They're My Best Buddies

Thursday, 29 December 2011

Dia Dewa Hatiku - Bab 9


Syaqila terjaga dari lenanya. Dia segera menyeka peluh yang membasahi dahi. Mimpinya sebentar tadi bagaikan nyata. Dia beristighfar berkali-kali sebelum bangun untuk membuka lampu biliknya.

            “Mimpi ni menakutkan betul!” rungut Syaqila. Masih terbayang di ruang matanya wajah sinis Emran memandangnya di dalam mimpi itu. Ada seorang gadis di sisi Emran. Gadis itu turut memberi satu pandangan yang menjengkelkan terhadap Syaqila. Tapi, siapakah dia..? Mengapa dia muncul sekali dalam mimpi ni..?

            Syaqila segera mencapai telefon bimbitnya. Sudah hampir pukul 3 pagi. Dia teragak-agak untuk menghubungi Emran. Bimbang lelaki itu akan memarahinya kerana mengganggu tidur, Syaqila membatalkan terus niatnya. Dia mengingatkan dirinya untuk menghubungi Emran, awal pagi esok.

            Selimut ditarik menutup sepenuhnya tubuh kecil Syaqila. Dia cuba menepis ingatan mimpinya sebentar tadi. Di dalam mimpi itu, dia dan Emran telah pun mendirikan rumahtangga. Namun, tiba-tiba muncul seorang gadis dan dilihat sedang bermesra-mesraan dengan Emran di atas katil mereka!

            “Tak guna punya perempuan! Berani dia mengganggu hubungan aku dengan Emran! Tapi, siapa dia..??” Syaqila berbicara dengan dirinya sendiri. Buat seketika, dia agak terganggu dengan kehadiran gadis itu.

            Syaqila menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia cuba menenangkan diri. Mimpi itu hanyalah mainan tidur. Dia tidak mahu mimpi-mimpi sebegitu mengganggu ketenangannya. Namun, semakin dia cuba untuk melupakannya, semakin jelas bayangan Emran dan gadis itu muncul di ruang ingatan.

            “Fiq…” panggil Syaqila. Dia benar-benar memerlukan lelaki itu di saat ini. Terlupa sebentar akan hukuman yang telah dijatuhkan ke atas lelaki itu beberapa hari yang lepas, Syaqila mengelipkan matanya sebanyak tiga kali dengan harapan Fiqry akan segera muncul di depan mata.

            “Saya kat sebelah awak ni…” suara lembut Fiqry kembali menenangkan hati Syaqila.

            “Saya takut,” bisik Syaqila. Suaranya kedengaran sayup-sayup. Fiqry hanya berdiri kaku melihat gadis itu bangun dan duduk menghadapnya.

            “Awak tak perlu takut selagi saya ada di sini. Saya sentiasa ada untuk awak, ingat?” ucap Fiqry. Dia tersenyum ketika melihat Syaqila mulai mengukir senyuman.

            “Kenapa Emran tak macam awak…? Kenapa Emran tak selalu ada waktu saya perlukan dia..? Kenapa Emran sering menyakitkan hati walaupun saya sayangkan dia..?” adu Syaqila ketika Fiqry mengambil tempat duduk di sebelahnya.

            “Apa yang Emran dah buat..?” tanya Fiqry, berpura-pura tidak tahu. Hakikatnya, dia melihat sendiri kesedihan Syaqila dan kecurangan Emran.

            “Dia janji nak kahwin dengan saya,” beritahu Syaqila. Namun, ada nada was-was pada suaranya.

            “Kan bagus macam tu. Awak dapat kahwin dengan insan yang awak sayang. Kenapa mesti bersedih begini?” tanya Fiqry lagi.

            “Saya rasa tak sedap hatilah. Tadi, saya mimpikan Emran. Ada seorang perempuan di sisi dia. Saya takut dia tinggalkan saya dan pilih perempuan tu,” Syaqila menyambung luahan rasanya.

            “Itukan cuma mimpi. Awak terlalu banyak fikir, Syaqila. Awak tidur ye. Esok pagi awak call Emran. Mungkin dengan cara tu boleh meredakan sikit keresahan hati awak ni,” Fiqry mencadangkan. Walhal, dia sebenarnya telah tahu niat Syaqila yang mahu menghubungi Emran pada keesokan harinya.

            “Saya takut,” Syaqila mengulangi sekali lagi tentang rasa takutnya itu. Fiqry memaut bahu gadis itu. Bagaimana dia mahu menjelaskan kepada Syaqila agar melupakan saja lelaki yang tidak menghargainya itu?

            “Fiq, macam mana kalau Emran betul-betul tinggalkan saya?”

            Fiqry tidak terus menjawab. Dia tahu memang itu yang akan berlaku. Emran pasti akan meninggalkan Syaqila satu hari nanti. Cuma Syaqila saja yang masih belum dapat menerima kenyataan. Dia tidak mahu Syaqila terus-terusan ditipu oleh Emran. Namun, dalam masa yang sama juga, dia tidak mahu melihat kesedihan sering bertandang dalam hati gadis itu.

            “Syaqila, anggaplah akan ada lelaki yang terbaik telah ditakdirkan untuk awak. Kalau Emran lelaki yang telah ditakdirkan untuk awak, awak tak perlu rasa takut begini. Awak kena yakin, setiap apa yang diciptakan ke atas manusia ni, telah tertulis sejak azali lagi,” pujuk Fiqry.

            “Fiq, boleh saya tanya sesuatu?”

            “Apa saja…”

           “Awak ni manusia ke..?” pertanyaan Syaqila jelas menimbulkan perasaan lucu di hati Fiqry. Dia tersenyum riang. Dia menilik setiap inci wajah Syaqila. Dia tidak perlu menjawab pertanyaan itu. Syaqila pasti akan sedar siapa dirinya yang sebenar kelak. Fiqry mengekalkan senyumannya sehingga Syaqila mengikut untuk tersenyum sama.

            “Saya rasa awak ni bukan manusia. Tapi, saya tak tahu kenapa awak boleh terlalu faham tentang perasaan manusia…”

            Fiqry hanya mengangguk. Bersetuju dengan pendapat Syaqila tentang siapa dirinya. Namun, dia sedang memikirkan kemungkinan jawapan yang sesuai untuk perasaan ingin tahu Syaqila tentang kebolehannya.

            “Sukar saya nak jelaskan tentang perkara itu, Syaqila. Tapi, saya yakin satu hari nanti awak pasti tahu,” balas Fiqry tenang. Dia melihat dahi Syaqila yang berkerut bagaikan sedang memikirkan sesuatu.

            Syaqila akhirnya akur bahawa Fiqry tidak mungkin akan menjelaskan siapa dirinya yang sebenar. Syaqila yang terasa ingin menyambung semula tidurnya sempat berpesan kepada Fiqry agar tidak meninggalkan dirinya keseorangan di situ. Fiqry dengan senang hati berjanji untuk terus kekal di situ menemani Syaqila.

Post a Comment