They're My Best Buddies

Tuesday, 15 November 2011

Mimpi Semalam - Bab 1



Papermate : Hai, kak Nia!

Bunga_Emas : Hai, Irfan! Lambat online malam ni…sibuk ke?

Papermate : Saya siapkan kerja sekolah tadi. Sebab tu lambat sikit. Lama ke kak Nia tunggu saya..?

Bunga_Emas : Lama juga..nasib baik akak belum sign out. Irfan dah makan..?

Papermate : Malam ni takde selera nak makan :(

Bunga_Emas : Kenapa ni? Irfan tak sihat ke..?

Papermate : Akak..hang on! Kejap je..jangan sign out dulu tau…

Dania tersenyum sendirian menatap skrin komputer ribanya itu. Begitulah rutin hariannya bila malam menjelma. Selesai saja makan malam bersama teman serumahnya, Dania akan segera melayari laman web Yahoo Massengger untuk berbual dengan teman kecilnya, Irfan. Sejak ditinggalkan oleh bekas tunangnya kira-kira 5 bulan yang lalu, Dania sering mengisi masa lapangnya dengan berbual di alam siber dengan teman-teman yang tidak pernah dikenalinya. Salah seorang dari mereka adalah Irfan.

Bagi Dania, Irfan bukan sekadar teman berbual, malah budak lelaki yang baru berusia 12 tahun itu telah dianggap seperti adiknya sendiri. Disebabkan Irfanlah, Dania sanggup menghadap komputer ribanya saban malam. Disebabkan Irfan jugalah hidup Dania tidak lagi sunyi seperti selalu. Irfan benar-benar membuatkan hatinya kembali pulih seperti sedia kala. Walaupun Irfan hanyalah seorang kanak-kanak kecil, namun Dania senang dengan persahabatan mereka. Irfan tidak seperti teman-teman chatting yang lain. Dania jujur merasakan bahagia dan tenang bila setiap kali dapat berbual dengan kanak-kanak itu.

Semenjak mengenali Irfan, timbul satu rasa keinsafan dalam diri Dania. Jika dulu dia sering meratap perpisahannya dengan Fahmi, namun kini dia menjadi lebih tabah. Walaupun dia kehilangan Fahmi, namun dia masih mempunyai keluarga untuk dijadikan tempat mengadu dan menumpang kasih. Bagi Irfan, hanya pakciknya saja tempat dia bergantung. Kedua-dua orang tua Irfan sudah lama meninggal dunia. Menurut kata Irfan, dia hanya sempat bersama-sama kedua-dua arwah ibu dan ayahnya sehingga usianya mencecah 2 tahun. Selepas itu, dia dijaga dan dipelihara oleh pakcik yang merupakan adik bongsu arwah ibunya.

Papermate : Akak sorry lambat. Ayah Su panggil tadi…

Bunga_Emas : Takpe…akak pun belum mengantuk lagi ni. Tak kisah tunggu lama sikit. Irfan okay ke ni..?

Papermate : Macam tak okay je. Hmm..takpela kak Nia…saya nak tido dulu.

Bunga_Emas : Irfan.. kenapa ni..?

Papermate : Takde apa-apa. Esok kita chat lain ye. Good night kak Nia!

Bunga_Emas : Irfan…?

Setelah hampir 15 minit menunggu, namun tiada balasan dari Irfan. Dania segera menutup komputer ribanya itu.  Dia pasti kanak-kanak itu sudah terlena. Namun, timbul perasaan curiga terhadap kelakuan pelik Irfan malam itu. Selalunya Danialah yang akan mengucapkan selamat malam walaupun Irfan masih terus mahu berbual-bual. Terasa ingin mendail nombor telefon kediaman teman kecilnya itu. Namun, segera dilupakan saja hasrat tersebut lantaran teringat pesanan Irfan yang tidak membenarkannya menelefon di waktu malam kerana takutkan pakciknya yang akan menjawab. Dania lalu mengucapkan selamat malam kepada dirinya sendiri dan terus saja melelapkan mata.

                                                     *          *          *    
       
Mata Dania tertumpu pada jambangan bunga mawar putih di atas mejanya. Segera dia mempercepatkan langkah. Ketiga-tiga orang teman rapatnya di pejabat sudahpun mengelilingi mejanya itu. Hani, Sofia dan Farah tersengih-sengih memandang wajah Dania yang berkerut seribu. Hairan tentang jambangan bunga tersebut, Dania pantas membelek-beleknya dengan harapan terselit sekeping kad dari pengirim. Dengan rasa hampa, Dania meletakkan semula jambangan bunga mawar putih itu kembali ke tempat asalnya. Sambil meletakkan beg tangan di dalam laci meja, Dania sempat memandang  Hani yang masih tersengih penuh makna.

“Nia, siapa secret admirer kau ni?” tanya Hani lalu mengambil jambangan bunga itu. Di bibirnya masih terukir sebuah senyuman.

            “Nia, sejak bila kau ada secret admirer?” tanya Farah pula.

            “Nia ada secret admirer?!! Siapa? Kenapa aku tak tahu pun..?” Sofia pantas menyampuk. Suaranya yang agak meninggi itu telah menarik perhatian beberapa pasang mata di bahagian kewangan syarikat itu.

            “Cik Hani, cik Sofia, cik Farah…boleh tak cik-cik semua ni balik kat tempat masing-masing? Cik Dania nak buat kerja…” lembut Dania bersuara.

            “Alah, Nia…kau ni tak sporting lah!” kata Sofia lagi.

            “Nia, beritahulah kami siapa yang hantar bunga ni…cantiklah,” pujuk Hani yang sedang cuba mengira jumlah kuntum bunga mawar putih di dalam jambangan itu.

            “Apa kata cik-cik bertiga pergi tanya pada cik receptionist kita kat luar tu siapa yang hantar bunga ni sebab cik Dania memang tak tahu,” Dania membalas dengan nada suara yang lebih lembut.

Sambil menolak ketiga-tiga mereka jauh dari mejanya, Dania pantas menarik kerusinya. Dengan sebuah senyuman yang melebar, Hani, Sofia dan Farah faham Dania tidak mahu diganggu ketika itu. Lalu dengan rasa berat hati, mereka terpaksa melangkah pergi. Namun, Hani berpatah balik untuk mengembalikan jambangan bunga yang masih berada di tangannya itu. Dia mencebik ketika Dania masih mengekalkan senyumannya. Perlahan-lahan Dania mengeluh dengan gelagat teman-temannya itu.

Dania baru sahaja masuk tahun ketiga bertugas di syarikat itu. Di awal kemasukannya yang hanya ditugaskan sebagai pegawai akaun, Dania tidak mempunyai teman rapat di situ. Dia lebih banyak menghabiskan masanya dengan menyiapkan tugasan yang diberi. Disebabkan komitmen yang begitu tinggi terhadap tugasannya, Dania kini telahpun menjawat jawatan sebagai eksekutif akaun yang mempunyai seorang pegawai dan dua orang kerani di bawahnya. Ketiga-tiga mereka adalah Hani, Sofia dan Farah. Semenjak menjadi orang bawahannya, ketiga-tiga mereka agak rapat dengan Dania. Mereka kini lebih mesra dengan Dania, tidak seperti ketika Dania baru memulakan tugas di situ.

Pernah juga Dania terdengar desas-desus yang mengatakan Hani, Sofia dan Farah memang suka mengendeng seseorang yang agak berpangkat di syarikat itu. Disebabkan itulah mereka kini lebih rapat dengan Dania berbanding ketika Dania masih memegang jawatan lamanya sebelum ini. Pada mulanya, Dania agak termakan juga dengan khabar angin tersebut. Namun, sekian lama mengenali ketiga-tiga mereka, hanya perasaan gembira yang berlegar-legar di ruang hatinya.

Tidak pernah sekalipun Dania merasakan Hani, Sofia mahupun Farah cuba mengambil kesempatan di atas hubungan rapat mereka. Bagi Dania, mereka bertiga merupakan teman dan pekerja yang amat baik serta berdedikasi. Dania belum pernah kecewa dengan setiap tugasan mereka.

Tumpuan Dania kini beralih pula kepada laporan kewangan bulanan yang perlu dibentangkan untuk menghadiri mesyuarat bersama-sama pengurusnya pagi esok. Membuang perasaan ingin tahu terhadap siapakah gerangan pengirim bunga tersebut, Dania lantas menyiapkan laporannya itu.

Dalam kesibukannya menyiapkan tugasan, Dania tidak sedar masa yang begitu pantas berlalu. Sedar tidak sedar sudah tiba waktu untuk makan tengahari. Namun, Dania masih tidak berganjak dari mejanya.

“Nia, makan!” laung Hani yang sudahpun berdiri di depan pintu masuk bahagian kewangan itu. Di sebelahnya kelihatan Sofia dan Farah yang sedang rancak berbual.

Okay…korang pergilah dulu,” balas Dania yang kini kembali menoleh ke arah komputernya. Dia menyudahkan kerja kira-kira penyata akaun sepanjang bulan lepas itu. Sambil menyimpan semua data-data kerjanya dengan selamat di dalam komputer, Dania mengemaskan mejanya yang agak berselerak itu. Pantas dia menarik keluar beg duitnya dan bergegas pula menuju ke kafeteria di tingkat bawah bangunan itu.

“Hai!” tegur Dania sambil menepuk lembut bahu Hani yang sudahpun separuh jalan menghabiskan makanannya.

“Err…Nia, aku order nasi goreng kampung je untuk kau ni. Takpe ke?” Hani memberitahu lalu menolak sepinggan nasi goreng kampung di depan Dania.

“Beres!” jawab Dania sambil melambai pelayan di situ untuk memesan segelas jus tembikai kegemarannya.

“Kenapa lambat?” tanya Farah ketika Dania duduk di sebelahnya.

“Sayang nak tinggalkan kerja,” Dania membalas bersahaja.

“Eleh, kalau sayang sangat kat kerja tu kenapa tak bawa turun sekali?” tempelak Sofia. Dania mengambil keputusan untuk tidak menjawab. Dia segera menyuapkan nasi goreng itu kemulutnya.

Sambil berbual, Dania sempat mengingatkan Farah tentang mesyuarat esok yang perlu dihadiri oleh mereka berdua. Farah mengangguk faham. Dia tahu apakah tugasan yang perlu disediakan olehnya untuk mesyuarat tersebut.

“Dania…” lembut suara Sofia memanggil. Dia bermain-main dengan penyedut minumannya sambil memandang Dania yang bertekad tidak mahu menoleh mahupun menjawab panggilannya itu.

“Nia…kau dengar tak aku panggil ni?!” Sofia bertanya sambil menjegilkan matanya. Dia merasa geram kerana tahu Dania sengaja berpura-pura tidak mendengar panggilannya sebentar tadi.

“Hmm…” malas Dania membalas.

“Err..aku dah tanya pada Shima siapa yang hantar bunga tu,” ayat Sofia itu lantas membuatkan Dania menoleh.

“Siapa yang hantar?” tanya Farah pantas sebelum sempat Dania sendiri yang bertanya. Dia merenung penuh harap ke wajah Sofia yang kini berseri-seri kerana tumpuan ketiga-tiga orang teman kini ke arahnya.

“Tapikan…Shima pun tak tahu siapa yang hantar bunga tu…” rendah nada suara Sofia kali ini. Dia tahu pasti dia akan dimarahi kerana perkara itu. Sambil tersengih, dia memandang wajah Farah yang kelihatan hampa.

“Kau ni Opie…lain kali jangan buat gempaklah!” marah Hani.

“Apalah kau ni Opie…kalau tak tahu jangan buka cerita. Aku dah excited gila tadi nak tahu siapa secret admirer Nia ni,” Farah turut menyalahkan Sofia.

“Suka hati koranglah…aku nak naik atas. Kalau korang nak bincang lagi hal ni, teruskanlah ye,” sampuk Dania lalu menghabiskan sedutan terakhir minumannya.

“Eh, Nia…janganlah pergi dulu. Ada 15 minit lagi ni. Kau jangan nak mengelak pula ye!” Hani pantas menyambar pergelangan tangan Dania sebelum sempat gadis itu berlalu pergi.

“Betul tu…hal ni kan hal kau. Takkan kau tak nak tahu siapa yang hantar bunga tu…?” Sofia kembali bersuara.

“Opie, ada guna tak kalau aku tanya kau sekarang siapa yang hantar bunga tu?” pertanyaan Dania itu lantas mematikan senyuman di wajah Sofia.

“Betul juga. Bukannya kita tahu pun nama pengirim bunga tu. Opie, aku tak kira…tugas kau sekarang ni untuk cari nama pengirim bunga tu. Cari sampai dapat!” Hani yang bagaikan memberi arahan membuat Sofia mengangguk lemah.

Dania tidak menunggu lagi. Dia bergegas pergi sebelum ada sesiapa lagi yang menahannya. Sementara menunggu pintu lif terbuka di hadapannya, ingatan Dania kembali kepada jambangan bunga mawar putih yang diterimanya pagi tadi. ‘Mustahil Fahmi yang hantar. Setahu aku, dia saja yang tahu bunga kesukaan aku ni. Takkan dia? Buat apa dia nak bagi bunga kat aku lagi…?’ hati Dania mula berbisik.

“Nia…”

“Farah! Terkejut aku tau,” Dania mengurut lembut dadanya. Dia agak tersentak dengan panggilan Farah yang muncul tiba-tiba di sebelahnya. Farah mengusap lembut belakang badan Dania sambil tersenyum.

“Hehehe…sorry. Kau okay ke Nia? Dari tadi aku tengok kau macam tak okay je…” Farah mula menunjukkan sifat prihatinnya.

“Aku okay je…”

“Nia, kau memang betul tak tahu ke siapa yang hantar bunga tu? Kau takde syak sesiapa ke?” sekali lagi Farah menimbulkan persoalan yang sedang berlegar-legar di kepala Dania.

“Aku memang tak tahu. Nak syak sesiapa pun aku tak tahu…” Dania cuba untuk tidak memberitahu kepada Farah bahawa di dalam fikirannya sekarang kemungkinan Fahmi yang menghantar bunga tersebut.

“Nia…kalau bekas tunang kau yang hantar, macam mana?” duga Farah.

“Kenapa kau syak dia…?” Dania pantas bertanya. Dia merasa tidak sedap hati kerana Farah bagaikan boleh membaca fikirannya ketika itu.

“Takdelah..sebab dulu kan dia suka hantar bunga mawar putih untuk kau,” jawab Farah sambil cuba untuk bersikap bersahaja. Bimbang Dania akan mengatakan dirinya sebagai penyibuk.

“Err…sebenarnya kan aku pun terfikirkan dia tadi. Tapi aku harap sangat bukan dia!” tegas Dania membalas.

Farah sekadar menggelengkan kepalanya melihat ketegasan Dania. Farah yang agak rapat dengan Dania tahu dia lebih dipercayai oleh temannya itu berbanding Sofia dan Hani. Dania pula lebih banyak bercerita dengannya. Disebabkan itulah Farah juga tahu tentang Fahmi yang pernah menjadi tunang Dania satu ketika dahulu. Dia tahu bagaimana Dania yang terpaksa bangkit dari kesedihan selepas kecewa ditinggalkan.

                                        *          *          *

Selesai saja menjamu selera dengan teman serumahnya, Puteri, Dania bergegas meninggalkan meja makan. Kelakuannya itu membuatkan Puteri tidak putus-putus memandang.

“Kau nak kemana ni? Kelam-kabut je aku tengok…”

“Aku ada date dengan Irfan,” balas Dania ceria. Dia mengenyitkan mata ke arah Puteri yang masih memandangnya.

“Kau ni tak habis-habis dengan dunia chatting kau tu. Apa yang kau dapat, Nia?”

“Kepuasan…” perlahan Dania menjawab. Dia agak berkecil hati dengan kata-kata Puteri itu.

“Kepuasan? Sudahlah Nia. Kau takkan puas dengan kawan-kawan siber kau tu. Cubalah keluar bersosial sekali-sekala. Ini tidak…chatting, chatting, chatting! Dengan budak 12 tahun pula tu. 12 tahun Nia! Apa yang kau dapat dari dia?!”

“Tuan Puteri, listen…aku tak pernah masuk campur pun segala urusan kau. Jadi tolong jangan pertikaikan apa yang aku buat. Aku lebih percayakan Irfan berbanding lelaki dewasa yang lain termasuklah kau!” Dania pantas naik ke biliknya. Sakit hatinya mendengar Puteri yang bagaikan menghina Irfan. Mana mungkin dia boleh menerima hinaan itu sedangkan dia begitu senang dengan kehadiran Irfan dalam hidupnya.

“Nia!” panggil Puteri lantang. Namun, Dania meneruskan langkahnya. Puteri menggelengkan kepala. Buat seketika dia mengeluh hampa dengan sikap Dania itu.

Di dalam hati, Puteri sebenarnya merasa amat bersalah di atas perpisahan Dania dan Fahmi. Dialah yang menjadi pengantara hubungan mereka berdua. Puteri yang beria-ia benar mahu memperkenalkan Fahmi kepada Dania dulu. Hubungan itu berjalan lancar sehinggalah mereka mengikat tali pertunangan.

Namun, jodoh Dania dan Fahmi tidak berkekalan apabila lelaki itu sendiri mahu memutuskan pertunangan mereka. Semenjak dari itulah Dania sering memencilkan diri. Dia tidak mahu lagi keluar bersosial seperti sebelumnya. Dunianya kini hanyalah rumah dan pejabat. Pernah juga Puteri cuba untuk memperkenalkan Dania dengan kawan-kawan teman lelakinya, namun Dania telah memberi amaran supaya tidak mengulanginya lagi kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Di tingkat atas, Dania merungut-rungut sendirian. Hatinya masih panas dengan kata-kata Puteri sebentar tadi. Lantas dia menghidupkan kompuer ribanya. Laju saja jari-jemarinya menaip pesanan buat Irfan yang masih belum muncul di ruang sembang Yahoo Massengger itu.

            Sementara menanti balasan dari Irfan, Dania sempat memeriksa mesej baru yang diterima di dalam inbox emelnya. Sesekali mulutnya mengikut nyanyian yang terpasang di mp3 player komputer riba itu.

Papermate : Kak Nia!!

Bunga_Emas : Ada pun..ingat tak nak chat malam ni. Irfan sihat ke..?

Papermate : Kan saya dah janji semalam. Mestila ada. Mmm..saya sihat je…cuma ada rasa tak puas hati dgn ayah Su :(

Bunga_Emas : Kenapa dengan ayah Su..?

Papermate : Ayah Su nak hantar saya pergi sekolah lain nanti. Masalahnya saya tak nak pergi. Saya nak sekolah di sini..

                                    Bunga_Emas : Kenapa ayah Su nak hantar Irfan pergi sekolah lain..? Boleh akak tau sekolah tu kat mana?

                                    Papermate : Saya pun tak tau kat mana. Ayah Su cakap jauh ke selatan. Mungkin kat Johor...

Bunga_Emas : Irfan dah pujuk ayah Su…?

Papermate : Ayah Su tak nak dengar. Dia cakap keputusannya muktamad!

            Dania yang tiba-tiba terasa tekaknya kering meninggalkan sebentar perbualan tersebut. Dia bergegas turun ke tingkat bawah untuk mengambil segelas air. Barulah dia tersedar yang dia masih belum minum selepas makan malam sebentar tadi kerana pertengkaran kecil yang berlaku antara dirinya dengan Puteri.

            Tidak mahu membuang masa, Dania lantas mengambil sekotak jus mangga dari dalam peti ais untuk dibawa ke biliknya. Sedar yang ekor mata Puteri mengekori langkahnya, Dania segera menuju ke tingkat atas. Tidak mahu menimbulkan lebih banyak pertengkaran dengan teman serumahnya itu.

            “Nia…”

            Langkah Dania terhenti. Panggilan Puteri dengan nada suara yang begitu rendah itu terasa begitu kejam untuk diabaikan. Namun, dia tidak mahu menoleh. Sambil bermain-main dengan penutup kotak minuman itu, Dania menunggu butir  bicara yang bakal keluar dari mulut Puteri.

            “Nia, aku nak minta maaf pasal tadi. Aku tau kau marahkan aku. Aku cuma bimbangkan diri kau, Nia…” sayu Puteri meminta kemaafan dari Dania.

            “Hmm..” balas Dania acuh tak acuh.

            Terus saja dia melangkah tanpa berpaling walaupun sekilas kepada Puteri. Rasa marahnya terhadap Puteri masih belum reda lagi. ‘Rasakan kau, Puteri. Lain kali carilah pasal dengan aku lagi,’ hati Dania berbisik jahat.

Papermate : Kak Nia..kenapa diam je..?

Bunga_Emas : Sorry dik..akak ambil air tadi. So…sambung balik cerita kita tadi. Boleh akak tau kenapa ayah Su beria-ia sangat nak hantar Irfan ke sekolah tu..?

Papermate : Sebab ayah Su tak nak saya jadi orang pertama yang memecahkan tradisi keluarga kami…

Bunga_Emas : Tradisi apa tu..?

Papermate : Seluruh keturunan yang lahir sebelum saya termasuklah ayah Su belajar di sekolah tu. Jadi, saya terpaksa belajar di sana juga.

Bunga_Emas : Hmm…ayah Su bukan suruh Irfan buat sesuatu yang tak baik kan. Boleh kak Nia tahu sekolah apa yang Irfan maksudkan tu..?

Papermate : Sekolah tu sekolah berasrama penuh...

Bunga_Emas : Baguslah tu. Bukan semua orang ada peluang nak masuk sekolah berasrama penuh tau.

Papermate : Tapi saya tak suka. Saya tak nak berpisah dengan kawan-kawan saya di sini!

Bunga Emas : Kan boleh cari kawan baru kat sana..?

Buat seketika, Irfan mengambil masa yang agak lama untuk membalas. Sementara menunggu balasan dari Irfan, Dania terfikirkan semula kata-kata budak lelaki itu. Menolak tawaran kemasukan ke sekolah berasrama penuh? Memang anak manja!

Papermate : Saya takut kak Nia…

Bunga_Emas : Apa yang Irfan nak takutkan ni..?

            Merasa agak terkejut dengan ayat Irfan, Dania pantas membalas. Dia tidak sabar menunggu balasan dari Irfan. Dia tiba-tiba menjadi bimbang tentang keselamatan Irfan. Dania pernah terbaca tentang keadaan pelajar yang selalu dibuli malahan dipukul jika timbul masalah sesama mereka.

Papermate : Saya takut saya tak boleh nak biasakan diri di sana nanti.

Bunga_Emas : Irfan…listen to me okay…akak rasa Irfan mesti akan dapat biasakan diri. Mula-mula memanglah rasa tak boleh. Tapi, lama-lama nanti mesti okay

PapermateThanks, kak Nia. Err...saya tidur dulu ye. Boleh tak kak Nia call saya pagi esok…?

Bunga_Emas : Okay…esok akak call Irfan. Macam biasa, okay..?

Papermate : Ya, macam biasa. Good night kak Nia!

Bunga_Emas : Good night sweetheart..sweet dream

            Sebaik saja keluar dari laman Yahoo Massenger itu, Dania terus saja menarik selimutnya. Walaupun agak bimbang tentang Irfan, namun hatinya sedikit ceria dapat berbual dengan kanak-kanak lelaki itu.

Post a Comment