They're My Best Buddies

Tuesday, 15 November 2011

Mimpi Semalam - Bab 2


Irfan meneliti setiap inci tubuhnya di hadapan cermin. Jika dilihat sebegitu rupa, dia kelihatan amat normal seperti kanak-kanak lain. Namun, hakikatnya Irfan amat tertekan dengan kehidupannya. Dia sentiasa dikongkong oleh ayah Su nya, Joshua. Dia tidak boleh bergerak bebas seperti teman-temannya yang lain. Dia tidak berpeluang untuk meluangkan masa melakukan aktiviti kegemarannya bersama teman baiknya, Amal.

Kedua-dua orang tua Irfan, Johan Irfan dan Laura Abdullah, sudah lama meninggal dunia. Irfan hanya sempat bersama mereka selama dua tahun sahaja. Malang bagi Irfan, tiada satu pun kenangan ketika bersama-sama arwah ibu dan ayah yang melekat diingatannya. Dia lupa bagaimana gembiranya perasaan Johan dan Laura ketika hari pertama dia mula belajar berjalan. Dia juga lupa betapa bahagianya Laura ketika perkataan pertama yang keluar dari mulutnya adalah ‘mama’.

Setitis airmata mengalir lesu di pipi Irfan. Dia cuba untuk tidak menyesali perjalanan hidupnya itu. Sekurang-kurangnya dia masih mempunyai Joshua. Joshua sudah banyak berkorban untuknya. Jika Joshua tiada, mungkin kini dia sedang berbaring di atas katil di rumah anak-anak yatim. Perlahan-lahan Irfan mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana masih lagi bernasib baik berbanding dengan anak-anak yatim di luar sana. Pantas tangannya menyeka airmata yang masih bertakung. Dia tidak mahu menangis lagi. Dia mahu menjadi anak lelaki yang lebih kuat dan tabah.

Mengenangkan tempoh perkenalannya dengan Dania yang sudahpun mencecah tiga bulan, Irfan kembali ceria. Betapa bahagianya dia dilayan sebegitu baik oleh Dania. Walaupun mereka belum pernah berjumpa, namun Dania sering menelefonnya. Tidak pernah sekalipun mereka tidak berbual. Irfan yang pernah melihat wajah Dania melalui gambar gadis itu merasa amat bertuah kerana kehadiran Dania dalam hidupnya benar-benar di saat dia amat memerlukan seseorang yang boleh menjadi teman berbicara.

“Kan bagus kalau kak Nia tu kakak kandung aku…” keluh Irfan lesu.

Bunyi ketukan pintu mengejutkan Irfan. Dia sepantas kilat berlari ke muka pintu. Perlahan-lahan wajah Joshua muncul di hadapannya. Sambil tersenyum, Joshu memaut bahu Irfan lantas membawa kanak-kanak lelaki itu kembali ke dalam bilik.

“Kenapa Niel tak tidur lagi ni..?” lembut Joshua bertanya. Dia mengusap lembut rambut perang anak saudaranya itu.

“Niel belum mengantuk lagi ayah Su,” sopan Irfan menjawab.

“Ayah Su tahu Niel masih marahkan ayah Su, kan? Jadi ayah Su datang ni nak minta maaf dari Niel. Maafkan ayah Su..” dari rambut, tangan Joshua turun mengusap bahu Irfan yang kelihatan agak terpinga-pinga.

Irfan merenung wajah Joshua yang kelihatan begitu tenang sekali. Dia cuba membalas senyuman pakciknya itu. Perlahan-lahan dia mengangguk tanda dia sudahpun memaafkan Joshua. Dengan satu keluhan yang amat berat, Joshua menyerahkan sekeping sampul surat ke tangan Irfan. Dalam keterpaksaan, Irfan mengambil sampul surat itu. Tertulis nama Niel Irfan bin Johan Irfan di atasnya.

“Ayah Su, pasal semalam tu…Niel tak nak ayah Su. Niel tak setuju,” Irfan cuba mengawal nada suaranya yang agak bergetar itu. Dia tidak mahu menimbulkan sebarang kemarahan dari Joshua lagi.

“Niel…ayah Su takde pilihan lain. Ayah Su tak akan izinkan Niel memecah tradisi kelurga kita, macam yang pernah ayah Su sebut sebelum ni…”

“Tapi, ayah Su…Niel tak nak tinggalkan kawan-kawan Niel kat sini. Niel tak nak tinggalkan Amal. Dia takde kawan lain. Niel saja kawan yang dia ada,” Irfan cuba memujuk. Dia menggenggam erat tangan kanan Joshua.

“Niel…dengar cakap ayah Su. Amal akan faham situasi Niel. Bukan selama-lamanya Niel boleh berada di samping dia. Sudah tiba masanya untuk dia cuba berdikari tanpa perlu bergantung pada Niel lagi,” balas Joshua.

“Tapi…”

“Niel, takde tapi-tapi lagi. Keputusan ayah Su muktamad. Baca surat tu dulu,” Joshua terus memotong sebelum sempat Irfan menghabiskan kata-katanya.

Dengan rasa tidak puas hati, Irfan membuka sampul surat tersebut. Beberapa keping kertas ditarik keluar. Semakin lama dia membaca kandungannya, semakin buntu fikirannya. Irfan langsung tidak faham apa yang tertulis di dalamnya.

“Niel tak faham, ayah Su…” jujur Irfan mengaku.

“Niel tak perlu faham apa-apa sekarang ni. Bila Niel mula belajar di sana nanti, baru Niel akan faham kenapa ayah Su memilih sekolah tu untuk Niel. Banyak perkara baru yang akan Niel belajar di sana nanti,” agak panjang Joshua menjawab kali ini. Dia memandang raut wajah Irfan yang nampak muram. Dia tahu Irfan cuba memberontak dalam diam.

“Niel takde pilihan lain..?”

“Takde sayang. Niel suka atau tidak, ayah Su tetap akan hantar Niel ke sana.”

“Kalau macam tu, takde apa yang Niel nak cakap lagi…” rendah nada suara Irfan.

            Pantas tangan Joshua membuka sebuah album gambar di depan Irfan. Buat seketika Irfan agak terkesima. Dia yakin yang dia tidak melihat Joshua membawa album gambar itu bersama-samanya sebentar tadi. Bagaimana Joshua melakukannya? Membiarkan persoalan itu terus berlegar-legar di ruang fikirannya, minat Irfan kini tertumpu kepada album gambar tersebut.

            “Ini siapa ayah Su?” tanya Irfan sambil jari telunjuknya laju menuding ke arah seorang lelaki dengan sut berwarna hijau gelap di dalam gambar tersebut.

            “Inilah ayah Niel, abang Joe. Masa ni abang Joe baru je tahun pertama di Maxgrid. Ayah Su pun belum masuk lagi masa tu…”

            “Ayah nampak handsome sangat pakai baju macam tu, ayah Su…” balas Irfan sambil tersenyum sebagai membalas senyuman mesra arwah ayahnya. Dalam hatinya, Irfan memuji kekacakkan wajah Johan Irfan ketika muda dahulu.

            “Memang dia handsome pun, Niel. Niel mungkin tak boleh nak bayangkan betapa ramainya peminat abang Joe masa tu. Tapi, kak Laura juga yang bertuah. Tengok ni, gambar ayah Su dengan abang Joe. Masa ayah Su dalam tahun pertama, abang Joe selalu buli ayah Su. Tapi, sejak dia tahu ayah Su ni adik kak Laura, dia dah tak buli-buli ayah Su lagi. Mula-mula ayah Su tak tahu kenapa dia berubah. Dah lama tu baru ayah Su tahu yang abang Joe sukakan kak Laura…” rancak Joshua bercerita sambil di bibirnya terus-terusan mengukir senyuman yang terkenang-kenang.

            Irfan hanya membiarkan Joshua di dalam dunianya. Tidak mahu mengganggu kenangan yang sedang bermain-main di fikiran Joshua. Tambahan pula, Joshua amat jarang bercerita tentang arwah Johan dan Laura. Ini membuatkan Irfan terasa sedikit bahagia dan rasa ingin tahu mengenai kehidupan arwah ayah dan ibu semakin meluap-luap di dalam hatinya.

            “Macam mana ayah boleh kenal mama, ayah Su..?” pertanyaan Irfan membuatkan senyuman Joshua semakin melebar.

            “Semuanya kebetulan, Niel. Masa tu ayah Su baru lepas cuci semua baju-baju kotor abang Joe. Masa nak pegi jemur baju tu, kak Laura nampak. Dia tanya baju siapa yang ayah Su jemur sebab dia kenal baju-baju ayah Su semua warna biru...”

            “Kenapa semua baju-baju ayah Su warna biru? Takkan takde sehelai pun warna lain…” Irfan menyampuk.

            “Sebab ayah Su dalam kumpulan Jupiter. Dekat sana, warna baju mesti kena ikut warna kumpulan. Jupiter warna biru. Saturn warna hijau. Neptune warna merah. Akhir sekali kumpulan Uranus warna kuning. Lagipun setiap helai baju-baju kami mesti kena ada tanda nama. Senang nak cam baju sendiri…”
            “Dulu ayah dalam kumpulan apa?”

            “Abang Joe kumpulan Saturn. Mama Niel pula sama kumpulan dengan ayah Su, kumpulan Jupiter…” balas Joshua lembut.

            “Patutlah mama pelik tengok ayah Su jemur baju warna hijau. Teruklah ayah ni! Suka hati dia je nak suruh ayah Su basuh baju dia tu…”

            “Tau takpe. Tapi ayah Su tak kisah. Sebab lepas kejadian tu, ayah Su terus berbaik-baik dengan abang Joe. Kak Laura pergi jumpa abang Joe sebab tak puas hati dengan sikap abang Joe yang suka buli pelajar-pelajar tahun pertama. Kalau Niel nak tahu, arwah ayah dan mama Niel dulu pengawas sekolah. Dah lama abang Joe sukakan kak Laura. Cuma takde peluang nak berterus-terang. Bila hal tu melibatkan ayah Su, tak sangka pula diorang pun makin rapat, ” semakin galak Joshua bercerita. Sesekali matanya dipejam bagaikan mahu mengimbas semula semua kenangan-kenangan itu.

“Lepas tu mama dengan ayah terus bercinta ke..?” tanya Irfan kebingungan.

“Tak juga. Masa di tahun akhir baru abang Joe berani luahkan perasaan dia. Kak Laura pun sebenarnya dah lama sukakan abang Joe. Jadi, dia terus terima abang Joe. Kemudian, keluarlah Niel yang ada depan ayah Su sekarang ni.”

“Ayah dengan mama baik tak, ayah Su?”

Hairan dengan pertanyaan Irfan itu, dahi Joshua berkerut seribu. Dia kemudian tersedar bahawa selama ini dia telah mengabaikan semua perkara yang melibatkan arwah Johan dan Laura. Joshua jarang bercerita tentang Johan dan Laura kepada Irfan. Perkara itu pernah diajukan oleh Irfan sebelum ini. Namun, Joshua hanya bersikap sambil lewa. Baginya, tiada cerita mengenai kakak dan abang iparnya itu akan menghilangkan semua kesedihan yang sering bertandang di hatinya.

“Niel…abang Joe manusia yang sangat-sangat baik. Kak Laura pula merupakan kakak yang paling baik yang pernah ayah Su ada. Ayah Su bertuah sebab anak saudara ayah Su ni hasil gabungan manusia yang baik-baik belaka,” jawab Joshua perlahan. Dia memegang kedua-dua belah bahu Irfan.

Irfan terdiam seketika. Jarang mendengar cerita tentang kedua-dua arwah orang tuanya membuatkan hatinya terasa sedikit sebak. Sedikit demi sedikit airmatanya gugur lagi. Irfan tidak pasti mengapa, tapi dia terasa ingin menangis sepuas-puas hatinya. Lantas dia menyembamkan mukanya ke dada Joshua. Pantas pula tangan Joshua merangkul kemas badan kecil Irfan

“Niel sayang ayah Su…” Irfan bersuara dalam sedu-sedannya.

“Ayah Su pun sayang pada Niel. Niel saja satu-satunya waris abang Joe, kak Laura dan ayah Su. Niel harta yang paling berharga dalam hidup ayah Su. Sebab tu ayah Su mahu Niel belajar di Maxgrid. Itulah satu-satunya tradisi keluarga yang kita ada. Ayah Su sendiri tak faham kenapa tradisi ni masih nak dikekalkan. Cuma, bila ayah Su teringatkan pengorbanan datuk dan papa ayah Su dulu, ayah Su terus rasa yang ayah Su bertanggungjawab untuk memastikan tradisi ni harus diteruskan. Mungkin bunyinya agak mengarut, kan?”

“Niel tak faham…”

“Niel akan faham satu hari nanti. Sekarang, ayah Su mahu Niel tidur. Jangan terlalu fikirkan sangat perkara ni. Ayah Su akan bawa Niel pergi beli semua keperluan Niel untuk kegunaan di sana nanti. Selamat malam,” Joshua membantu Niel berbaring di atas katilnya. Lembut tangannya mengesat baki airmata yang masih mengalir lesu di pipi Irfan. Sebaik sahaja dia mencium lembut dahi Irfan, Joshua terus melangkah keluar. Selepas menutup suis lampu, Joshua menutup rapat pintu bilik itu.

“Ayah Su…terima kasih atas semua pengorbanan ayah Su pada Niel selama ni. Niel janji akan jaga ayah Su dengan baik,” bisik Irfan dalam sisa sedu-sedannya.

Cuba untuk menunaikan permintaan Joshua agar dia tidak terlalu memikirkan tentang perkara tersebut, Niel terus saja melelapkan matanya. Sempat akalnya berfikir untuk memberitahu kepada Dania tentng perkara itu. ‘Tapi, kak Nia mesti menyokong keputusan ayah Su…’ dia berbisik tidak puas hati.

                                           *          *          *

Okay…biar akak ulang balik. Irfan akan dihantar ke Maxgrid High School atau lebih kurang begitulah sebutannya untuk tahun pertama Irfan kat sana. Sebab nak meneruskan tradisi keluarga…? Baguslah macam tu. Akak setuju sangat dengan cadangan ayah Su Irfan tu,” kata Dania sambil tangannya ligat mengemaskini fail-fail laporan mingguan dan bulanan kewangan syarikat yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat sebentar lagi.

“Kak Nia tak sayangkan saya, kan?”

“Bukan masalah tak sayang. Akak sayang Irfan macam adik akak sendiri, kan? Selalu dah akak cakap macam tu dengan Irfan. Tapi, Irfan kenalah faham tanggungjawab ayah Su. Dia bukan sengaja nak pisahkan Irfan dengan kawan-kawan Irfan di sini.”

“Tapi saya tak suka!” Irfan meninggikan suaranya. Hatinya sedih mendengar kata-kata Dania yang berpihak kepada Joshua.

“Irfan, jangan macam ni sayang. Hmm…nanti kita sambung lagi .I’ve got to go. Akak ada meeting. Akak call Irfan balik lepas meeting ya?”

“Baiklah. Saya akan tunggu kak Nia call saya balik. Err..boleh saya tahu kawasan rumah kak Nia?” tanya Irfan terdesak. Entah kenapa dia tiba-tiba ingin tahu lokasi rumah Dania.

“Eh, kan akak pernah beritahu pada Irfan. Kita ni jiran setaman je…”

“Jadi betul la rumah kak Nia di Taman Ultra juga…?” Tanya Irfan lagi.

“Betul. Buat apalah akak nak tipu Irfan. Tapi, kenapa Irfan beria sangat nak tahu ni?” tanya Dania agak gusar. Pelik dengan sikap Irfan yang cuba untuk mengambil tahu kedudukan sebenar rumahnya.

“Saja nak tahu. Takde sebab apa pun,” jawab Irfan riang.

“Irfan, nanti akak call balik ya. Akak kena pergi sekarang. Jaga diri baik-baik tau,” Dania lalu meletakkan gagang. Dia berlari-lari anak menuju ke bilik mesyuarat.

Sambil memohon maaf di atas kelewatannya, Dania terus mengambil tempat di sebelah Farah yang sudahpun bersedia dengan laporannya. Mesyuarat tersebut berjalan dengan amat lancar sehingga Dania tidak terasa langsung sudah hampir dua jam dia berada di situ. Ketika mahu bergegas meninggalkan bilik mesyuarat, encik Hanif, pengurus kewangan di situ sempat menahan Dania dari terus  pergi.

“Saya ada sesuatu yang perlu dibincangkan dengan awak,” terus sahaja Hanif bersuara sebelum Dania bertanya.

“Apa yang encik Hanif nak beritahu pada saya?” sopan Dania bertanya.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk menghantar awak bertugas di luar. Apa pendapat awak?”

Out-station..? Err..di mana?”

“Di cawangan kita yang ketiga, di Johor Bahru. Tugas awak senang saja Dania. Awak hanya perlu melakukan tugas-tugas audit dalaman. Itu saja,” ringkas Hanif menerangkan tugas-tugas yang bakal Dania lakukan.

“Bila?” tanya Dania lagi.

“Kalau tiada apa-apa masalah, dalam masa dua minggu lagi…” beritahu Hanif sambil membelek jadualnya.

Should be no problem, sir!” balas Dania penuh yakin. Dia membalas senyuman yang terukir di bibir Hanif.

Dania keluar dari bilik tersebut setelah selesai berbincang dengan Hanif tentang tugasan di luar kawasannya itu. Belum sempat dia tiba di tempatnya, Sofia memanggil dengan suara yang agak lantang. Sambil tersengih-sengih, Sofia menayangkan sekeping kertas kecil di tangannya.

“Aku dah dapat siapa yang kirim bunga tu!”

“Opie, perlahan sikit suara kau tu, boleh tak?? Kau nak beritahu semua orang ke..?” bentak Dania keras.

“Oppssss..maaflah Nia. Aku excited sangat nak beritahu pada kau ni. Tapi kan, aku tak tahu lagi siapa nama jejaka bertuah tu…”

“Mana kau tahu dia lelaki? Kalau perempuan macam mana…?” duga Dania.

“Mestilah lelaki. Takkanlah perempuan yang minat kat kau! Ini alamat pengirim tu. Florist tu cakap dia pun dapat on-call order je. So…ini je yang dia boleh bagi. Kau ada kenal sesiapa yang kerja kat Casadaya Holdings ke..?”

Dania mengambil kertas kecil yang dihulurkan oleh Sofia itu. Akalnya mula ligat berfikir jika ada sesiapa yang dikenali di Casadaya Holdings. Dengan satu keluhan yang agak panjang, Dania menggelengkan kepalanya. Ternyata tiada sesiapa pun yang boleh dianggap sebagai pengirim bunga itu kerana Dania tidak kenal walau seorang pun yang bekerja di sana. Dia kembali ke tempatnya sambil melipat sekecil-kecilnya kertas yang tertulis alamat si pengirim bunga mawar putih itu.

Telefon di hujung meja diperhati sepintas lalu. Laju saja tangannya mahu mendail nombor telefon syarikat tempat si pengirim bunga itu bekerja. Namun, hasrat itu terbantut sebaik sahaja Dania tersedar bahawa dia tidak mengetahui nama pengirim tersebut. Sambil melupakan terus hasratnya itu, Dania kembali menyambung semula kerjanya yang terhenti sebelum mesyuarat sebenar tadi.

                                         *          *          *

Keadaan kafeteria agak lengang dari kebiasaannya. Dania yang seperti biasa turun agak lewat sedikit dari teman-temannya memandu langkahnya menuju ke arah meja di hujung kafeteria itu. Sempat pula dia singgah di kaunter bayaran untuk memesan menu nasi goreng ayam dan segelas air suam.

“Nia, kenapa encik Hanif tahan kau tadi?” tanya Farah sebelum sempat Dania duduk di sebelahnya.

“Takde apa-apa. Adalah hal sikit…” Dania membalas pantas.

“Alah, tu pun nak berahsia!” Farah melepaskan rasa tidak puas hatinya. Dia terus mendesak agar Dania memberitahu tujuan Hanif itu. Dania lalu menceritakan serba sedikit mengenai tugasan di luar kawasannya di cawangan ketiga itu. Cawangan ketiga tersebut yang terletak di sekitar Johor Bahru itu merupakan cawangan baru yang telah dua tahun beroperasi.

“Wah, seronoklah kau dapat pergi makan angin!” kata Sofia sebaik sahaja Dania selesai bercerita.

“Makan angin apa pula? Aku pergi sana sebab kerjalah. Takde masa nak makan angin. Kalau boleh bawa korang semua, memang aku bawa sekali. Mesti bosan gila pergi seorang,” Dania membalas. Dia menghirup perlahan air suamnya yang baru tiba itu.

“Betul ke kau nak bawa kami kalau kami boleh pergi sama, Nia?” tanya Hani teruja. Dia memandang penuh harap ke muka Dania.

“Betul…aku dah tanya encik Hanif tadi. Dia cakap kalau aku bawa semua, siapa nak buat kerja kat sini? Dia bagi aku bawa seorang je. Daripada bawa seorang je, aku rasa baik tak payah bawa langsung. Aku tak nak nanti ada yang kecil hati…kata aku pilih bulu pula,” jawab Dania tenang.

“Alah, Nia…kau pergi sana bukan sekali ini je, kan? Kau bawalah salah seorang daripada kami. Nanti kalau kau pergi lagi, kau bawalah yang lain pula. Kami boleh gilir-gilir ikut kau,” Hani cuba berkompromi. Sofia dan Farah mengangguk tanda setuju. Mereka kini menanti persetujuan dari Dania.

“Kalau macam tu, korang bincanglah siapa yang nak ikut aku dulu,” balas Dania. Dia mula menyuap nasi goreng ayam ke mulutnya.

“Emm..aku rasa baik Farah yang ikut dulu. Pastu Sofia pula. Aku akhir sekali pun takpe. Macam mana?” Hani memberikan cadangannya. Farah diam sambil berfikir-fikir tentang cadangan Hani itu. Namun, Sofia mulai tersenyum.

“Kau tak kisah ke jadi yang akhir sekali?” tanya Farah.

“Aku tak kisah. Asalkan aku boleh ikut, itu dah cukup baik,” balas Hani ikhlas.

“Kalau korang semua tak kisah aku setuju je. Macam mana, Nia?” sekali lagi Farah bertanya. Kali ini kepada Dania pula. Dania hanya mengangguk tanda setuju. Sofia juga turut bersetuju dengan cadangan itu.

Seketika kemudian terdengar suara-suara mereka yang mula berbincang tentang rancangan melawat ke tempat-tempat menarik sekitar Johor Bahru. Dania yang bersikap tidak mahu campur tangan, hanya memasang telinga mendengar angan-angan mereka.

“Nia, sebelum masuk meeting tadi kau bergayut dengan siapa?” soalan Farah mengejutkan lamunan Dania. Buat seketika dia terdiam mengenang semula perbualannya dengan Irfan. Janjinya untuk menelefon kanak-kanak itu belum ditunaikan lagi. Dania segera menghabiskan makanannya.

“Kau dengar tak aku tanya ni..?”

“Hah?? Dengar..dengar..aku borak dengan adik aku tadi,” balas Dania teragak-agak. Dia langsung tidak menoleh ke arah Farah.

“Kau ada adik..? Bukan kau anak bongsu ke?” tanya Farah lagi. Soalan itu membuatkan wajah Dania bertukar merah. ‘Patut ke aku beritahu tentang Irfan? Apa pula kata Farah kalau dapat tahu aku kenal Irfan melalui internet?’ hati Dania berbisik bimbang.

“Ke kau berbual dengan secret admirer kau, Nia?” Sofia mengambil-alih tempat Farah untuk bersoal-jawab dengan Dania.

“Kau jangan nak merepek ye, Opie. Aku borak dengan adik sepupu akulah. Aku anggap dia macam adik aku sendiri je,” jawab Dania separuh benar. Memang benar dia menganggap Irfan seperti adiknya sendiri. Yang tidak benarnya ialah Irfan bukan adik sepupunya.

“Takkanlah dengan adik sepupu pun kau nak bergayut kot? Macam pelik je..” Hani cuba mempertikaikan jawapan Dania tadi.

Dania tidak mahu menjawab lagi. Dia sekadar tersenyum sebagai respon kepada rasa curiga Hani terhadapnya. Akhirnya Farah, Hani dan Sofia tidak bertanya lagi. Faham benar dengan sikap Dania yang apabila menjawab pertanyaan dengan senyuman. Itu bermakna Dania tidak mahu meneruskan lagi perbualan tersebut.

Kembali saja ke pejabat, Dania lantas mendail nombor telefon kediaman Irfan. Setelah tiga kali mendail, barulah Irfan menjawab panggilannya. Dengan nada suara yang agak mamai, Dania mengagak Irfan mungkin tertidur sebentar tadi.

“Kak Nia sibuk sikit, sebab tu lambat call Irfan. Akak minta maaf ya,” pinta Dania.

“Takpe kak Nia. Saya faham kak Nia sibuk. Kak Nia dapat luangkan masa call saya pun dah cukup bertuah dah rasanya.”

“Irfan dah makan?” tanya Dania. Dia merasa senang dengan sikap Irfan yang tidak ambil hati itu.

“Belum lagi. Selalu kalau cuti sekolah macam ni, saya jarang lunch…” jujur Irfan mengakui tentang kehidupannya.

“Eh, kenapa jadi macam tu pula? Ayah Su Irfan tak sediakan makanan untuk Irfan ke? Atau sekurang-kurangnya tinggalkan duit belanja untuk Irfan?”

“Selalu bibik datang masak. Tapi kalau waktu cuti sekolah saya tak suka dia datang. Bibik tu banyak tanya. Nanti saya kena jawab semua soalan-soalan dia. Tak sukalah!” Irfan cuba mengadu. Dania tertawa sedikit mendengar luahan hati Irfan. Memang anak kecil itu manja orangnya.

“Habis tu, Irfan sangguplah berlapar daripada kena layan bibik tu?”

“Tak kisah. Saya dah biasa macam ni, kak Nia. Lagipun, ayah Su selalu penuhkan peti ais tu dengan macam-macam makanan. Saya tak pernah kelaparan selama 12 tahun saya hidup ni,” beritahu Irfan lagi.

“Kalau macam tu takpelah. Tapi jangan selalu biarkan perut tu berisi makanan yang tak sepatutnya. Tak elok untuk kesihatan tau,” Dania menasihati teman kecilnya itu.

“Err..kak Nia selalu balik kerja pukul berapa ya?” Irfan cuba menukar topik perbualan. Selama beberapa bulan berkenalan dengan Dania, dia jarang sekali bertanya tentang kehidupan gadis itu. Selalunya, Dania yang banyak bertanya itu dan ini.

“Selalu akak balik pukul 6 petang. Kalau banyak kerja, akak stayback sampai pukul 8 malam ke..9 malam ke.”

“Oh, kalau keluar pejabat pukul 6 petang…pukul berapa pula nak sampai rumah?” tanya Irfan lagi.

“Sebelum pukul 7 akak sampailah…” jawab Dania lurus.

Buat seketika, hati Dania berdetik lagi, ‘selalu Irfan tak macam ni pun. Kenapa dia jadi banyak tanya sangat hari ni ya?’ Merasakan perkara itu tidak perlu dibimbangkan sangat, Dania menyambung semula perbualannya. Lepas satu, satu pertanyaan yang keluar dari mulut Irfan. Sesekali Irfan menyuarakan hasrat hatinya untuk bertemu Dania di luar. Selama ini, mereka hanya mengenali rupa masing-masing melalui kiriman gambar.

“Ayah Su bagi ke Irfan jumpa akak?”

“Janganlah beritahu pada ayah Su. Kalau beritahu mesti ayah Su tak izinkan. Kan saya pernah beritahu kak Nia yang ayah Su mengawal semua tindakan saya. Saya tak pernah ada peluang keluar bermain dengan kawan-kawan. Kadang-kadang saya nak juga merasa kehidupan dunia luar. Tapi, sampai sekarang saya masih belum ada peluang tu. Kalaulah kak Nia boleh faham perasaan saya ni…” rintih Irfan. Nada suaranya menjadi semakin mendatar.

“Irfan jangan cakap macam tu. Mungkin ada sebab kenapa ayah Su menyekat kebebasan Irfan. Lagipun, dia hanya ada Irfan saja, kan?” Dania cuba menenangkan perasaan Irfan.

“Itu saya tahu, tapi saya rasa ayah Su tak adil. Ayah Su tak boleh buat saya macam ni. Saya pun ada keinginan juga, kak Nia,” Irfan cuba mempertahankan pendiriannya.

“Irfan, dengar sini…Irfan masih di bawah tanggungjawab ayah Su. Walau apapun yang Irfan rasa sekarang, ayah Su ada hak untuk tentukan kehidupan Irfan. Irfan baru je 12 tahun, dik. Irfan bukan remaja yang berusia 18 tahun yang boleh tentukan kehidupan Irfan sendiri. Percayalah, ayah Su Irfan pun mungkin tak suka nak buat macam ni. Tapi dia perlu menjalankan tanggungjawab dia dengan baik. Dia perlu jalankan amanah arwah ibu dan ayah Irfan,” agak panjang Dania bersuara sambil cuba menasihati Irfan.

“Mungkin betul apa yang kak Nia cakap tu. Tapi, kak Nia tak duduk kat tempat saya. Kak Nia tak tahu apa yang saya rasa selama ni…”

Dania terdiam seketika. Dia cuba untuk menyelami perasaan Irfan ketika itu. Memang anak kecil itu sedang berperang dengan perasaannya. Keinginan untuk menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain yang sebaya melonjak-lonjak dalam dirinya.

“Kalau Irfan cakap macam tu, akak tak boleh nak kata apa lagi. Tapi, mungkin akak boleh tolong Irfan,” kata Dania.

“Kak Nia nak tolong macam mana?” ada nada terdesak pada suara Irfan.

“Biar akak cakap dengan ayah Su. Mungkin dia boleh dengar cakap akak, kan?”

“Tapi…”

“Irfan tak percaya pada akak ke?” tanya Dania pantas.

“Saya percaya pada kak Nia. Tapi, ayah Su…”

Leave it to me, okay? Akak akan cuba pujuk ayah Su supaya beri peluang untuk Irfan jalani kehidupan seperti yang Irfan mahu.”

Kali ini giliran Irfan pula yang terdiam. Mungkin dia sedang memikirkan kemungkinan respon Joshua apabila mendapat tahu dia pernah mengadu kepada Dania tentang kehidupannya. Perlahan-lahan kepalanya digelengkan. Dia tidak seharusnya membiarkan Dania bertemu atau bercakap dengan Joshua tentang perkara itu.

“Tak boleh, kak Nia. Saya tak setuju!” bantah Irfan tiba-tiba.

“Kenapa?” Dania yang terkejut dengan perubahan mendadak Irfan itu, segera bertanya.

“Kak Nia tak patut tahu perkara ni. Ayah Su tak benarkan saya beritahu pada sesiapa pun. Saya tak nak kena marah dengan ayah Su lagi…”

“Baiklah. Akak takkan cakap dengan ayah Su, puas hati?”

Sambil berterima kasih dengan persetujuan Dania, Irfan sempat memarahi dirinya sendiri. Mungkin itu satu-satunya peluang yang dia ada untuk mendapat sedikit kebebasan sebelum dihantar ke Maxgrid High School hujung bulan ini. Namun, dia tidak mempunyai kekuatan untuk percaya bahawa Dania mampu memujuk Joshua yang begitu keras hatinya itu.

Post a Comment