They're My Best Buddies

Tuesday, 22 November 2011

Mimpi Semalam - Bab 6


Perjalanan ke Johor Bahru mengambil masa selama hampir 5 jam. Dania yang bergilir-gilir memandu dengan Farah, kini tersenyum lebar ketika kereta yang mereka naiki telah pun memasuki perkarangan hotel.

            Mereka akan berada di situ selama seminggu. Farah yang begitu gembira kerana berpeluang mengikut Dania tidak putus-putus bercerita itu dan ini. Dania pula hanya melayan saja kerenah temannya itu. Sebaik saja tiba di bilik, Farah segera menyelak langsir dan membuka tingkap seluas-luasnya. Dia merasa kagum dengan keindahan pemandangan yang dapat dilihat dari bilik tersebut.

            Dania pula mengambil kesempatan untuk berbaring seketika. Petang itu mereka berdua akan pergi ke anak syarikat tempat mereka bekerja. Tiada tugasan rasmi yang perlu dilakukan petang itu. Cuma mereka perlu menghadiri satu mesyuarat ringkas untuk membincangkan mengenai kerja-kerja yang perlu untuk diaudit.

            Sambil berbual-bual dengan Farah yang masih belum puas menikmati pemandangan laut di tepi hotel itu, Dania memejamkan matanya. Buat seketika bayangan Joshua dan Irfan menjelma di ruang ingatannya.

            “Saya tak pasti apa yang awak dah buat pada Niel, tapi terima kasih sebab dapat pujuk dia,” walaupun agak berat, Joshua meneruskan juga ucapan terima kasihnya itu.

            Dania yang sedang berdiri memeluk tubuh di depan muka pintu hanya mendengus halus. ‘Kalau tak ikhlas, lebih baik jangan berterima kasih!’ begitulah detik hatinya. Namun, dia tetap bermanis muka ketika Irfan datang untuk menyalami tangannya. Hatinya runtun ketika Irfan memeluknya erat sebelum kanak-kanak itu berlalu pergi. Dia sempat berpesan agar Irfan menjaga diri dan kelakuannya dengan baik.

            “Kak Nia jangan lupakan saya tau! Mesti hubungi saya selalu!” laung Irfan sebelum menghilang ke dalam kereta pakciknya. Dania hanya mampu melambai dan tersenyum dari kejauhan. Dalam hati, Dania berdoa semoga Joshua tidak akan mengapa-apakan Irfan.

            “Apalah yang Irfan tengah buat sekarang ni? Minggu depan dia dah nak ke sana. Agak-agaknya pakcik dia bagi tak kami jumpa dulu sebelum hantar dia ke sekolah tu?” Dania berbicara dengan dirinya sendiri. Matanya sudah kembali terbuka. Dia melilau mencari kelibat Farah. Kelihatan gadis itu sudah pun terlena di sebelahnya.

            Dania bergegas menuju ke bilik air. Waktu Zohor telah lama berlalu. Dia ingin menyegar dan membersihkan dirinya sebelum menghadap Yang Maha Esa.

                                                        *          *          *

            “Kalau ikut apa yang tertulis dalam schedule ni, kami akan berada di sini selama seminggu saja. Jadi, kami harap encik Fauzi boleh beri kerjasama dengan sebaik mungkin,” kata Dania sambil tersenyum mesra. Farah yang duduk di sebelahnya hanya mengangguk kecil.

            “Takde masalah, cik Dania. Kami dah kemaskini semua yang diperlukan semasa audit nanti. InsyaAllah, semuanya akan berjalan dengan lancar. Semua pegawai telah dimaklumkan tentang hal ini. Jadi, cik Dania boleh meminta bantuan mereka untuk memudahkan kerja cik Dania nanti,” balas Fauzi.

            “Sounds good. Jadi, kita jumpa pagi esok. Saya harap kita boleh mulakan seawal yang mungkin. Saya pun tak nak mengganggu kerja encik Fauzi dan staff lain di sini.”

            “Patutlah encik Hanif hantar cik Dania tahun ni. Memang dedikasi sungguh!” Fauzi memuji ramah. Dia tersenyum memandang Dania dan Farah.

            “Eh, takdela macam tu. Saya cuma jalankan tugas saya je. Lagipun, saya kena balik cepat. Banyak urusan lain nak kena selesaikan di sana,” balas Dania merendah diri. Dia kemudian menyimpan semua dokumen di dalam begnya.

            Mereka kemudian bersalaman sebelum Dania dan Farah melangkah keluar dari bilik Fauzi. Fauzi merupakan pengurus akaun di cawangan itu. Dania mulai selesa dengan layanan yang baik dari Fauzi. Mungkin itu akan melancarkan tugasannya nanti. Selain itu, Dania amat berpuas hati kerana berpeluang untuk berkenalan dengan pekerja-pekerja anak syarikat tempat dia bekerja. Sekurang-kurangnya, adalah muka-muka baru yang boleh diajak berbual dan berbincang.

            “Nia, Fauzi tu betul ke dah kahwin? Aku tengok dia steady je. Tak nampak macam suami orang pun,” tanya Farah ketika mereka dalam perjalanan pulang ke hotel.

            “Manalah aku tahu. Kalau ikut dalam profile dia, memang dah kahwin pun. Kenapa kau tak tanya sendiri pada dia?”

            “Gila kau! Takkanlah aku nak tanya. Malulah aku!”

            “Dah tahu malu tak payah tanya. Diam-diam cukup. Tapi, apa masalah kau kalau dia dah kahwin sekalipun?” tanya Dania penuh musykil. Dia sempat menoleh ke arah Farah yang sedang memandu.

            “Mana ada masalah. Aku tanya je, salah ke?” Farah cuba mengelak untuk membalas pandangan Dania. Seperti ada sesuatu yang tersembunyi dari raut wajahnya. Dania tidak meneruskan lagi perbualan itu. Dia kembali melayani perasaannya sendiri. Sambil melemparkan pandangan jauh ke luar, Dania mengelamun sendiri. Alangkah bagusnya kalau dia dapat bercuti berdua di situ dengan Fahmi. Fahmi?! ‘Ah, buang masa saja meningatkan jantan tak guna tu!’ hati Dania membentak.

            Malam itu, Dania dan Farah menghabiskan masa mereka dengan meredah lautan manusia di sekitar Danga Bay. Duduk berbual-bual di situ benar-benar menghilangkan tekanan dan bebanan kerja yang dialami selama ini.

            “Hello,” balas Dania lembut ketika telefon bimbitnya berbunyi. Farah yang merenung jauh menoleh ke arahnya.

            “Am I disturbing you?” balas suara di hujung talian. Dania yang mengecam suara itu milik Fauzi, sekadar tersenyum. Sambil membalas tidak, Dania memandang Farah yang masih lagi merenungnya.

            “Kami di Danga Bay. Kalau awak nak datang, kami tunggulah…”

            “Okay, I’ll be there around 10pm,” balas Fauzi girang.

            Dania menyimpan semula telefon bimbitnya ke dalam poket seluar. Dia tersenyum mesra melihat wajah Farah yang kebingungan. Sekadar menggelengkan kepala apabila ditanya, Dania kembali menjamu matanya dengan pemandangan di situ.

            “Siapa yang nak datang?” tanya Farah, mengulangi semula soalannya yang tidak dijawab oleh Dania sebentar tadi.

            “Kau tengok jelah. Someone we both knew…”

            “Siapa?!” desak Farah. Dalam hatinya sudah mengagak-agak mungkin Fauzi yang akan datang. Tak mungkin pula teman-teman mereka di Kuala Lumpur yang sanggup datang sejauh itu. Namun, agakan itu tidak disuarakan kepada Dania. Bimbang dituduh melulu oleh gadis itu.

            “He’ll be here any minutes from now. Just wait and see,” balas Dania, cuba berteka-teki. Dia berpuas hati melihat Farah yang tidak sabar-sabar menunggu. Gadis itu kelihatan agak resah sambil tidak putus-putus menoleh ke belakang.

            “Kenapa kau resah semacam ni?” Dania menegur tingkah-laku Farah itu.

            “Err..takde apa-apa. Aku biasa jelah,” Farah membalas sambil cuba mengawal riak wajahnya agar benar-benar kelihatan biasa pada pandangan Dania.

            “Aku tengok kau macam kucing hilang anak je..kenapa?”

            “Pandailah kau, Nia! Aku okay je. Takde apa-apa pun. Hmm..mana kawan kau yang kata nak datang tu?” Farah bertanya lagi.

            “Kejap lagi dia sampailah. Aku tahu kau tak sabar-sabar nak jumpa dia, kan?”

            “Aku pun tak kenal siapa kawan kau tu, macam mana kau boleh cakap aku tak sabar-sabar pula?”

            “Takpe, sekejap lagi kau boleh berkenalan dengan dia…” balas Dania sambil tersenyum penuh makna.

            Selang beberapa minit kemudian, Dania melihat Fauzi yang berlari-lari anak menghampirinya. Farah yang duduk di sebelah masih tidak sedar akan kehadiran Fauzi. Gadis itu tidak putus-putus bercakap. Tiada gangguan di sebalik ceritanya. Namun, suaranya terhenti ketika mendengar Fauzi memberi salam.

            “Eh, encik Fauzi!”

            “Farah…kau dah kenal rupanya kawan aku ni. Tak payahlah aku kenalkan lagi,” usik Dania lalu membuat wajah Farah bertukar merah.

            “Kenapa ni..?” tanya Fauzi ingin tahu. Dia lalu duduk di sebelah Dania sambil tersenyum memandang Farah.

            “Sebenarnya, tadi saya dengan Farah sedang bercakap tentang…”

            “Tentang tempat ni, encik Fauzi. Cantik betul pemandangan waktu malam di sini, kan?” Farah memotong sebelum sempat Dania menghabiskan kata-katanya.

            “Memanglah cantik. Kalau awak suka tempat ni, saya boleh temankan awak  datang sini lagi. Hari-hari pun takpe,” Fauzi berkata mesra.

            Dania tiba-tiba bangun dari duduknya. Dia lalu melangkah ke depan sambil mendepakan tangannya. Sambil menyedut dalam udara segar di situ, Dania sempat mengucapkan syukur kerana masih diberi peluang untuk menikmati keindahan ciptaan Tuhan.

            “Bukan cantik saja, malah udaranya pun segar sangat. Rasa macam tak nak balik pun ada,” Dania meluahkan pendapatnya. Dia menoleh ke belakang, melihat Fauzi yang masih tersenyum dan Farah yang kelihatan cuba berlagak biasa.

            “Kalau macam tu, you all stay lama sikit. Saya boleh bawakan ke tempat-tempat menarik sekitar JB ni. Bukan selalu you all dapat datang sini, kan?”

            “Lain kali kot, encik Fauzi. Lagipun tujuan kami datang sini sebab ada kerja, kan? Kalau datang untuk bercuti lain ceritalah,” balas Farah. Dia cuba mengekang perasaannya yang ingin merenung wajah Fauzi di sebelahnya.

            “Hmm..betul tu. Mungkin lain kali kami akan datang lagi atas tujuan bercuti pula,” sampuk Dania yang kembali duduk. Kini, dia duduk di sebelah kanan Farah pula, memberi peluang gadis itu bersebelahan dengan Fauzi yang nampaknya seperti berminat dengan Farah.

            Fauzi terangguk-angguk, bersetuju dengan cadangan Farah dan Dania. Dia kemudiannya lebih banyak bertanya Farah tentang kehidupan gadis itu. Dania cuba untuk menyendiri, sambil memberi peluang untuk Farah dan Fauzi berkenalan dengan lebih rapat lagi. Dia yang tiba-tiba terasa rindu pada Irfan, lantas mengeluarkan telefon bimbitnya.

            Sambil mengisyaratkan kepada Farah bahawa dia ingin membuat panggilan, Dania menjauhi temannya itu. Berdoa agar bukan Joshua yang menjawab panggilan itu, Dania menghembus nafas lega tatkala mendengar suara Irfan di hujung talian.

            “Irfan buat apa tu?”

            “Saya tengah tengok tv dengan ayah Su. Kak Nia kat mana? Kenapa bunyi bising sangat kat belakang tu..?” balas Irfan yang agak teruja mendapat panggilan telefon dari Dania.

            “Kak Nia kat JB ni. Ada kerja kat sini. Sekarang akak ada kat Danga Bay. Bunyi suara orang ramailah yang bising tu,” beritahu Dania sambil tersenyum. Dia juga gembira dapat berbual dengan Irfan tanpa perlu berselindung lagi dari pengetahuan pakcik kanak-kanak itu. Dia lebih selesa berbual setelah Joshua tahu tentang hubungan antara dirinya dengan Irfan.

            “Wah, seronoknya! Hmm..kak Nia, minggu depan saya dah nak pergi,” Irfan memberitahu sambil merendahkan nada suaranya. Joshua yang sedang menonton mengalihkan pandangan ke arah Irfan.

            “Kalau kita jumpa sebelum Irfan pergi sana, boleh tak?”

            “Saya dah cakap dengan ayah Su. Ayah Su izinkan, tapi dengan satu syarat…” Irfan sengaja membiarkan Dania tertanya-tanya. Dia membalas pandangan Joshua yang kembali menumpukan perhatiannya terhadap rancangan televisyen.

            “Syarat apa?”

            “Kak Nia kena datang sini. Ayah Su tak bagi saya pergi rumah kak Nia lagi. Boleh tak kak Nia datang rumah saya?” pinta Irfan teragak-agak. Dia seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan Dania.

            “Oh, akak ingat apa tadi! Boleh…takde masalah. Nanti akak confirm balik hari apa nak jumpa Irfan, okay?”
            “Okay! Err..kak Nia pergi JB belilah ole-ole untuk saya,” kata Irfan sambil tergelak kecil. Dia sebenarnya merasa amat gembira kerana berpeluang untuk bertemu Dania lagi, kali ini dengan keizinan Joshua.

            “Irfan nak apa?”

            “Hmm..tak tahulah apa yang istimewa kat JB tu. Kak Nia beli apa-apa pun saya terima je. Tapi kalau menyusahkan kak Nia, tak payahlah beli apa-apa…” jawab Irfan perlahan. Tidak mahu Joshua mendengar suaranya. Pasti dia akan dimarahi oleh pakciknya itu sekiranya terdengar dia meminta-minta sesuatu dari orang lain.

            “Hmm..nantilah akak tengok apa yang istimewa kat sini. Okay dik..akak tak boleh cakap lama ni. Nanti akak call lagi. Take care,” Dania menamatkan perbualan telefon itu. Dia mula berfikir apa yang harus dibelikan untuk Irfan. ‘Perlu ke aku beli sesuatu untuk pakcik dia juga?’ hati Dania berbisik. Teringatkan Joshua, dia kembali berasa tegang. Pertama kali dia berjumpa dengan lelaki yang begitu dingin sikapnya.

                                                          *          *          *

            “Kau dari mana, Farah?”

            “Aku keluar kejap tadi. Jalan-jalan ambil angin,” perlahan Farah menjawab. Dia yang baru tiba di bilik tepat jam 11.30 minit malam itu, terkejut ditegur Dania. Sangkanya mungkin Dania sudah tidur.

            “Kau ambil angin ke pergi dating?” Dania menyerkap jarang. Dia yang telah terdengar perbualan antara Farah dan Fauzi petang tadi berpura-pura tidak mengetahui hal tersebut. Kalau boleh dia mahu Farah sendiri yang berterus-terang dengannya.

            Bukannya Dania tidak suka hubungan rapat antara Farah dan Fauzi. Tetapi, status Fauzi sebagai suami itu membuatkan Dania merasa dia perlu menghalang Farah dari terus menjalinkan hubungan rapat dengan Fauzi. Dia tidak mahu temannya itu dianggap sebagai perampas suami orang.

            “Mana ada! Aku keluar ambil anginlah. Betul, Nia…aku tak tipu,” Farah bersungguh-sungguh meyakinkan Dania.

            “Ambil angin dengan Fauzi ke..?”

            “Err..tak. Aku seorang je tadi,” jawab Farah teragak-agak. Dia hairan mengapa Dania boleh mengesyakinya begitu. Selama 4 hari mereka di situ, dia sudah cuba untuk berselindung daripada Dania. Dia akui bahawa hubungannya dengan Fauzi semakin erat. Namun, dia yakin Dania tidak akan menghidu hubungan rapat tersebut kerana Fauzi juga sepertinya, cuba untuk melindungi perkara tersebut dari pengetahuan Dania. Mereka cuba berlagak profesional ketika menjalankan tugas.

            “Aku tanya je. Kalau takde tak apalah. Bukan apa, sebab petang tadi aku ada call Fauzi. Macam terdengar suara perempuan kat sebelah dia. Suara tu macam suara kau,” kata Dania bersahaja. Dia kembali berbaring di atas katil.

            “Tapi, mana ada handphone dia berbunyi petang tadi…” balas Farah.

            “Apa kau cakap?”

            Farah yang terlepas kata itu segera menepuk dahinya. Dia merenung muka Dania yang nampak tenang. Sambil menarik nafas panjang, Farah duduk di sisi Dania dan menceritakan semuanya. Bagaimana Fauzi melahirkan hasratnya untuk menjadikan Farah sebagai teman istimewanya dan bagaimana hubungan mereka berjalan lancar tanpa sesiapa pun yang tahu.

            “Aku dah lama perasan. Malas nak tanya je. Nak tunggu kau cerita sendiri. Baru 4 hari kita kat sini kau dah percaya kat dia, Farah?”

            “But he’s nice, Nia. Apa yang paling penting sekarang, dia bukan suami sesiapa. Dia dah lama menduda. Memang betul dia pernah kahwin dulu. But now he’s available,” Farah bersuara sambil tersenyum. Dia tahu mungkin Dania akan terkejut mendengarnya.

            “And you believe him...?” tanya Dania tidak percaya. Mungkin benar Fauzi sudah bercerai dengan isterinya. Tapi, mana buktinya? Dania tidak mahu Farah ditipu oleh lelaki itu. Jika benar sekalipun Fauzi sudah tidak punya apa-apa hubungan dengan bekas isterinya, dia perlu buktikan perkara tersebut.

            “Mestilah aku percaya. Takkanlah dia nak tipu aku hal-hal begini. Ini bukan perkara main-main, Nia. Apa yang dia dapat kalau dia tipu aku sekalipun?”

            “Dia dapat main-mainkan perasaan kau…” selamba Dania membalas.

            “Aku dah agak mesti begini respon kau, Nia. Sebab tu aku tak nak ceritakan pada kau. Dan sebab tu juga Fauzi minta aku rahsiakan tentang hubungan kami,” Farah lantas bangun, menjauhi Dania. Dia segera menyimpan barangan yang dibeli ketika keluar sebentar tadi. Cuba untuk mengawal rasa marah terhadap respon negatif Dania tentang hubungannya dengan Fauzi.

            “Terpulanglah, Farah. Aku bukan tak suka kau berkawan dengan dia. Aku pun rasa Fauzi tu baik orangnya. Cuma aku minta kau kenal dulu dia betul-betul sebelum kau terima dia. Bukan secepat ini,” Dania cuba menasihati temannya itu. Dia merendahkan intonasi suaranya agar Farah tidak tersinggung.

            “Thanks, Nia. Aku akan ingat nasihat kau tu. Kau jangan risau. Pandailah aku nak jaga diri nanti,” jawab Farah lembut. Rasa marahnya serta-merta hilang.

            Dania sekadar tersenyum mendengar jaminan Farah itu. Mungkin benar, dia tersilap kerana mengesyaki yang bukan-bukan tentang Farah dan Fauzi. Lagipun, temannya itu sudah cukup matang untuk menentukan hala tuju hidupnya sendiri.

            “Keluar tadi tak beli apa-apa untuk aku, ke?” tanya Dania, cuba untuk menukar topik perbualan.

            “Kau tak kirim pun. Manalah aku tau kau nak aku belikan sesuatu,” balas Farah mesra. Dia kembali mendekati Dania.

            “Ada pula nak kena tunggu aku kirim. Apa punya kawanlah kau ni. Alamak, aku teringat dekat Irfanlah!”

            “Kenapa? Irfan tu siapa pula?”

            “Hmm..adik aku tu. Aku dah janji nak belikan sesuatu untuk dia. Esok kita dah nak balik. Sempat ke nak beli souvenir untuk dia?” Dania melingas ke loker, tempat Farah menyimpan barangannya tadi.

            “Mestilah sempat. Esok pagi lepas check-out kita pergilah. Aku bawa kau pergi satu tempat ni. Macam-macam ada kat sana. Kau boleh pilih apa saja untuk hadiahkan kat adik kau tu,” kata Farah cuba untuk menenangkan Dania. Sambil terangguk-angguk dengan janji Farah, fikiran Dania mula melayang teringatkan Irfan. Rindu benar dia pada teman kecilnya itu.

Post a Comment