They're My Best Buddies

Tuesday, 22 November 2011

Mimpi Semalam - Bab 5


“Nia, kau kena balik sekarang juga!” suara Puteri di hujung talian kelihatan agak mendesak.

            “Kejap lagi aku baliklah. Nak siapkan kerja aku ni…sikit je lagi. Kenapa kau beria-ia suruh aku balik cepat ni?”

            “Kau mesti terkejut kalau aku beritahu benda ni. Kawan kau datang sini. Dia tak nak balik. Dia nak tunggu kau,” beritahu Puteri tergesa-gesa.

            “Siapa?” tanya Dania kehairanan. Belum pernah lagi ada kawan-kawannya yang akan ke rumahnya tanpa memberitahu terlebih dahulu.

            “Irfan!”

          Sepantas kilat Dania meletak gagang telefon. Dia segera mengemas mejanya dan kelam-kabut menyambar beg tangan dari dalam laci mejanya. Farah yang masih belum balik merenung Dania penuh tanda tanya. Dia berkira-kira sama ada mahu menegur perbuatan Dania itu atau sebaliknya.

            “Nia, kau cakap nak stayback hari ni…” akhirnya Farah menegur juga. Ketika itu Dania tergopoh-gapah melintasi mejanya.  
         
            “Farah, aku minta maaf sangat. Aku kena balik sekarang juga. Ada hal kecemasan kat rumah. Tolong siapkan report ni ya,” Dania terus berlalu sebelum sempat Farah bersoal-jawab dengannya.

            Jantungnya mulai berdegup kencang. Dia hairan kerana Irfan tiba-tiba muncul dirumahnya. Kali terakhir mereka berbual minggu lepas, kanak-kanak itu begitu ceria sekali. ‘Apa yang dah berlaku pada Irfan ni? Dia bergaduh dengan ayah Su dia lagi ke..?’ hati Dania mula berteka-teki.

            Keadaan jalanraya yang agak lengang itu melancarkan pemanduan Dania. Tidak sampai setengah jam kemudian dia tiba di rumahnya. Pintu depan kelihatan terbuka luas. Jarang sekali Puteri membiarkan pintu rumah mereka terbuka seluas itu.

            “Kak Nia!” panggil Irfan lalu berlari mendapatkan Dania di muka pintu. Dania yang belum sempat menanggalkan sepatunya kaget apabila dipeluk erat oleh Irfan. Buat seketika Dania seperti tidak percaya dengan pendengarannya sendiri. Irfan menangis?!

            “Irfan, kenapa ni?” lembut Dania bertanya. Dia cuba melonggarkan pelukan Irfan. Dia kemudian melutut di hadapan kanak-kanak itu. Wajah comel Irfan direnung penuh tanda tanya. Dania membawa Irfan masuk ke dalam rumahnya. Puteri yang tercegat di depan muka pintu hanya memerhati tanpa sepatah kata.

            Dengan sedu-sedan yang masih bersisa, Irfan menceritakan keadaannya sebelum dia membuat keputusan untuk datang kerumah Dania. Pertengkaran antara dirinya dan Joshua malam tadi membuatkan Irfan tekad untuk melarikan diri. Dia telah memujuk Joshua agar tidak menghantarnya ke Maxgrid High School kerana beranggapan keadaan Joshua yang agak tenang sepanjang minggu itu boleh mematahkan niat asalnya. Namun, Irfan tersilap kerana ternyata Joshua tetap dengan keputusannya.

            “Ayah Su pukul saya, kak Nia. Sakit…” adu Irfan lalu menyelak bajunya untuk menunjukkan kesan lebam akibat dipukul oleh Joshua.

            “Ya Allah!” jeritan Puteri mendahului jeritan Dania. Puteri yang dari tadi hanya memerhati, kini menghampiri Irfan. Dia mengusap kesan-kesan lebam itu dengan penuh berhati-hati, bimbang Irfan akan berasa sakit.

            “Kenapa boleh jadi macam ni? Teruk betullah dia tu!” Puteri bersuara lagi. Dia yang sememangnya sayangkan kanak-kanak turut merasa kesakitan Irfan.

            “Ayah Su memang garang. Tapi, inilah kali pertama dia pukul saya. Sebelum ni dia marah-marah je,” beritahu Irfan sambil membetulkan semula bajunya.

            “Tapi, Irfan tak boleh lari dari rumah macam ni…” kata Dania. Dia memandang tidak percaya ke wajah Irfan. Terbayang di ruang matanya wajah serius Joshua.

            “Nia, takkan kau nak biarkan budak ni kena pukul lagi?!” pintas Puteri tegar. Dia membelai rambut Irfan penuh kasih-sayang.

            “Kalau kak Nia tak suka saya kat sini, biarlah saya pergi,” Irfan menyampuk perlahan. Cuba menimbulkan rasa bersalah di hati Dania.

            Dania melepaskan satu keluhan yang amat berat. Dia memandang ke arah Puteri dan Irfan silih berganti. Bagaimana dia harus menerangkan kepada Irfan risiko yang bakal mereka hadapi sekiranya Irfan terus berada di situ? Demi Tuhan, Dania juga sama seperti Puteri, tidak sanggup melihat Irfan menderita sebegitu.

            “Irfan, dengar sini. Kak Nia suka sangat Irfan datang sini. Tapi, ini bukan caranya. Kalau ayah Su buat report tentang kehilangan Irfan, Kak Nia akan dituduh menculik Irfan. Irfan nak tengok Kak Nia masuk penjara?”

            “Bukan kak Nia yang culik saya. Saya yang datang sendiri. Saya boleh beritahu pada polis,” Irfan begitu yakin dengan kata-katanya.

            “Takde siapa yang akan percaya, dik. Irfan masih di bawah umur. Ayah Su boleh tuduh Kak Nia culik Irfan bila-bila masa saja,” Dania cuba membuat Irfan faham tentang situasi itu. Dia memandang ke arah Puteri meminta bantuan. Puteri yang baru terfikirkan tentang hal itu kini menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal.

            “Saya boleh buat keputusan sendiri. Saya bukan bodoh!” Irfan menempik nyaring. Dia menyambar beg sekolahnya dan terus berlari keluar.

            “Irfan, tunggu!” panggil Dania. Dia turut berlari mendapatkan Irfan. Mujurlah langkah kaki kanak-kanak itu tidak sebesar mana. Dania berjaya menyambar lengan Irfan yang meronta-ronta minta dilepaskan.

            “Kalau kak Nia tak nak susah sebab saya, biar saya pergi dari sini. Saya boleh jaga diri saya sendiri!” berdesing telinga Dania mendengar suara Irfan yang meninggi itu. Dia menguatkan lagi pegangan tangannya, takut jika Irfan terlepas.

            “Irfan, kita masuk dalam dulu. Kak Nia tak benarkan Irfan pergi dari sini. Kalau apa-apa yang jadi pada Irfan, Kak Nia yang terpaksa bertanggungjawab. Irfan budak baik, kan? Jom, kita masuk dalam,” pujuk Dania lembut. Dia memandang Irfan yang masih terus meronta-ronta.

            “Saya tak nak jadi beban pada sesiapa. Lepaskanlah saya!” Irfan terus menjerit, lalu membuatkan Dania terus mengheretnya masuk ke dalam rumah. Namun, kanak-kanak itu tidak mempedulikannya. Dia terus berlari keluar. Puteri mengambil alih tempat Dania untuk mengejar Irfan. Sempat Puteri menyambar baju di bahagian belakang kanak-kanak itu. Dania segera menghampiri mereka. Dia agak gerun melihat wajah Irfan yang bertukar merah.

            “Irfan jangan macam ni, sayang. Dengar cakap Kak Nia ye?” Dania cuba mengawal nada suaranya. Tidak mahu suaranya bakal menarik perhatian jiran-jiran di situ.

            “Lepaskan saya!” Irfan mengaum lagi. Kali ini Puteri terpaksa melepaskan pegangannya kerana disentap kasar oleh Irfan. Namun, Dania yang tidak berfikir panjang, terus mengejar Irfan yang telah berlari ke seberang jalan.

            “Nia!” jerit Puteri sebaik saja temannya itu tercampak hampir 3 meter dari tempat Irfan berdiri. Puteri segera berlari mendapatkan Dania yang sedang terbaring tidak sedarkan diri. Buat seketika, Puteri agak panik melihat keadaan Dania. Dia menjadi tidak tentu arah, tidak tahu apa yang harus dilakukannya ketika itu.

            “Kak Nia, bangun…jangan takutkan saya” nada suara Irfan agak mengeletar. Dia tergamam melihat Dania dilanggar oleh sebuah kereta, betul-betul di hadapannya.

            “Maaf cik, saya tak sempat nak brek,” suara pemandu kereta itu mengejutkan Puteri dan Irfan Mereka serentak memandang ke arah seorang lelaki yang berdiri di belakang mereka.

            “Puteri…” suara Dania tiba-tiba kedengaran. Dania yang berada di dalam pangkuan Puteri membuka mata perlahan-lahan.

            “Kita bawa dia ke hospital…?” si pemandu cuba memberi cadangan. Dia juga kelihatan sangat panik.

            “Bawa aku masuk, Puteri…” Dania masih cuba bersuara, walaupun lemah.

            “Kita pergi hospital ye?” pujuk Puteri. Dania hanya menggeleng. Dia berpesan kepada Puteri untuk menelefon Doktor Yasser, doktor peribadi keluarganya.

            “Err…takpelah, encik. Kawan saya tak nak pergi hospital. Kami akan call doktor datang sini. Terima kasih ye…” ujar Puteri sambil membangunkan Dania.

            “Saya tolong awak bawa dia masuk ke dalam..” si pemandu segera memaut bahagian kiri badan Dania, sementara Puteri memaut di bahagian kanan. Irfan yang tercegat di situ, terdiam seribu bahasa. Dia hanya mengekori langkah mereka, namun langkahnya terhenti di muka pintu.

            “Kalau ada apa-apa, awak boleh call saya. Saya minta maaf lagi sekali. Saya betul-betul tak sempat nak tekan brek masa kawan cik melintas tadi,” si pemandu menghulurkan kadnya ke tangan Puteri.

            Sebaik saja pemandu itu pergi, Puteri segera menelefon Doktor Yasser supaya datang ke rumah mereka. Pandangan Puteri teralih ke arah Irfan sebaik saja dia meletakkan gagang telefon.

            “Tadi Irfan kata nak pergi, kan? Irfan pergilah sejauh yang mungkin. Jangan datang sini lagi. Kami tak perlukan Irfan,” tegas Puteri bersuara.

            “Kak Puteri, saya minta maaf…” lemah Irfan bersuara. Dia tidak tahu bagaimana semua itu berlaku. Semuanya sepantas kilat. Irfan tidak bermaksud untuk menyebabkan Dania dilanggar sebegitu.

            “Irfan, sebelum jadi sesuatu yang lebih teruk lagi…kak Puteri minta Irfan tolong pergi dari sini. Jangan sampai ayah Su Irfan datang sini dengan pihak polis,” Puteri separuh merayu, separuh mengugut. Dia merenung Irfan penuh harap.

            Namun, Irfan tidak berganjak walau seinci pun. Dia mematungkan dirinya. Melihat Dania yang kembali tidak sedarkan diri makin menimbulkan rasa bersalah. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya.

            “Kak Puteri, saya…” Irfan tidak sempat menghabiskan kata-katanya. Puteri memberi isyarat supaya dia mendiamkan diri.

            “Irfan, masuk dalam cepat. Kak Puteri tak nak ada sesiapa yang nampak Irfan ada kat sini,” Puteri tiba-tiba mengarahkan kanak-kanak itu supaya masuk ke dalam rumah.

            Irfan segera masuk ke dalam rumah. Dia melangkah lemah ke arah Dania. Puteri pula sibuk mengunci pintu rumahnya sambil meninjau-ninjau jika ada jiran-jiran yang menjenguk. Dia menarik nafas lega kerana nampaknya jiran-jiran yang terdekat tidak menunjukkan diri mereka.

            “Kak Puteri…” panggil Irfan takut-takut. Dia kemudian mampu untuk berasa lega kerana raut wajah Puteri tidak lagi seserius sebelum ini.

            “Kita tunggu doktor datang. Kak Puteri pun tak tahu nak buat apa,” bisik Puteri. Kanak-kanak itu hanya mengangguk tanda faham. Puteri memandang Dania yang kaku di atas sofa. Pandangan Puteri kemudian beralih memandang Irfan. Dia tersenyum melihat raut wajah kanak-kanak itu. Benar kata Dania, siapa pun akan simpati selepas menatap wajah tulus Irfan.

            “Irfan dah makan?” lembut Puteri bertanya. Irfan yang masih ragu-ragu dengan perubahan sikap Puteri itu segera menggelengkan kepalanya.

            “Nanti kak Puteri panaskan lauk, kita makan sama-sama ya…” Puteri cuba menjernihkan kembali suasana.

            Irfan cuba untuk tersenyum, sebagai membalas senyuman Puteri. Dia kemudian ditinggalkan berdua dengan Dania. Perlahan-lahan Irfan menghampiri Dania. Dia melutut di sisi Dania. Sambil mengusap lembut kepala Dania, airmatanya mengalir lagi.

            “Kak Nia, maafkan saya…” bisik Irfan lembut ke telinga Dania.

                                                         *          *          *

            Kepalanya masih lagi terasa sakit. Dania cuba bergerak untuk mengalihkan kepalanya yang mulai terasa lenguh itu. Dia memandang jam di dinding biliknya. Pandangannya agak kabur pagi itu. Cuba untuk mengingat semula peristiwa malam tadi membuatkan kepalanya mulai berdenyut semula.

            Dania kesal dengan apa yang telah berlaku malam tadi. Kalaulah dia menguatkan pegangannya terhadap kanak-kanak itu, pasti kejadian malam tadi tidak akan berlaku.

            “Malang betul nasib aku!” Dania mendengus. Dia cuba mencapai telefon bimbit yang terletak di hujung kepala katilnya. Belum sempat Dania mendail nombor telefon pejabatnya, Puteri telah menelefonnya terlebih dahulu.

            “Kau dah bangun, Nia? Alhamdulillah. Aku dah call pejabat kau pagi tadi beritahu Farah kau mc beberapa hari,” ceria suara Puteri di hujung talian.

            “Thanks, Puteri. Aku baru ingat nak call dia tadi. Err…Irfan mana, Puteri ? Kau dah hantar dia balik ke..?”

            “Dia kat rumah kita lagi. Mungkin masih tidur. Aku tak bagi dia balik. Kesian kat dia, Nia. Nantilah aku ceritakan pada kau. Aku nak sambung buat kerja ni,” kata Puteri.

            “Dia kat sini lagi?! Hmm..takpelah. Err...ubat untuk aku ada tak?” segera Dania bertanya sebelum Puteri meletakkan gagang.

            “Alamak, ubat kau atas peti ais! Kau larat tak nak bangun? Kalau tak larat aku suruh Irfan ambilkan untuk kau…”

            “Takpelah. Aku boleh ambil sendiri. Jumpa kau nanti. Assalammualaikum,” pantas Dania menekan butang off sebaik saja Puteri menjawab salamnya. Pantas peristiwa semalam terimbas semula di ruang ingatannya.

            Bunyi ketukan pintu mengejutkan Dania. Berpinar pandangannya ketika dia bingkas bangun dari perbaringan. Buat seketika Dania cuba memasang telinga kalau-kalau ada suara dari luar biliknya itu. Perlahan-lahan tombol pintu biliknya dipulas dari luar. Irfan kemudian muncul di muka pintu sambil membawa segelas susu dan sepiring roti bakar. Dia tersenyum memandang Dania.

            “Kak Nia, breakfast!” girang Irfan bersuara sambil meletakkan makanan dan minuman itu di atas meja sisi katil Dania.

            Dania tidak tahu apa yang harus dikatakan kepada Irfan. Dia amat tersentuh dengan layanan kanak-kanak itu. Namun, mengingatkan peristiwa malam tadi, membuatkan dia terasa agak marah dengan Irfan. Tanpa mempedulikan senyuman Irfan, Dania terus memandang wajah budak lelaki itu dengan penuh tanda tanya. Timbul niat untuk menghubungi pakcik Irfan untuk memberitahu tentang Irfan yang berada di rumahnya. Tetapi dia tidak boleh melakukannya di depan Irfan. Bimbang kanak-kanak itu akan menjadi agresif semula.

            “Kak Nia, saya nak minta maaf pasal semalam. Saya tahu saya tak patut buat macam tu. Saya bukan sengaja nak biarkan kak Nia kejar saya dan dilanggar kereta,” Irfan mulai bersuara apabila lama menanti kata-kata yang tidak keluar dari mulut Dania.

            “Saya tahu saya dah buat kak Nia sakit. Saya betul-betul kesal dengan kejadian tu. Kak Nia maafkan saya, ya?” sambung Irfan lagi. Dia mundar-mandir di hadapan Dania. Kemudian dia berhenti tepat di hadapan Dania. Tangannya disilangkan ke belakang. Irfan kini umpama pesalah yang sedang menunggu hukuman dijatuhkan ke atasnya.

            “Kak Nia tak tahu nak cakap apa…” lambat Dania membalas. Dia tidak memandang langsung wajah Irfan. Dia hanya menunduk sambil berharap Irfan segera keluar dari biliknya.

            “Kalau macam tu saya keluar dulu ya. Kak Nia berehat tau. Kak Nia mesti makan. Perut kosong tak boleh makan ubat. Nanti saya bawa naik ubat kak Nia,” tanpa menunggu sebarang bantahan atau persetujuan dari Dania, Irfan sudah berlari keluar dari bilik tersebut. Tidak sampai seminit kemudian, dia kembali dengan membawa bungkusan kecil plastik yang berisi ubat untuk Dania.

            Langkah kaki Irfan kembali memandunya keluar semula dari bilik itu. Dia menutup perlahan pintu bilik sambil melambai penuh mesra ke arah Dania.

            Dania tidak menunggu lebih lama. Dia segera menelefon kediaman Irfan dengan harapan Joshua akan menjawab panggilannya. Beberapa kali cubaannya tidak berjawab. Mungkin pakcik Irfan sedang bekerja pada waktu ini. ‘Tapi, dia tak bimbang ke Irfan hilang? Atau dia memang suka Irfan tak balik ke sana lagi? Takkanlah dia boleh bekerja waktu-waktu macam ni…?’ hati Dania berbisik.

            Dania mencuba lagi. Kali ini dia benar-benar berharap Joshua akan menjawab panggilannya. Akhirnya suara Joshua kedengaran di hujung talian.

            “Awak Joshua ke…?” tanya Dania teragak-agak.

            “Siapa tu?” tegas Joshua bertanya balas. Dia yang sedang dalam kebimbangan atas kehilangan Irfan mula merasa tegang.

            “Saya Dania. Saya nak cakap sikit tentang Irfan.”

            “Apa yang awak tahu tentang Niel?! Jangan-jangan awak yang culik dia tak? Dari petang semalam dia tak balik rumah. Keluar pun tak tinggalkan apa-apa pesanan,” Joshua lalu menuduh. Dia pasti Dania adalah gadis yang pernah ditemui ketika kali terakhir dia membawa Irfan keluar.

            “Awak jangan nak tuduh-tuduh saya macam tu! Saya call ni pun sebab nak suruh awak datang sini ambil anak saudara awak ni balik. Dia yang datang ke rumah saya ni sendiri. Saya takde kena-mengena dengan tuduhan awak tu!” Dania mula meninggikan suaranya. Dia merasa agak geram dengan sikap Joshua yang menuduhnya menculik Irfan.

            “Awak jangan nak reka cerita pula. Niel tak pernah keluar rumah tanpa kebenaran saya sebelum ni. Kalau awak tak culik dia, macam mana dia boleh ada kat rumah awak?!” Joshua masih tegas dengan pendiriannya yang menganggap Dania sebagai penculik Irfan.

            “Hello, can you use your command sense? Kalau betul saya yang culik Irfan, buat apa saya nak call awak suruh ambil dia balik?!” Dania menengking. Dalam masa yang sama dia cuba memasang telinga untuk mendengar kalau-kalau Irfan berada di luar biliknya ketika itu. Dia tidak mahu kanak-kanak itu mendengar dan mengetahui bahawa dia sedang menghubungi Joshua.

            “Mungkin awak nak minta wang tebusan ke..?” nada suara Joshua mulai rendah. Kata-kata Dania sebentar tadi masuk akal juga. Namun, dia tidak akan sesekali termasuk di dalam perangkap gadis itu.

            “Kalau macam tu, saya akan hantar Irfan ke mana-mana saja. Kalau nasib dia baik, dia akan bertemu dengan seseorang yang boleh digelar penculik. Lepas tu, awak tunggu saja panggilan mereka yang mungkin akan meminta wang tebusan. Saya tak akan bertanggungjawab atas kehilangan Irfan lepas ni. Dan saya akan pastikan polis takkan ganggu hidup saya dengan siasatan tentang kehilangan dia,” Dania turut merendahkan intonasi suaranya. Kepalanya mulai berdenyut akibat bertegang urat dengan lelaki itu. Dia kembali merebahkan semula tubuhnya ke katil.

            “Rumah awak di mana?”

            “Come again?” Dania yang kurang jelas dengan pertanyaan Joshua meminta lelaki itu mengulangi semula soalannya.

            “Saya nak datang ambil Niel. Rumah awak di mana?” Joshua mengulang semula pertanyaannya sambil di dalam hati menyumpah seranah Dania kerana beranggapan gadis itu sengaja mahu mempermainkannya.

            “Ultra-violet 7/11. Rumah nombor 7,” ringkas Dania menjawab.

            “Oh, dekat je! Okay..lagi setengah jam saya sampai.”

            Dania lalu menekan butang off di telefon bimbitnya. Dia cuba untuk bangun dan turun ke tingkat bawah. Dia berperasaan aneh yang Irfan telah mendengar setiap perbualannya sebentar tadi. Sambil memanggil nama Irfan, Dania melangkah berhati-hati menuruni setiap anak tangga. Kedengaran suara kanak-kanak itu menjawab dari arah ruang tamu. Dania menarik nafas penuh kelegaan.

            “Kenapa kak Nia turun? Kak Nia nak apa-apa ke..? Kan boleh panggil nama saya dari atas je…” lembut Irfan bersuara sambil membantu Dania yang ingin duduk di sebelahnya.

            “Kak Nia nak berbual dengan Irfan,” tanpa segaris senyuman dibibirnya, reaksi Dania itu menimbulkan tanda tanya pada wajah Irfan.

            “Macam mana Irfan boleh terfikir nak datang sini?”

            “Hah?!”

            “Kak Nia tanya, macam mana Irfan boleh terfikir nak datang sini? Irfan tak takut ke kalau ayah Su tahu Irfan ada kat sini..?” Dania mengulangi semula soalannya.  

          Irfan mula berasa tidak senang. Dia pasti Dania memang tidak suka dia berada di rumah itu. Kedatangannya umpama tetamu yang tidak diundang. Dia hanya menundukkan mukanya. Tidak sanggup menatap wajah Dania yang agak serius itu.

            Dania menjeling jam di dinding. Kalau perkiraannya tidak salah, Joshua pasti akan tiba bila-bila masa saja dari sekarang. Dania berdebar-debar menunggu kedatangan Joshua dan reaksi Irfan apabila mengetahui bahawa dia telah menghubungi pakciknya.

            Bunyi enjin kereta di luar rumah menarik perhatian Dania. Namun, Irfan nampaknya seperti tidak menyedari akan hal itu. Dania perlahan-lahan bangun sambil menahan sakit di kepalanya. Melihat Joshua yang keluar dari kereta membuatkan Dania menarik nafas lega. Dia melambai supaya Joshua segera masuk ke dalam rumah.

            “Niel!” Joshua lantas menegur anak saudaranya sebaik saja dia melangkah masuk ke dalam rumah itu. Dania yang masih berdiri di muka pintu tidak dipedulikan.

            Irfan yang amat terkejut melihat kedatangan pakciknya segera berdiri. Dia memandang Dania bagaikan meminta penjelasan bagaimana Joshua boleh mencarinya di situ. Namun, tiada kata-kata yang mampu untuk diucapkannya. Dia kaget melihat wajah Joshua yang amat serius itu.

            “Apa Niel buat kat sini?” tanya Joshua sambil berjalan menghampiri Irfan. Irfan yang tidak mahu didekati oleh pakciknya segera berlari ke tingkat atas. Dia segera menguncikan dirinya di dalam bilik yang ditumpanginya malam semalam.

            “Niel!” jerit Joshua yang tidak sempat untuk menahan Irfan dari terus berlari. Dia yang mahu mengejar anak saudaranya itu segera dihalang oleh Dania.

            Walaupun agak marah dengan tindakan Dania yang menghalangnya sebentar tadi, namun Joshua tetap menurut apabila dipelawa duduk oleh gadis itu. Hairan melihat kepala Dania yang berbalut, Joshua lantas bertanya apa yang menyebabkan kecederaan di kepala gadis itu.

            “Tiada kaitan dengan awak…” beritahu Dania, agak dingin.

            “Adakah awak cuba maksudkan Niel yang menyebabkan awak jadi macam ni? Apa yang dia dah buat?!” tanya Joshua lagi.

            “Irfan tak buat apa-apa pun. Saya cuma kemalangan kecil dan ini tiada kaitan dengan Irfan,” tegas Dania. Dia sama sekali tidak mahu menimbulkan kemarahan di dalam diri Joshua terhadap Irfan. Lagipun, Irfan memang tidak sengaja melakukannya. Kanak-kanak itu juga sudah berkali-kali memohon maaf.

            “Kalau macam tu boleh panggilkan dia turun sekarang? Saya nak bawa dia balik. Dia tak sepatutnya berada disini, apatah lagi berada di rumah orang-orang seperti awak,” Joshua bersuara sambil menunjukkan raut wajah yang agak membenci ke arah Dania.

            “Apa maksud awak orang-orang seperti saya?!”

            “Saya tak maksudkan apa-apa. Kalau awak faham, itu dah cukup bagus!”

            “Saya dah faham kenapa Irfan selalu susah hati bila berada di rumahnya. Kalau saya ada pakcik macam awak pun, saya akan larikan diri. Tak sanggup nak hidup dengan orang yang pentingkan diri macam awak ni,” balas Dania tegar. Dia bersandar apabila denyutan di kepalanya kembali ketara. Kata-kata Joshua sebentar tadi dirasakan agak keterlaluan. Tidak sepatutnya lelaki itu membicarakan tentang hal-hal begitu dengannya.

            “Apa yang awak tahu tentang kehidupan saya dan Irfan?! Awak jangan cakap yang bukan-bukan. Saya tak suka orang lain ambil tahu urusan hidup kami,” bengkeng Joshua. Dia berasa tertampar dengan kata-kata Dania itu.

            “Sudahlah tu. Awak pergi panggil Irfan dan bawa dia balik. Saya pun tak nak pening-pening kepala fikir masalah orang lain,” Dania bersuara lemah. Dia memegang kepalanya yang masih lagi berdenyut itu.

            Joshua melangkah pantas menuju ke tingkat atas. Dia pasti Irfan telah bercerita itu-ini kepada Dania. Kalau tidak, masakan gadis itu boleh berkata tentang dirinya sebegitu. Dia sempat berpaling memandang Dania sebelum meneruskan langkahnya. Dia sedikit pun tidak kesal dengan apa yang berlaku ke atas Dania. Perasaan marah dan geram yang tiba-tiba wujud dalam dirinya membuatkan dia merasa bahawa Dania memang patut menerima semua itu.

            “Cari dia di bilik yang hujung sekali!” sempat Dania memberitahu sebelum Joshua menghilang ke tingkat atas.

            Tidak sampai 5 minit kemudian, Joshua turun semula dengan muka yang masam. Dania mengagak pasti Irfan tidak mahu mengikut pakciknya balik ke rumah mereka. Sambil menghempaskan diri duduk di atas sofa, Joshua menggumam perlahan.

            “Dia nak cakap dengan awak…personal,” Joshua berkata kasar.

            “Dia nak cakap apa lagi? Saya rasa dah takde apa yang patut kami cakapkan,” balas Dania tanpa menoleh ke arah Joshua.

            “Itu saya tak tahu. Tapi, selagi awak tak datang jumpa dia…dia tak nak ikut saya balik. Jadi, boleh tak tolong cepatkan sikit kerja saya?”

            ‘Amboi, nak minta tolong pun cakaplah baik-baik sikit. Datang rumah orang nak tunjuk lagak pula dia!’ hati Dania membentak. Dari hari pertama dia bertemu dengan Joshua lagi sudah timbul perasaan tidak berkenan dengan sikap sombong lelaki itu. Tetapi, mengenangkan rasa simpati pada Irfan membuatkan dia tidak terlalu mengambil hati dengan sikap Joshua.

            “Awak dengar tak?!” sergah Joshua kasar. Dia memandang tepat wajah Dania yang bagaikan tidak mengendah hal tersebut.

            Tanpa sepatah kata, Dania terus saja bangun dan berlalu menuju ke tingkat atas. Tiba di anak tangga pertama, Dania terhenti seketika. Sambil cuba untuk melupakan rasa sakit di kepalanya, Dania kembali menapak anak tangga. Dia perlahan-lahan mengetuk pintu bilik tetamu yang kini didiami oleh Irfan.

            Pantas Irfan menarik tangan Dania masuk ke dalam bilik sejurus dia membuka pintu bilik itu. Sambil mengunci semula pintu bilik, Irfan membawa Dania ke katil. Dia terus menyembamkan mukanya ke riba Dania sebaik saja gadis itu duduk.

            “Irfan?”

            “Kenapa kak Nia panggil ayah Su datang sini? Kalau betul kak Nia benci saya sekalipun, janganlah buat saya macam ni. Saya tak nak ikut ayah Su balik,” adu Irfan bersungguh-sungguh. Dia mengangkat mukanya memandang Dania. Dania kini teragak-agak mahu menjelaskan hal itu kepada Irfan.

            “Kak Nia bukan benci pada Irfan. Sebab Kak Nia sayangkan Irfanlah Kak Nia nak Irfan balik ikut ayah Su. Irfan kena dengar cakap dia. Kak Nia tak nak apa-apa jadi pada Irfan. Kalau Irfan terus berada di sini pun, macam mana Irfan nak teruskan hidup Irfan?”

            “Kak Nia tak sanggup nak jaga saya ke…?”

            “Bukan tu maksud Kak Nia. Kak Nia tak kisah semua tu. Sekarang ni Kak Nia nak Irfan faham satu perkara. Bukan Kak Nia seorang saja yang sayangkan Irfan. Ayah Su pun sayangkan Irfan juga. Kalau tak, tentu dia tak peduli langsung Irfan lari dari rumah. Kalau Irfan sayangkan Kak Nia dan ayah Su, Irfan mesti dengar cakap kami. Ada sebab kenapa ayah Su nak Irfan belajar di sana. Dan ada sebab juga kenapa Kak Nia panggil ayah Su datang sini untuk bawa Irfan balik,” panjang lebar Dania cuba menjelaskan keadaan itu.

            “Tapi, saya tak nak berpisah dengan ayah Su dan kawan-kawan saya di sini…” sayu Irfan membalas.

            “Irfan, kadang-kadang dalam hidup ni kita tak boleh nak buat apa yang kita suka. Ada masanya kita terpaksa buat apa yang kita tak suka tapi baik untuk orang lain. Hidup ni kan perlu ada pengorbanan? Jadi, kalau betul Irfan sayangkan semua kawan-kawan Irfan termasuk Kak Nia, Irfan kena berkorban,” kata-kata Dania lalu menghentikan airmata Irfan dari terus mengalir keluar.

            “…Irfan faham tak apa yang Kak Nia cakap ni?” sambung Dania lagi. Dia merenung lembut ke wajah Irfan yang dibasahi oleh airmata itu. Demi Tuhan, dia amat sayangkan Irfan seperti adiknya sendiri. Tidak sanggup hendak mengecewakan kanak-kanak itu.

            “Tadi ayah Su ugut saya…” beritahu Irfan setelah tangisannya benar-benar reda. Dia lalu bangun dan duduk pula di sebelah Dania.

            “Ayah Su ugut apa?!”

            “Ayah Su cakap kalau saya tak nak dengar cakap dia, jangan menyesal dengan apa yang bakal dia lakukan,” Irfan lancar mengadu. Dia mula berasa yakin semula hendak bersuara setelah dipujuk oleh Dania.

            “Apa yang ayah Su nak buat? Jangan risaulah, ayah Su takkan buat apa-apa pada Irfan. Irfan kan anak saudara dia,” Dania cuba menenangkan Irfan. Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dikatakan.

           “Ayah Su tu panas baranlah. Dia boleh buat macam-macam. Tapi, takpelah. Kak Nia pun tak suka saya berada di sini. Biarlah saya pergi.”

            “Irfan, jangan cakap macam tu. Irfan tahu Kak Nia sayangkan Irfan, kan? Nanti, bila sudah tiba masanya, Irfan akan kembali ke sini semula. Bukan selamanya Irfan akan berada di sana, kan?” Dania masih terus memujuk. Dia tahu Irfan masih belum yakin sepenuhnya.

            “Saya boleh balik sekali je dalam setahun. Tu pun tak lama. Selebihnya, saya akan habiskan masa saya di sana. Saya tak tahu sama ada apa yang bakal saya tinggalkan mungkin lebih baik dari apa yang saya tujui.”

            “Beritahu Kak Nia, sekolah Irfan tu di mana? Mungkin Kak Nia boleh datang melawat Irfan sekali-sekala nanti,” Dania pantas bertanya sebelum Irfan mengulangi kata-kata yang Dania mahupun Joshua sengaja mahu berjauhan dengannya.

            “Saya tak tahu kak Nia. Ayah Su cakap sekolah tu di bahagian selatan. Saya pasti sekolah tu kat Johor. Cuma lokasinya saya tak pasti di mana. Betul ke kak Nia boleh datang melawat saya? Nanti saya tanya pada ayah Su,” Irfan kembali ceria dengan janji Dania itu. Dia memegang erat tangan Dania.

            “Kak Nia rasa Irfan tak perlu beritahu ayah Su tentang hal ni. Maksudnya, Kak Nia tak nak dia tahu Kak Nia akan datang melawat Irfan. Mesti dia tak suka.”

            “Kalau macam tu biar saya tanya dulu di mana lokasi sekolah tu. Nanti kalau saya dah tahu, saya akan beritahu pada kak Nia. Kalau kak Nia boleh datang melawat saya, takdelah saya susah hati sangat nak pergi sana. Sekurang-kurangnya, kak Nia ada untuk temankan saya,” kata Irfan.

            Dania tersenyum sebagai jaminan bahawa dia akan menunaikan janjinya terhadap Irfan. Dalam hatinya bersyukur kerana Irfan akhirnya bersetuju juga untuk menurut kehendak Joshua. Dania pasti, Irfan pasti akan selesa berada di sana kelak.

Post a Comment