They're My Best Buddies

Thursday, 1 December 2011

Mimpi Semalam - Bab 7


Joshua melangkah perlahan menuju ke biliknya. Sebentar tadi dia nyaris-nyaris berbalah lagi dengan Irfan. Ini semua gara-gara gadis yang bernama Dania. Benci apabila mengenangkan Irfan yang terlalu mementingkan gadis itu sehingga pernah melarikan diri dari rumah sebelum ini.

            Kata-kata Irfan masih terngiang-ngiang di tepi telinganya. Hatinya menjadi panas bila setiap kali Irfan menyebut nama Dania. Entah apalah budi Dania hinggakan Irfan menjadi berang bila timbul kata-kata buruk tentang gadis itu.

            “Ayah Su dah janji nak izinkan Niel jumpa kak Nia sebelum pergi sekolah tu, kan?” tanya Irfan sambil menatap tajam wajah Joshua.

            “Memang ayah Su dah janji. Tapi, masa tu ayah Su tak fikir panjang. Bila ayah Su fikir balik, ayah Su tak nak Niel jumpa dia lagi. Dia bukan ada kaitan dengan kita pun. Tak jadi masalah kalau Niel tak jumpa dia lagi lepas ni,” keras Joshua membalas.

            “Ayah Su tak boleh mungkir janji. Ayah Su nak tengok Niel lari dari rumah lagi ke? Silap haribulan, Niel takkan belajar kat sekolah tu!” bentak Irfan, cuba melawan kata-kata pakciknya.

            “Niel jangan paksa ayah Su buat sesuatu ke atas Niel…” Joshua mengugut. Dia membalas renungan mata Irfan yang masih tidak berkedip dari tadi.

            “Ayah Su pun jangan paksa Niel lakukan sesuatu juga. Niel tak minta apa pun dari ayah Su. Niel nak jumpa kak Nia je. Dia yang akan datang sini. Niel tak perlu susah-susah nak pergi ke rumah dia lagi.”

            “Sejak bila Niel pandai melawan cakap ayah Su ni? Mesti perempuan tu yang ajar, kan?” kata Joshua tidak puas hati.

            “Ini takde kena-mengena dengan kak Nia. Dia tak pernah ajar Niel jadi biadap. Kak Nia baik sangat. Kalaulah ayah Su dapat lihat kak Nia dari sudut pandangan mata Niel, mesti ayah Su akan mengakui kebaikan kak Nia,” balas Irfan tenang. Dia menjadi agak marah dengan tuduhan Joshua terhadap Dania. Namun, dia cuba untuk merendahkan nada suaranya agar tidak timbul pergaduhan dengan pakciknya itu.

            Sambil menghempas kuat pintu biliknya, Joshua cuba menepis ingatan itu. Sakit hatinya apabila Irfan melebihkan orang luar dari keluarga sendiri.

            Ingatannya kini beralih kepada kakaknya, Laura. Sudah lama dia tidak melawat Laura. Dalam diam, dia agak bimbang jika Irfan akan mengetahui tentang Laura jika anak buahnya itu bersekolah di Maxgrid High School kelak. Namun, dia yakin pengetua sekolah itu tidak akan memecah rahsia. Timbul niat di hatinya untuk melawat Laura selepas menghantar Irfan ke sekolah itu nanti.

            Tempoh 2 bulan tidak melihat wajah kakak kesayangannya itu, menimbulkan rasa serba salah dalam hati. Lebih rasa bersalah ketika dia berkeras mahu Irfan bersekolah di Maxgrid High School. Dia mula berkira-kira sama ada mahu berterus-terang dengan Irfan tentang Laura. Tapi, bagaimanakah nanti penerimaan anak kecil itu jika dia mendapat tahu bahawa ibunya masih lagi hidup..? Joshua meraup mukanya, perlahan. Dia buntu memikirkan keadaan anak buah dan kakaknya.

                                                                  *          *          *

           "Saya bergurau jelah dengan kak Nia hari tu. Susah-susah je kak Nia belikan semua ni untuk saya," lembut Irfan bersuara ketika Dania menyerahkan sebuah beg kertas berisi pelbagai jenis cenderamata yang sempat dibelinya ketika berada di Johor Bharu.

            "Alah, bukan susah sangat pun. Kak Nia pun tak tahu nak belikan apa untuk Irfan. Ada satu tu untuk ayah Su Irfan. Nanti Irfan bagilah kat dia.."

            "Eh, kak Nia ingat juga dekat ayah Su ya. Oh, ni mesti kes rindu ni, kan?" Irfan cuba bergurau. Dia tersengih melihat perubahan mendadak wajah Dania.

            "Ke situ pula dia fikirkan. Kak Nia memang tak nak belikan apa-apa untuk pakcik Irfan tu. Tapi, rasa tak sopan pula bila kak Nia belikan sangat banyak barang untuk Irfan, tapi takde satu pun untuk dia. Nanti dia kecil hati, dia tak bagi kak Nia jumpa Irfan lagi lepas ni..susah juga kan..?"

            "Oh, kes ambil hatilah ni," Irfan terangguk-angguk mendengar kata-kata Dania. Dania turut mengangguk sebagai membalas pernyataan Irfan. Mereka tersenyum, hampir sama tahap kelebarannya.

            Tanpa disedari, perbualan mereka didengari oleh Joshua yang berselindung di balik dinding. Dia menjadi bertambah geram mendengar kata-kata Dania. Sudahlah dia mengizinkan gadis itu bertemu dengan anak buahnya, kini namanya pula dikata-kata di belakangnya. Hatinya teringin benar mahu menghalau Dania keluar dari rumah itu. Namun, bila memikirkan tindakan susulan Irfan jika dia berbuat demikian, Joshua terus saja mematikan hasratnya. Dia cuba tersenyum sambil menatang dulang yang berisi tiga gelas air.

            "Jemput minum.." Joshua cuba meramahkan nada suaranya. Dia menghulurkan sebiji gelas ke tangan Dania. Gadis itu menyambutnya sambil tersenyum mesra.

            'Ish, cantik juga kakak si Niel ni. Tapi, muka dia macam familiar la..' hati Joshua tiba-tiba berbisik. Joshua cuba menyembunyikan kata-kata hatinya dengan pura-pura batuk. Walaupun hakikat sebenarnya, Dania pasti tidak mendengar hatinya berbisik.

            "Minum sekali.." pelawa Dania sopan. Joshua sekadar tersenyum sambil mengangkat tinggi gelasnya. Dania merasa tidak selesa ketika Joshua duduk berhadapan dengannya. Irfan yang duduk di sebelah Dania segera bergerak menuju ke arah Joshua. Dia menyerahkan sebuah bungkusan ke tangan pakciknya itu.

            "Ni untuk ayah Su..."

            "Eh, apa ni..?" Joshua pura-pura bertanya, walhal dia sudah tahu isi di dalam bungkusan itu adalah sehelai kemeja-t.

            "Kak Nia yang belikan. Ingat juga dia pada ayah Su. Ayah Su tu yang suka nak marah-marah.." kata-kata Irfan itu disambut dengan bunyi aneh dari mulut Dania. Dia tersedak kecil sambil cuba menahan mukanya dari bertukar merah. Dania tidak berani memandang Joshua dan Irfan di hadapannya. Dia berpura-pura menikmati minumannya, walaupun sekadar jus oren dalam kotak.

            "Niel ni memang suka bergurau cik Dania. Jangan ambil hati ye," Joshua bersuara untuk meredakan keadaan. Dalam hatinya, terselit juga perasaan segan terhadap Dania. Memang sebelum ini dia sangat bencikan gadis itu. Namun, kini dia tidak faham apa yang sudah melanda hatinya. Dalam rasa ingin menghalau Dania keluar dari rumah, dia kini boleh pula berbual mesra dengan gadis itu.

            "Oh, takpe..saya tahu Irfan memang suka bergurau. Saya tak ambil hati pun," balas Dania perlahan. Dia memandang wajah tidak bersalah Irfan sambil cuba memberi isyarat agar tidak bergurau begitu lagi.

            "Kenapa awak panggil dia Irfan..?" Joshua bertanya, curiga. Selama dia membesarkan Irfan, tiada siapa lagi yang memanggil anak buahnya dengan panggilan itu.

            "Dia kenalkan diri dia sebagai Irfan. Takkanlah saya memandai-mandai nak panggil dia dengan nama lain. Saya tak tahu pula nama sebenarnya Niel Irfan," jelas Dania.

            "Ayah Su..it's not a big deal. Irfan ke Niel ke..dua-dua pun nama Niel, kan?" Irfan menyampuk sebelum sempat Joshua membalas penjelasan Dania. Irfan amat bimbang jika Joshua bertanya bagaimana mereka boleh berkenalan sebelum ini. 'Nama siapa pula yang akan jadi mangsa nanti. Alah, kakak kawan Niel yang duduk sebelah Niel dalam kelas tu..hehe..' hati Irfan berbisik nakal.

            "Err, Irfan..kak Nia balik dulu ye. Macam dah lama pula kak Nia kat sini. Nanti ada masa kita jumpa lagi," agak tergesa-gesa Dania meminta diri untuk pulang ke rumahnya. Irfan pantas berdiri untuk menghalang. Dia merentap lembut tangan Dania.

            "Bukan awak dah janji dengan Niel untuk dinner sekali malam ni..?" spontan Joshua bertanya sebelum sempat Irfan bersuara.

            "Dinner? Saya takde janji apa-apa pula rasanya.." balas Dania, teragak-agak. Dia mengerutkan dahi sambil cuba untuk mengingat jika memang dia telah berjanji dengan anak kecil itu.

           "Betul..kak Nia memang ada janji dengan saya. Tak baik tau mungkir janji," Irfan bersuara menyokong pakciknya.

            "Err...tapi.."

            "Dah..tak perlu banyak fikir. Awak tunggu sekejap kat sini. Niel, jom tukar baju. Kita dinner kat luar dengan kakak kesayangan Niel ni..." Joshua terus memotong kata-kata Dania sambil menarik Irfan supaya bergerak lebih pantas menuju ke tingkat atas, meninggalkan Dania yang masih terpinga-pinga.







Post a Comment