They're My Best Buddies

Friday, 30 December 2011

Mimpi Semalam - Bab 10


Sejambak bunga mawar putih kembali menarik perhatian Dania. Dia yang sedang menyiapkan laporan audit ketika bertugas di Johor Bahru sepanjang minggu lepas, kini mengalihkan perhatiannya kepada kad yang terselit di celahan jambangan bunga tersebut. Dania cuba untuk mengelak dari mengalihkan pandangannya ke arah Farah, Sofea dan Hani. Dia sedar, ketiga-tiga pasang mata milik mereka sedang asyik memerhatinya.

Love to see you smile
Your admirer

            Cuba untuk tidak tersenyum ketika membaca baris ucapan ringkas di dalam kad itu, Dania meletakkan kembali jambangan bunga mawar putih di tepi sudut mejanya. Dia kembali menyambung semula kerjanya yang terhenti sebentar tadi.

            “Nia, orang yang sama ke bagi bunga ni..?” tanya Sofea yang kini sedang berdiri di hapadan Dania.

            Dania mengangkat mukanya memandang Sofea. Gadis itu kelihatan tidak sabar-sabar ingin tahu tentang pengirim bunga tersebut. Dania sekadar mengangkat bahu, sebagai menjawab pertanyaan Sofea. Reaksi Dania itu menimbulkan sedikit rasa tidak puas hati dalam diri Sofea. Pantas tangan Sofea mencapai jambangan bunga itu.

            “Oh, ada kad!” ujar Sofea sedikit teruja.

            Dania hanya menggelengkan kepala melihat gelagat temannya itu. Suara teruja Sofea menarik minat Farah dan Hani untuk menghampiri.

            “Apa yang tertulis dalam kad tu, Opie?” tanya Hani.

            Love to see you smile…” balas Sofea ringkas. Dahinya berkerut seribu. Siapakah pengirim misteri bunga mawar putih tersebut menjadi tanda tanya.

            “Itu je?” tanya Farah pula. Dia mengambil kad tersebut dari tangan Sofea.

            “Aku nak tahu siapa peminat misteri kau ni, Nia…” kata Sofea, berusaha untuk merendahkan nada suaranya.

            Dania bangun perlahan. Menghadap ketiga-tiga orang temannya itu. Sambil tersenyum, dia mengambil semula kad dari tangan Farah dan jambangan bunga dari tangan Sofea, lalu mengarahkan mereka bertiga kembali ke tempat mereka semula.

            “Alah, tak sporting betul!” bentak Hani. Namun, dia tetap melangkah menuju ke tempatnya. Farah dan Sofea mengekori perlahan di belakang. Sempat Sofea berbisik perlahan kepada Farah dan Hani yang dia akan mencari siapakah pengirim misteri tersebut.

            “Cari sampai dapat tau!” balas Hani, juga dengan suara yang berbisik.

            “Kalau kau dapat cari siapa pengirim bunga ni, kami belanja kau makan. Kau cakap je nak makan apa,” sahut Farah, masih dalam nada suara yang terkawal. Sesekali mereka menoleh ke arah Dania. Nampaknya, gadis itu tidak mendengar perbualan mereka bertiga.

            “Betul ni..?” tanya Sofea meminta kepastian. Matanya bersinar ceria. Pantang terdengar pasal makan!

            “Kau ni kalau pasal makan, memang nombor satu!” tingkah Hani perlahan. Dia memang tahu tabiat kuat makan temannya itu.

            Sofea hanya tertawa. Namun, dia telah merancang sesuatu untuk mengetahui pengirim bunga mawar putih tersebut. Sambil terangguk-angguk, Sofea kembali menyambung kerjanya semula. Farah dan Hani yang tersenyum melihat gelagat Sofea, turut sama menyambung semula kerja mereka.

                                                            *          *          *

Papermate : Kak Nia tak tahu siapa yang bagi ke..?

Bunga_Emas : Kalau akak tahu kan best

Papermate : Tapi seronoklah kak Nia ada peminat misteri kan…hehehe

Bunga_Emas : Seronoklah sangat! Akak risau ni…

Papermate : Kak Nia nak risau apa..?

Bunga_Emas : Macam mana kalau bekas tunang akak yang bagi bunga tu..? Dulu dia selalu bagi bunga mawar putih untuk akak. Akak rasa selain dia, takde siapa lagi yang tahu akak suka bunga mawar putih…

Papermate : Hmm…apa salahnya kalau dia yang bagi..?

Bunga_Emas : Tak salah…tapi akak tak suka. Dah la. Lupakan pasal bunga tu. Irfan dah siap berkemas untuk esok..?

Papermate : Dah siap. Tadi ayah su tolong packing baju. Irfan tak tahu nak kemas apa. Irfan tolong tengok je…hehehe

Bunga_Emas : Sedih pula rasanya nak berpisah dengan Irfan. Irfan jangan lupakan akak tau. Jaga diri baik-baik.

Papermate : Alah, kak Nia kan dah janji nak datang melawat saya nanti…?

Bunga_Emas : Yelah. Tapi, bukanlah hari-hari, kan? Ada masa lapang pasti akak datang melawat Irfan di sana.

Papermate : Kalau kak Nia bosan datang seorang, kak Nia boleh datang dengan ayah su. Baru best sikit…

Bunga_Emas : Apa yang best…??

Papermate : Best sebab dapat kunjungan serentak dari 2 orang yang saya sayang!

            Dania tersenyum melihat baris ayat tersebut. Terharu rasanya bila Irfan mengakui tentang perasaannya itu. Dania segera membalas dan menyatakan yang dia turut menyayangi kanak-kanak itu.

Papermate : Kak Nia, saya nak tidur dulu. Esok pagi nak kena bangun awal. Kak Nia jaga diri baik-baik ye. Jangan nakal-nakal tau!

Bunga_Emas : Eh, dia pula yang pesan kat kita jangan nakal-nakal..okay la…akak tak nakal. Akak jadi orang baik je. Irfan pun jangan nakal-nakal tau!

Papermate : Kak Nia nak nakal dengan ayah su boleh. Dengan orang lain, jangan tau! Hahahaha…

Bunga_Emas : Ish, budak ni!

            Setelah mengucapkan selamat malam, Dania segera mematikan komputer ribanya. Dalam hati dia berdoa moga-moga perjalanan Irfan dan Joshua akan dipermudahkan.

            Ayat yang tertulis di dalam kad yang disertakan di dalam jambangan bunga mawar putih siang tadi kembali menerpa ruang ingatannya. Dia sendiri benar-benar ingin mengetahui siapakah pengirim bunga tersebut. Jika pengirimnya adalah orang yang sama yang pernah mengirim bunga seperti itu kepadanya sebelum ini, dia harus segera mencarinya. Tapi, dia tidak pernah mengenali sesiapa yang bekerja di Casadaya Holdings. Itu saja maklumat yang dia ada tentang si pengirim.

            ‘Esok aku mesti pergi jumpa Stephanie. Aku nak check senarai supplier yang ada. Atau mungkin client..?? Ah, kalau client aku boleh check dengan Johnson,’ hati Dania berbicara sendiri. Merencana tindakan yang bakal dibuat pada keesokan harinya. Dia tersenyum puas. Ya, itulah jalan terbaik untuk dia mengetahui siapakah pengirim bunga tersebut.

                                                            *          *          *

            Dania buntu. Nama Casadaya Holdings tiada langsung dalam senarai pembekal ataupun pelanggan. Baik Stephanie, mahupun Johnson, kedua-duanya agak bingung apabila didesak oleh Dania untuk mencari nama syarikat tersebut.

            Dania kembali duduk di tempatnya. Dia cuba berfikir dengan cara apa lagi yang membolehkan dia mengetahui pengirim bunga tersebut. Nama Shima melintasi kotak fikirannya. Dania bergegas menuju ke tempat Shima. Gadis yang berkerja di bahagian receptionist itu memang jarang bercakap dengannya. Namun, Dania sudah tidak punya cara lain lagi.

            “Shima!” panggil Dania dari jauh.

            “Eh, cik Dania…terkejut saya. Ada apa hal ni?”

            “Saya nak minta tolong sesuatu, boleh tak..” tanya Dania. Dia berdiri penuh harap menghadap Shima.

            “Err, boleh…tapi, tolong apa..?” Shima bertanya balas. Dia hairan melihat Dania yang tiba-tiba datang bercakap dengannya. Selama ini mereka hanya berbalas senyuman. Jarang sekali mereka berpeluang untuk berbual. Shima hanya akan bertemu dengan Dania jika ada surat-surat yang perlu di tandatangani oleh gadis itu saja.

            “Tapi, perkara ni perlu dirahsiakan…” ujar Dania teragak-agak. Dia terfikir mungkinkah agak keterlaluan meminta pertolongan seseorang tetapi mahu dirahsiakan.

            “Saya macam dah boleh agak kot. Mesti pasal pengirim bunga mawar putih tu, kan..?” balas Shima, mengejutkan Dania.

            “Eh, macam mana awak tahu..?”

            “Tadi Opie ada datang jumpa saya, tanya perkara yang sama,” beritahu Shima.

            “Hah..??”

            “Tapi, maaflah cik Dania. Saya sendiri tak tahu siapa pengirim bunga tu,” beritahu Shima lagi dengan pandangan yang bersalah.

            “Eh, takpe. Saya bukan nak tanya siapa yang kirim bunga tu. Tapi, saya nak minta tolong, lepas ni kalau ada lagi florist datang hantar bunga untuk saya, awak paksa dia untuk beritahu siapa yang kirim. Kalau dia tak nak beritahu atau dia sendiri tak tahu, suruh dia bawa balik bunga tu. Jangan terima, boleh…?”

            “Oh, macam tu pula. Hmm, baiklah. Kalau itu yang cik Dania mahukan,” balas Shima.

            “Terima kasih. Dan tolong…”

            “…rahsiakan,” sambung Shima sebelum Dania sempat menghabiskan kata-katanya. Shima tersenyum sebagai membalas senyuman Dania.

            “Lagi satu, jangan beritahu apa-apa pada Sofea, Hani dan Farah tentang hal ni. Saya tak nak ada sesiapa pun yang tahu, boleh?”

            Shima sekadar mengangkat ibu jarinya sebagai tanda dia faham dengan permintaan Dania itu. Dania berlalu pergi dengan senang hati. Dia yakin Shima boleh dipercayai. Walaupun amat jarang berbual, namun selama dia bekerja di situ, belum pernah lagi desas-desus yang mengatakan Shima itu jenis yang suka membawa mulut.

Post a Comment