan dia ke, Nia..??' tanya hatinya.

               Dania menggelengkan kepala. Tak mungkin dia sudah jatuh cinta dengan Joshua. Lelaki itu kan lelaki yang dibencinya. Lelaki itu juga merupakan lelaki yang paling tidak berperasaan yang pernah dikenalinya. Mungkinkah dia mahu memperjudikan perasaannya dengan jatuh cinta pada lelaki itu..? Tak mungkinlah. Dania sekali lagi menggelengkan kepalanya.

               'Tapi, kenapa kau senyum sendiri..??' hatinya bertanya lagi.

               Dania bungkam. Senyum sendiri..? Dania segera menutup mulutnya. Betulkah dia senyum sendiri..? Perasaan apakah yang sedang melanda hatinya kini..? Dania segera melihat jam di dinding biliknya. Ah, sudah jam sebelas. Dania lantas bergerak menuju ke bilik air untuk membersihkan diri. Dia masih belum bersolat lagi. Dia tidak mahu mengabaikan tanggungjawab itu.

               Selama ini, Dania sering alpa dengan rukun agamanya itu. Dia ambil mudah tentang kewajiban bersolat walaupun dia sedar solat itu adalah tiang agama. Semasa dia menjalinkan hubungan dengan bekas tunangnya dahulu, lelaki itu juga tidak menekankan kewajiban bersolat. Mereka kedua-duanya hanya menunaikan solat jika ada keinginan untuk berbuat demikian. Kini, Dania sudah menginsafi diri. Mungkin kerana kealpaannya itu, Tuhan menduganya dengan dugaan ini. Ditinggalkan oleh tunangnya sendiri. Dania meraup lembut mukanya. Dia beristighfar di dalam hati. Setitis airmata mengalir perlahan ke pipinya. Sayu mengenangkan dosa-dosanya sendiri.

               Selesai bersolat, Dania memanjatkan doa kepada Illahi agar hidupnya sentiasa diberkati. Dia juga tidak lupa berdoa untuk kesejahteraan kedua-dua orang tuanya yang selama ini menjadi tulang belakang kepada setiap kejayaan yang dicapainya. Ibu dan ayahnya sentiasa berada di sisi walau apa jua keadaan yang dihadapinya. Dania sesungguhnya amat bersyukur kerana dilahirkan di dalam keluarga yang harmoni dan penuh dengan kasih sayang.







Post a Comment