They're My Best Buddies

Wednesday, 16 November 2011

Mimpi Semalam - Bab 3


Joshua masih tekun menyiapkan kerjanya. Waktu makan tengahari dibiarkan berlalu begitu saja. Tiada selera unuk menjamah sedikit makanan kerana asyik terfikirkan perbualannya dengan Irfan malam tadi. Dia tidak pernah terniat untuk menghantar Irfan jauh darinya. Apatah lagi mereka tidak pernah berpisah dan berjauhan selama ini. Namun, keadaan diri mereka memaksanya berbuat demikian.

            ‘Kalaulah Niel tahu apa yang ayah Su buat ni untuk kebaikan Niel, pasti Niel akan berterima kasih pada ayah Su nanti,’ rintih hatinya perlahan.

            Ingatan Joshua tertumpu kepada abang iparnya, Johan Irfan. Sehingga ke hari ini dia masih belum mampu untuk menerima hakikat bahawa Johan telah meninggal dunia. Kemalangan yang meragut nyawa abang iparnya itu bagaikan membawa sama separuh dari hidupnya.

Kakak kandung Joshua, Laura, yang tidak dapat menerima hakikat bahawa Johan pergi meninggalkan dia dan anak mereka, Niel, yang baru mencecah usia 2 tahun itu akhirnya menjadi gila. Joshua terpaksa meletakkan kakaknya itu di bawah jagaan sebuah hospital gila di Tanjung Rambutan, Ipoh.

Joshua redha apabila dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa Laura perlu mendapat rawatan dan pemulihan sakit jiwa kerana tekanan hidup yang dihadapinya. Sehingga ke hari ini, Joshua masih menyimpan rahsia tentang kewujudan Laura. Disebabkan itulah dia tidak pernah bercerita tentang arwah Johan dan kehidupan Laura di hospital sakit jiwa itu. Dia tidak mahu Irfan tahu bahawa Laura masih hidup. Berkali-kali dia cuba meyakinkan Irfan bahawa Johan dan Laura meninggal dunia akibat kemalangan kapal terbang yang meragut nyawa kesemua penumpang. Mayat mereka kemudian ditanam di perkampungan asal Laura dan Joshua yang terletak di Amsterdam.

Walaupun agak sukar untuk mempercayainya, namun Irfan akhirnya akur bahawa kedua-dua orang tuanya sudah tiada. Joshua merasa agak lega kerana Irfan tidak pernah lagi menimbulkan persoalan itu. Cuma sekarang dia merasa amat bersalah kerana menyembunyikn perkara sebenar dari pengetahuan Irfan. Joshua bimbang Irfan tidak boleh menerima hakikat bahawa dia mempunyai ibu yang masih hidup tetapi tidak mengenali anak kandungnya sendiri.

Dari hari ke sehari Joshua cuba untuk berterus-terang tentang Laura. Namun, setiap kali memandang wajah tulus Irfan, hatinya mula merasa bersalah. Dia takut Irfan akan menyalahkannya di atas perkara tersebut. Joshua pernah terfikir untuk membawa Irfan melawat Laura, perkara yang sering dilakukannya pada setiap hujung bulan.

Namun, jauh di sudut hatinya tidak mahu melihat wajah kecewa Irfan jika diberitahu bahawa wanita gila yang menginap di wad sakit jiwa hospital itu adalah ibu kandung yang selama ini diyakini telahpun meninggal dunia.

“Encik Joshua, boss nak jumpa,” suara setiausahanya, Jamilah, di talian interkom mengejutkan lamunan Joshua.

“Sekarang ke?” balas Joshua ringkas.

“Sekarang encik. Err..boss suruh bawa fail lukisan fasa 1 projek perumahan di Balakong tu,” Jamilah setia menjawab di hujung talian.

“Baik, terima kasih!”

Pantas Joshua menyusun langkah menuju ke bilik pengarah projek di syarikat tempatnya bekerja, encik Khairy. Sambil tangannya memegang erat fail projek yang dimahukan oleh Khairy, Joshua cuba meredakan kekusutan yang melanda di hatinya.

“Masuk!” garau suara Khairy dari dalam biliknya membalas ketukan pintu.

Boss panggil saya ?” Joshua bertanya sebaik saja dipelawa duduk oleh Khairy. Dia meletakkan fail yang dibawa bersama-samanya di atas meja.

“Saya ada masalah sikit dengan projek baru kita ni. Ada kontraktor yang cuba memboikot syarikat kita. Jadi, saya khuatir projek ni terpaksa ditunda,” Khairy tidak menunggu lagi untuk memberitahu tujuannya memanggil Joshua.

“Oh, pasal perkara tu rupa-rupanya. Saya dah tahu boss. Saya ingat nak beritahu pada boss lepas saya uruskan kontraktor-kontraktor tu. Mereka semuanya bukan nak boikot kita. Mereka cuma nak kita jelaskan claim yang dah tertunggak selama 2 bulan ni. Perkara ni saya dah bincang dengan Raymond,” jelas Joshua sambil merujuk nama Raymond yang merupakan pengurus bahagian Ukur Bahan di syarikat itu.

“Ada claim tertunggak?! Kenapa isu ni tak dibentangkan dalam mesyuarat minggu lepas? Kenapa takde siapa pun yang beritahu pada saya?”

“Macam ni, boss. Saya dah tanya pada Raymond tentang perkara ni. Dia sendiri belum dapat laporan dari staff dia tentang tunggakan claim untuk kontraktor tu. Kami cuma mahu pastikan terlebih dahulu sama ada benar atau tidak kita ada tunggakan dalam membuat pembayaran sebelum beritahu pada boss,” Joshua meneruskan penjelasannya.

“Itu saya tahu. Tapi soalan saya sekarang, kenapa takde sesiapa pun yang beritahu saya tentang isu ni?”

“Kami baru dapat tahu 3 hari yang lepas. Jadi, isu ni memang tak sempat nak dibentangkan dalam mesyuarat tu. Boss pun kenal Raymond, kan? Dia tak suka nak besarkan isu yang dia boleh uruskan. You can always trust him, boss!”

Khairy berlegar-legar di hadapan Joshua. Dia sememangnya tahu dengan cara kerja Joshua dan Raymond. Telah lebih 5 tahun Joshua bekerja di situ. Raymond pula telah berkhidmat hampir 15 tahun. Dia tidak seharusnya mempertikaikan kewibawaan Joshua dan Raymond dalam menyelesaikan setiap masalah yang timbul.

“Baiklah, kalau macam tu petang ni kita adakan mesyuarat ringkas. Pastikan awak dan Raymond hadir,” Khairy bersuara memberi kata putus.

“Siapa lagi yang patut hadir, boss?”

“Pegawai yang uruskan claim untuk semua kontraktor kita. Dalam bilik saya, pukul 4 petang…”

“Err..baiklah. Kalau takde apa-apa lagi saya minta diri dulu, boss,” Joshua lalu bangun dari duduknya. Dia melangkah keluar sebaik saja mendapat anggukan daripada Khairy. Pantas kakinya menuju ke bilik Raymond.

Setelah berbincang hampir setengah jam, Joshua segera meninggalkan bilik Raymond lalu menuju kembali ke biliknya. Dia juga perlu menyiapkan diri sebelum menghadiri mesyuarat ringkas itu. Sempat matanya mengerling jam tangan yang telahpun menunjukkan pukul 2 setengah petang.

Teringat akan Irfan yang bersendiri di rumah, membuatkan Joshua pantas mendail nombor telefon rumah mereka. Sesekali dia mengeluh dengan sikap keras hati Irfan yang diwarisi dari arwah Johan. Kerana itulah Joshua terpaksa mengalah untuk tidak menggunakan lagi khidmat pembantu rumah yang selalu datang untuk mengemas dan memasak. Irfan sering saja merungut tentang ketidakselesaannya berada di rumah jika pembantu rumah mereka datang selepas Joshua pergi ke pejabatnya. Alasan Irfan, pembantu rumah mereka itu selalu bertanya itu dan ini membuatkan Irfan berasa rimas.

“Niel tak buat apa-apa. Baca komik je,” beritahu Irfan sebaik saja ditanya oleh Joshua tentang aktiviti hariannya.

“Niel dah makan ke..? Nak ayah Su call McD..?”

“Takpelah ayah Su. Kak Nia cakap tak elok makan makanan macam tu selalu. Nanti otak jadi lembap,” Irfan yang terlepas menyebut nama Dania menepuk kuat dahinya. Pasti Joshua akan bertanya tentang siapa Dania dan bagaimana mereka boleh berkenalan tanpa pengeahuan Joshua.

“Siapa kak Nia tu?” tanya Joshua curiga. Berkerut dahinya mendengar Irfan menyebut nama seseorang yang tidak pernah dikenalinya.

“Err..tu kawan Niel. Kakak kawan Niel kat sekolah. Dia selalu datang jemput adik dia. Sebab tu Niel boleh kenal kak Nia tu…” jawab Irfan dengan harapan Joshua akan mempercayai alasannya.

“Betul ke ni?” Joshua cuba menduga.

“Betul, ayah Su. Buat apa Niel nak tipu,” balas Irfan yakin. Dia tahu benar dengan sikap Joshua yang tidak suka untuk mempercayai orang luar apatah lagi orang yang tidak pernah dikenali.

“Kalau macam tu, takpelah. Ayah Su percayakan Niel. Betul Niel tak nak makan apa-apa? Ayah Su boleh call auntie Julia minta tolong dia masakkan sesuatu untuk Niel.”

“Takpelah ayah Su. Niel tak lapar sangat. Tunggu ayah Su balik baru kita makan sekali ya,” balas Irfan dan dalam masa yang sama perutnya mula berbunyi minta diisi. Dia bersyukur kerana Joshua tidak mendengar bunyi perutnya itu. Lagipun, dia tidak mahu menyusahkan Julia, jiran mereka.

“Kalau macam tu, balik nanti ayah Su bawa Niel makan di luar ya? Pukul 6 nanti Niel terus siap. Ayah Su balik kerja kita terus pergi…”

Okay…sayang ayah Su!” Irfan membalas girang. Kurangnya pendedahan dunia luar membuatkan Irfan berasa ghairah dengan janji Joshua untuk membawanya keluar. Setelah diyakinkan sekali lagi oleh Joshua, barulah Irfan mahu meletakkan gagang telefon. Terasa hatinya begitu ringan sekali. Ingin saja diluahkan rasa gembiranya yang tidak tergambar dengan kata-kata itu.

                                           *          *          *

“Kita nak kemana ni ayah Su?” tanya Irfan tidak sabar-sabar. Dia segera mengenakan tali pinggang keledar. Di sebelahnya, Joshua, hanya tersenyum. Dia mengisyaratkan agar Irfan mengikut saja. Oleh kerana terlalu gembira, Irfan hanya tersengih sambil berharap agar mood Joshua akan kekal baik sepanjang malam. Dia tidak mahu Joshua naik angin sebelum sempat merasai kegembiraan yang sepatutnya. Irfan menyanyi kecil mengikut lagu yang sedang berkumandang di radio.

Sampai saja di tempat letak kereta, Irfan tergesa-gesa keluar dari kereta. Dia seperti tidak percaya Joshua akan membawanya ke Taman Tema Bintang Malam yang sering diperdengarkan kehebatannya oleh teman-teman di sekolah. Malah, kawan baik Irfan, Amal, sudah berulang-ulang kali pergi ke tempat tersebut.

Laju saja dia menarik tangan Joshua untuk masuk ke taman tema itu. Mereka segera menuju ke kaunter tiket. Sebaik saja membeli tiket untuk pakej bermain semua permainan, Joshua dan Irfan melangkah penuh teruja masuk ke situ. Irfan mahupun Joshua agak terkesima melihat keghairahan semua pengunjung taman tema itu.

“Niel nak main semua!” jerit Irfan memberitahu Joshua, cuba untuk melawan suasana hiruk-pikuk di situ.

“Niel berani ke?”

“Niel nak ayah Su main sekali. Kalau Niel seorang, macam tak beranilah…” Irfan memandang Joshua penuh harap. Joshua tersenyum. Dia tahu, Irfan agak berdebar-debar ketika itu. Itulah pertama kali Irfan dibawa keluar bergembira. Rasa teruja masih lagi belum terpadam dalam diri kanak-kanak itu.

“Niel nak main apa dulu?” tanya Joshua sambil merendahkan sedikit badannya. Mulutnya didekatkan di tepi telinga Irfan agar dia tidak perlu menjerit-jerit berbual dengn anak buahnya itu.

Pantas tangan Irfan menunjukkan ke arah Roller Coster Junior di hujung taman tema tersebut. Kelihatan sebaris kanak-kanak yang berusia sebaya atau pun lebih tua dari Irfan sedang menunggu giliran mereka. Joshua terus saja membawa Irfan menghampiri permainan tersebut. Irfan agak gugup memerhati pengunjung yang terjerit-jerit sambil dibawa pergi oleh roller coster berkenaan.

Tangan Joshua dipaut erat. Irfan mula tidak yakin untuk bermain. Terasa mahu tercabut jantungnya mendengar jeritan mereka semua. Namun, usapan lembut tangan Joshua di belakang kepalanya membuatkan Irfan kembali yakin. Jika permainan itu membahayakan, pasti Joshua tidak akan membenarkannya untuk bermain. Bukankah selama ini Joshua sentiasa memastikan keselamatan Irfan.

“Niel pergilah. Ayah Su tunggu kat sini.”

“Tapi, Niel nak ayah Su temankan,” pinta Irfan penuh harap.

Dengan sekali gelengan kepala dan senyuman mesra di bibir, Irfan telah tahu jawapan Joshua. Dengan langkah yang amat berat, dia menunjukkan tiket di pergelangan tangannya untuk diperiksa oleh penjaga permainan tersebut. Dia menoleh mencari kelibat Joshua. Kelihatan Joshua menunjukkan isyarat bagus dengan mengangkat ibu jari di tangan kanannya. Irfan tersenyum tanpa rela.

Perlahan-lahan roda roller coster itu mulai bergerak. Sambil memejamkan mata, Irfan berdoa semoga dia akan selamat bermain permainan itu.

“Niel okay tak?” tanya Joshua penuh prihatin. Dia mengurut lembut belakang leher Irfan. Anak buahnya itu kelihatan amat pucat sebaik saja turun dari permainan yang mengambil masa selama hampir 15 minit itu. Dua pusingan sudah memadai untuk membuatkan Irfan berasa serik bermain lagi.

“Niel tak nak main lagi. Niel rasa nak muntah…” pantas tangan Irfan menutup mulutnya sendiri. Rasa mual di perut dan loya di tekak menimbulkan rasa tidak selesa. Irfan merasakan dunianya berputar akibat rasa pening yang menguasai kepalanya.

“Kalau ayah Su temankan, Niel nak main lagi tak?” Joshua sengaja menimbulkan rasa yang lebih yakin dalam diri Irfan.

“Betul ke ayah Su nak main sekali?” Irfan seolah-olah tidak percaya dengan tawaran Joshua itu. Dia memandang tepat wajah Joshua. Wajah yang selama ini sentiasa tegas dan serius tapi kelihatan lebih mesra pada malam itu.

Deal!” balas Irfan yang mulai girang. Hilang semua rasa pening, mual dan loya yang dialaminya ketika itu.

Sambil meninjau-ninjau permainan yang akan mereka naiki, Irfan berulang kali memandang ke wajah Joshua. Sehingga ke saat ini, dia masih tidak tahu apa yang menyebabkan Joshua berubah sedemikian rupa. ‘Eh, takkan kak Nia dah call ayah Su? Kan aku dah pesan jangan call. Tapi, sebab apa pula ayah Su berubah macam ni?’ hati Irfan mula berbisik.

Selesai bermain hampir semua jenis permainan, Joshua lantas membawa Irfan ke keretanya. Dalam hatinya cuba mencongak-congak di mana tempat untuk menikmati makan malam yang terbaik bersama Irfan. Teringatkan Irfan yang suka benar makanan laut, Joshua terus saja membawanya ke restoran makanan laut yang berhampiran. Berkali-kali ungkapan tidak percaya keluar dari mulut Irfan malam itu.

Sementara menunggu pesanan mereka tiba, Joshua berbual-bual dengan Irfan tentang rancangan perjalanan ke bakal sekolah Irfan nanti. Irfan hanya memasang telinga sambil menyampuk apabila dirasakan perlu.

“Irfan!”

Kedengaran satu suara yang memanggil Irfan dari kejauhan. Serentak Joshua dan Irfan menoleh ke arah suara tersebut. Kelihatan kelibat seorang gadis yang anggun bertudung menghampiri meja mereka.

“Tak sangka jumpa Irfan kat sini…”

“Err..kak Nia buat apa kat sini?” tanya Irfan tergagap-gagap. Dia berasa kurang selesa dengan kehadiran Dania secara mengejut itu. Pandangan mata Joshua sudah cukup jelas menggambarkan rasa curiga pakciknya itu.

“Kak Nia keluar makan dengan kawan-kawan. Irfan nampak berbeza sangat di luar berbanding dalam gambar…” komen Dania sambil meneliti penuh minat wajah comel teman kecilnya itu.

“Maaf ya, awak ni siapa?” pertanyaan Joshua membuatkan Dania sedar yang Irfan bukan keseorangan di situ.

“Oh, maafkan saya. Saya Dania. Awak ni mesti pakcik Irfan, kan?”

“Macam mana awak boleh kenal anak buah saya ni…?” tanya Joshua lagi tanpa mempedulikan soalan Dania. Dia memandang dingin ke arah gadis itu.

“Ayah Su..inilah kak Nia yang Niel ceritakan tu. Kakak kawan Niel..ayah Su ingat lagi tak?” Irfan menyampuk sebelum sempat Dania bersuara. Dania yang dapat mengagak tentu ada sesuatu yang membuatkan Irfan menipu tentang perkenalan mereka sekadar mengangguk perlahan.

“Gambar apa yang awak maksudkan tadi?” Joshua terus bertanya tanpa mempedulikan Irfan di sebelahnya yang mulai resah.

“Oh, saya bercakap tentang gambar kelas Irfan. Dah lama saya tak jumpa dia. Baru-baru ni ternampak gambar tu dalam bilik adik saya. Saya perasan muka Irfan lain sikit berbanding dalam gambar tu,” tenang Dania menjawab. Dalam hatinya berdoa agar Irfan tidak akan dimarahi disebabkan hal itu.

“Betul ke adik awak classmate Niel?” rasa curiga dalam diri Joshua masih belum reda lagi. Dia terus mengasak Dania dengan pelbagai jenis soalan.

“Kalau awak tak percaya, mungkin saya boleh call adik saya sekarang. Awak cakap sendiri dengan dia. Mungkin itu boleh puaskan hati awak agaknya…” balas Dania dingin. Dia mula rasa meluat dengan sikap Joshua. Barulah kini dia mengerti perasaan Irfan yang sering mengadu tentang pakciknya itu.

“Tak perlu. Saya cuma tak suka ada orang lain yang ambil kesempatan ke atas Niel. Saya takde niat lain,” tegas Joshua bersuara.

“Ayah Su, kak Nia bukan macam tu. Kak Nia baik sangat. Niel tak nak ayah Su buruk sangka pada kak Nia,” Irfan menyampuk lagi.

“Takpelah, saya pun tak nak mengganggu. Irfan, kak Nia pergi dulu ya. Jaga diri baik-baik, okay?” Dania melangkah pergi tanpa menoleh ke wajah Joshua. Rasa bengang kerana dicurigai begitu menimbulkan satu perasaan benci dalam dirinya.

Irfan kembali menoleh ke arah Joshua. Dia cuba mengawal riak wajahnya agar Joshua tidak menaruh sebarang syak wasangka. Joshua kemudian tersenyum nipis. Dia mengisyaratkan Irfan terus menghabiskan makanan yang baru tiba itu. Sambil menarik nafas lega, Irfan tunduk menghadap makanannya. Dia mulai menyuap makanan tersebut sambil dalam hati berdoa agar Joshua tidak menimbulkan lagi persoalan tentang siapa Dania. Dia perlu meminta maaf daripada Dania. Dia tahu Dania mungkin terasa hati dengan sikap dan layanan dingin Joshua sebentar tadi.

‘Balik nanti aku akan email kak Nia. Kesian kak Nia, tak pasal-pasal kena marah dengan ayah Su pula,’ hati Irfan berbisik Terbayang di matanya raut wajah Dania yang kelihatan agak tersinggung selepas mendengar kata-kata Joshua.

Post a Comment