They're My Best Buddies

Thursday, 24 November 2011

Kerana Takdir - Bab 9


            “Aku sedih betul tak dapat jumpa Kimi,” Reza bersuara sebaik saja mereka tiba di kedai makan berhampiran dengan Rumah Bakti.

            “Mungkin dia terlupa kot,” balas Sarah, cuba bersikap positif.

            “Mustahillah! Kita semua tak lupa. Takkanlah dia boleh lupa. Aku menghitung hari tau nak jumpa korang semua!” Reza tidak berpuas hati dengan alasan Sarah.

            “Ataupun mungkin dia ada hal lain…” sampuk Idham. Dia juga agak berkecil hati dengan sikap mungkir janji Hakimi.

            Reza melepaskan sebuah keluhan yang berat. Wajah teman-teman dipandangnya satu-persatu. Hanya Hakimi yang tiada di situ. Apalah agaknya khabar dia sekarang? Bagaimana pula kehidupan Hakimi dengan keluarga angkatnya? Bahagiakah dia seperti dirinya? Atau mungkin dia lebih sengsara dari diri Azlyn?

            “Apa kata kita pergi rumah dia..?” Azlyn tiba-tiba mencadangkan supaya mereka berempat bersama pergi menemui Hakimi di rumah lelaki itu.

            “Betullah! Kenapalah kita tak terfikir dari tadi?” balas Sarah, teruja.

            “Macam mana nak pergi? Kita bukan tahu rumah dia di mana,” ujar Idham.

            “Kita boleh minta alamat rumah keluarga angkat Kimi di pejabat, kan? Mereka mesti ada rekod,” Azlyn semakin bersemangat.

            “Hmm, kalau mereka tak tinggal di sana lagi…?” Reza menimbulkan tanda tanya, membuatkan Azlyn terus terdiam. Senyuman yang dari tadi terukir di bibirnya terus lenyap. Dia memandang Sarah, jelas meminta cadangan lain.

Sarah terangguk-angguk, mengiakan pertanyaan Reza sebentar tadi. Namun, dia tidak mahu berputus asa. Dia tetap mahu mencuba.

“Kita dapatkan dulu alamat rumah keluarga angkat Kimi. Hal-hal lain kita fikir kemudian, okay?” Sarah segera menyedut minumannya.

Cadangan Sarah itu mendapat sambutan baik dari Azlyn. Idham dan Reza bagaimanapun masih kelihatan teragak-agak untuk bersetuju. Namun, akhirnya mereka mengalah. Mereka juga turut berkeinginan untuk bertemu dengan Hakimi setelah 10 tahun berpisah.

Sambil menghabiskan makanan yang terhidang, mereka kembali berbual-bual tentang keluarga masing-masing. Azlyn banyak mendiamkan diri. Dia lebih senang mendengar cerita kebahagiaan teman-temannya dari berkongsi penderitaan dirinya dengan mereka. Terselit rasa cemburu di hati Azlyn melihat wajah-wajah ceria dan bahagia Sarah, Idham dan Reza ketika mereka berkongsi cerita.

Sesekali penghayatan Azlyn terganggu dengan soalan-soalan dari Reza dan Idham. Lelaki-lelaki itu begitu mengambil berat terhadapnya. Azlyn merasa bertuah kerana dikurniakan dengan teman-teman yang begitu memahami.

Ingatan Azlyn teralih kepada abang angkatnya, Hafiz. Lelaki itu begitu ceria ketika Azlyn memberitahu tentang pertemuan hari ini. Hafiz yang beria-ia benar supaya Azlyn pergi bertemu dengan teman-temannya. Azlyn pada mulanya agak keberatan mahu meninggalkan Hafiz seorang diri di rumah. Namun, setelah berkali-kali diyakinkan oleh Hafiz yang dia mampu menjaga dirinya sendiri, barulah Azlyn mengambil keputusan untuk pergi. Itupun setelah memastikan semua keperluan Hafiz disediakan.

‘Harap-harap abang Hafiz selamat di rumah,’ hati Azlyn berdetik bimbang. Belum pernah lagi dia meninggalkan Hafiz seorang diri begitu, melainkan ketika dia keluar bekerja.

“Lyn! Kau dengar tak apa yang aku tanya ni?” tanya Sarah, mematikan lamunan Azlyn. Dia kembali ke alam nyata.

“Kau berangan ye…?” Idham bertanya sebelum sempat Azlyn meminta Sarah untuk mengulang semula pertanyaannya.

“Lyn teringatkan pakwe ke..?” usik Reza sambil tersengih-sengih. Dia memandang wajah Azlyn yang tersipu-sipu malu.

“Mana ada ingatkan pakwe. Lyn cuma terbayangkan cerita korang semualah. Bahagia sangat rasanya,” balas Azlyn, mematikan cubaan Reza yang mahu mengusiknya.

Azlyn terus berpura-pura menghabiskan saki-baki minuman yang masih ada di dalam gelasnya. Pandangan Idham dan Sarah tidak dipedulikan. Ada sesuatu pada pandangan mata mereka yang tidak mampu ditafsirkannya.

“Sarah rasa Lyn ni ada masalah, kan? Cuba ceritakan pada kami. Sarah peliklah tengok keadaan Lyn macam ni…” Sarah berkata sambil memandang Azlyn dan Idham silih berganti.

“Lyn okay je. Lyn takde masalah apa pun. Sarah janganlah risau,” Azlyn tersenyum. Melihat kepekaan Sarah pada perubahan raut wajahnya menimbulkan rasa bangga memiliki teman seperti itu.

“Betul ni…?” tanya Sarah tidak puas hati.

“Jangan paksa dia, Sarah. Kalau dia nak ceritakan pada kita, dari tadi dia dah cerita. Bukan semua perkara kita boleh ceritakan pada orang lain, kan Lyn?” Idham menegur. Dia juga merasa sesuatu di sebalik perubahan raut wajah Azlyn. Namun, untuk memaksa gadis itu bercerita kepada mereka adalah perkara yang amat mustahil. Azlyn yang mereka kenal sejak dari kecil lagi begitu perahsia orangnya. Amat jarang untuk mendengar gadis itu bercerita itu dan ini.

“Aku takde apa yang nak diceritakan. Betul cakap Id, kalau ada apa-apa hal mesti aku cerita kat korang,” Azlyn mengiakan kata-kata Idham.

“Tapi…” belum sempat Sarah menghabiskan ayatnya, tangan Idham pantas mencuit lengan Sarah. Menyuruh gadis itu menamatkan saja perbualan tentang diri Azlyn. Sarah akur. Dia kemudian bangun untuk membayar harga makanan dan minuman mereka walaupun ditegah oleh Idham dan Reza. Namun, Sarah terus saja berlalu pergi sambil memberitahu dia memang telah berniat untuk membelanja mereka semua.

Mereka berempat kembali semula ke Rumah Bakti dan terus saja menuju ke arah pejabat pentadbiran untuk mendapatkan alamat rumah keluarga angkat teman mereka, Hakimi. Harapan mereka satu saja, semoga keluarga angkat Hakimi masih menetap di alamat yang sama. Masing-masing sudah tidak sabar lagi untuk bertemu dengan Hakimi.

                                                *          *          *

Empat pasang mata kelihatan liar memandang sekitar ruang tamu di rumah separa mewah itu. Perabot dan hiasan serba putih itu benar-benar memberi ketenangan. Mereka menikmati gambar-gambar yang menghiasi dinding di bahagian ruang tamu rumah itu. Kelihatan wajah riang Hakimi menghiasi di setiap gambar.

Azlyn bangun lalu menghampiri sekeping gambar yang menunjukkan Hakimi dan ibu angkatnya. Dia tersenyum membayangkan kebahagiaan Hakimi bersama keluarga angkatnya. Azlyn bersyukur kerana sekurang-kurangnya teman-teman yang lain hidup bahagia selepas perpisahan mereka. Dia berpuas hati melihat kebahagiaan mereka walaupun dirinya tidak sebahagia mereka yang lain.

“Jemputlah minum. Makcik tak tahu pula Hakimi patut jumpa korang semua. Kalau tak, tak payahlah makcik suruh dia pergi temankan adik dia cari barang-barang hantaran kahwin tadi,” suara ibu angkat Hakimi, Helena, tiba-tiba memecah suasana sepi.

“Makcik ni susah-susah je. Kami dah minum tadi, “ Sarah cuba beramah mesra dengan wanita itu.

“Ish, tak susah mana pun. Air bujang je…” balas Helena mesra. Dia tersenyum sambil menghulurkan gelas-gelas yang berisi air ke tangan Idham dan diikuti oleh Reza.

“Makcik ada berapa orang anak angkat..?” tanya Reza teragak-agak. Sebaik saja mendengar penjelasan Helena tentang Hakimi dan adiknya sebentar tadi, membuatkan Reza tertanya-tanya.

“Eh, anak angkat makcik Kimi seorang je. Adik dia tu anak suami makcik dengan isteri pertama dia. Adik dia yang seorang tu je yang rapat dengan Kimi. Dua orang lagi anak isteri pertama tu tak mesra sangat dengan Kimi. Dengan makcik pun mereka tak berapa mesra,” Helena menjelaskan serba ringkas mengenai hubungan kekeluargaan dirinya dengan isteri pertama suaminya itu.

“Oh, maaflah kalau saya banyak bertanya. Saya cuma pelik je,” balas Reza. Dia agak malu mendengar penjelasan Helena. Dia terasa dirinya agak menyibuk dalam urusan rumahtangga orang lain.

“Eh, takpelah. Makcik tak kisah pun. Lambat laun nanti, Kimi pasti bercerita juga tentang hal ni. Makcik takde rasa segan pun nak bercerita. Memang inilah hakikatnya,” ujar Helena lagi. Dia sedikitpun tidak mengambil hati dengan pertanyaan Reza. Bagi Helena, kehidupannya sudah begitu sempurna dengan kehadiran Hakimi. Hakimi adalah segala-galanya dalam hidup Helena.

“Makcik dah call Kimi tadi. Dia minta kamu semua tunggu dia. Suara dia teruja betul. Mesti tak sabar nak jumpa kawan-kawan baik dia ni,” Helena menambah ketika Idham, Reza, Sarah dan Azlyn tidak berkata sepatah pun.

“Makcik, maaf ya…kami takde niat nak mengganggu makcik. Kami memang dah janji nak jumpa hari ni. Tapi, Kimi takde pula. Teringin nak jumpa dia. Sebab tu kami datang sini,” Idham bersuara bagi pihak kawan-kawannya.

“Laa, kamu semua tak menyusahkan makcik pun. Makcik suka kamu semua datang. Tak pernah Kimi bawa balik kawan-kawan dia ke sini. Kamu semua makan malam di sini ya? Makcik akan masak istimewa untuk kamu semua nanti,” Helena mempelawa mereka sambil di fikirannya sudah merancang untuk memasak beberapa menu yang istimewa.

“Makcik, tak perlulah susah-susah. Kami pun tak boleh lama-lama ni. Lepas jumpa Kimi nanti, kami baliklah,” balas Sarah, sopan menolak pelawaan Helena sebentar tadi. Idham dan Azlyn mengangguk tanda bersetuju. Cuma Reza saja yang tidak memberi sebarang reaksi.

“Janganlah macam tu. Kimi mesti suka kalau kamu semua makan malam sekali dengan kami. Bukan selalu pun ada tetamu datang ke rumah makcik ni,” pujuk Helena, dengan harapan teman-teman anak angkatnya itu akan bersetuju.

Idham, Sarah, Reza dan Azlyn berpandangan. Jelas, hanya Azlyn saja yang keberatan untuk menunggu lebih lama. Dia mengharapkan agar mereka semua memahami maksud pandangan matanya. Dia tidak boleh meninggalkan Hafiz terlalu lama di rumah. Bimbang akan keselamatan abang angkatnya itu. Azlyn memberi isyarat mata yang dia tidak bersetuju untuk makan malam di situ.

“Kalau lewat sangat, kamu semua boleh tidur di sini. Makcik tak kisah. Kimi mesti suka,” Helena bersuara lagi. Kali ini pelawaannya tidak mendapat sambutan. Idham, Sarah dan Reza pantas menggelengkan kepala.

“Eh, tak perlulah sampai nak tidur di sini pula makcik. Kami semua pun ada hal lain lagi lepas ni,” ujar Sarah sambil memandang yang lain.

“Kalau macam tu, duduklah dulu. Makcik nak ke dapur kejap. Nanti baliklah Kimi tu. Tadi masa makcik call pun, dia dalam perjalanan nak balik rumah,” beritahu Helena lalu meninggalkan mereka berempat di ruang tamu.

Azlyn terus memandang Sarah. Dia resah memikirkan perihal Hafiz. Dia tidak boleh menunggu lebih lama lagi. Dia mahu segera pulang ke rumahnya.

“Kita tunggu Kimi sekejap. Lepas tu kita balik,” ujar Sarah, bagaikan mengerti pandangan mata Azlyn terhadapnya.

“Err…Lyn boleh balik sendiri. Korang tunggulah sini sampai makan malam. Kesian kat makcik Helena, dia dah beria sangat tu,” balas Azlyn. Kalau ikutkan hatinya, memang dia mahu meluangkan lebih lama masa bersama teman-temannya. Tapi, apakan daya. Dia tidak boleh mengabaikan tanggungjawabnya terhadap Hafiz.

“Janganlah macam tu, Lyn. Kita datang sama-sama, balik pun sama-samalah juga. Kita tunggu Kimi sekejap. Lepas tu, kita semua boleh balik,” pujuk Idham. Dia juga tidak mahu menunggu lebih lama di situ. Walaupun hakikatnya, bertemu dengan teman-teman lama bagaikan adegan jejak kasih dalam hidupnya. Sarah turut bersetuju dengan kata-kata Idham. Reza saja nampaknya tidak begitu kisah sama ada mereka pulang awal atau sebaliknya.

Azlyn tersenyum sambil mengucapkan terima kasih kepada Sarah dan Idham yang begitu memahami situasinya. Walaupun mereka tidak pernah tahu cerita sebenar, namun Azlyn tetap berterima kasih di atas keprihatinan yang mereka berdua tunjukkan.

“Assalammualaikum!”

Sepantas kilat, Idham, Reza, Sarah dan Azlyn menoleh ke muka pintu. Kelihatan Hakimi yang bertubuh sasa tercegat berdiri sambil mendepakan tangannya. Ternyata dia menunggu salah seorang dari teman-temannya datang untuk memeluk dirinya. Reza yang terlebih dahulu menghampiri Hakimi. Mereka berpelukan erat. Idham kemudian datang dan menghulurkan tangan lalu disambut oleh Hakimi yang masih dalam dakapan Reza.

“Sarah? Azlyn?” Hakimi bertanya sambil memandang ke arah kedua-dua orang gadis yang turut menghampirinya. Sarah dan Azlyn mengangguk sebagai perkenalan terhadap diri mereka.

“Ya Allah, adik aku dah besar!” Hakimi bersuara ceria sambila memaut kanan dan kiri bahu Azlyn, membuatkan gadis itu sekali lagi tersipu-sipu malu. Sarah hanya tertawa riang. Hakimi masih seperti dahulu, menganggap Azlyn sebagai adiknya.

“Adik kami juga!” sahut Reza di belakang Hakimi. Mereka bersama-sama ketawa. Gembira dengan pertemuan itu. Hakimi segera memperkenalkan Nadia kepada mereka, anak bongsu kepada isteri pertama ayah angkatnya.

“Maaflah sebab Nadia yang beria minta abang Kimi temankan cari barang-barang ni. Nadia tak tahu abang Kimi kena jumpa kawan-kawan dia hari ni,” Nadia bersuara sambil tersenyum. Di tangannya masih menjinjing beberapa buah bungkusan beg plastik.

“Takpelah Nadia. Perkara kecil je,” Idham bersuara bagi pihak teman-temannya yang lain.

Nadia kemudian meminta diri untuk masuk ke dalam bilik. Walaupun Helena cumalah ibu tirinya, namun Nadia amat rapat dengan wanita itu. Disebabkan itu jugalah dia menjadi rapat dengan Hakimi. Nadia sering menghabiskan masa cutinya di rumah Helena berbanding rumah ibu kandungnya sendiri. Layanan baik Helena menjadi sebab utama Nadia berasa selesa untuk tinggal di situ.

Ayahnya, Jamal, juga tidak pernah melarang Nadia berbaik-baik dengan Helena dan Hakimi. Nadia yang merupakan anak bongsu sering saja dibuli oleh abang dan kakak kandungnya. Disebabkan itulah, dia lebih rela menghabiskan masa bersama-sama Helena dan Hakimi. Ibu kandungnya juga kelihatan tidak kisah dengan keadaan tersebut.

“Aku tak pernah lupa janji kita. Tapi, aku tak sampai hati nak biarkan adik aku tu shopping seorang diri. Bakal suami dia out-station pula. Sebab tu aku pergi temankan dia. Ibu aku pula tak berapa sihat. Kalau tak, mesti dia yang temankan Nadia tadi,” Hakimi menjelaskan perkara sebenar. Memang benar dari awal pagi dia telah bangun dan bersiap untuk bertemu dengan teman-temannya. Namun, permintaan Helena dan Nadia tidak mampu untuk ditolak.

It’s okay, Kimi. Kalau kau datang sana tadi, kami semua pun tak akan sampai rumah kau ni, kan?” balas Reza ikhlas. Dia menepuk lembut bahu temannya itu.

“Lyn apa khabar? Diam je dari tadi, Lyn tak sihat ke..?” pandangan mata mereka semua kini tertumpu ke arah Azlyn. Pertanyaan Hakimi itu membuatkan Azlyn tersentak dari lamunannya. Gadis itu segera memaut mesra lengan Hakimi, menariknya untuk duduk bersama.

“Lyn sangat-sangat sihat. Lyn bersyukur sebab dapat jumpa balik abang-abang dan kakak kesayangan Lyn ni. Lyn diam sebab tak tahu nak cakap apa. Sebab Lyn terlalu gembira,” ujar Azlyn, memandang satu-persatu wajah mereka Hakimi, Idham, Sarah dan Reza. Wajah-wajah yang pernah membahagiakan hidupnya suatu ketika dahulu.

Hakimi mengusap lembut rambut Azlyn. Sememangnya dia menyayangi Azlyn bagaikan adik kandungnya sendiri. Ketika dia mula-mula diambil sebagai anak angkat Helena dan Jamal, Hakimi sering teringatkan Azlyn melebihi dari teman-temannya yang lain. Dia terlalu risau memikirkan kehidupan Azlyn dengan keluarga angkatnya. Namun, kini Azlyn telah dewasa dan berada betul-betul di hadapannya. Rasa gusar itu telah berganti dengan perasaan yang sangat gembira.

“Korang makan malam kat sini, kan?” tanya Hakimi. Tangannya masih lagi memaut bahu Azlyn.

“Err, Kimi….Lyn tak boleh tunggu. Lyn ada hal lain. Nanti bila ada masa, Lyn datang jumpa Kimi lagi ye?” ujar Azlyn sebelum sempat yang lain menjawab pertanyaan Hakimi.

“Eh, mana boleh! Lyn orang yang paling patut ada. Orang lain nak balik awal pun Kimi tak kisah,” ucap Hakimi dalam nada bergurau. Reza hanya tertawa. Sementara Idham dan Sarah tersenyum mesra.

“Alahai, bukan Lyn sengaja nak balik awal. Lyn memang betul-betul ada hal ni. Lyn minta maaf sangat. Tapi, Lyn tak boleh balik lambat.”

“Tak peduli. Lyn kena stay sampai dinner. Lepas tu Kimi boleh hantar Lyn balik. Lagi bagus kalau Lyn tidur sini. Nadia tu sebaya Lyn tau. Bolehlah Lyn berkawan dengan dia. Ambil berkat, mana tahu kot-kot lepas ni giliran Lyn pula naik pelamin, merasalah Kimi makan nasi minyak lagi!” Hakimi tetap tidak mahu mengalah dengan alasan Azlyn. Gadis itu akhirnya terpaksa akur. Dia tahu Hakimi benar-benar rasa teruja dengan pertemuan itu. Malah, yang lain juga turut merasakan perasaan yang sama.

“Amboi, tadi Reza pujuk langsung tak dilayan ye! Bila Kimi pujuk Lyn ikut je. Mana aci!” Reza sengaja menimbulkan isu. Sambil itu dia ketawa riang.

“Bukanlah, Lyn tak sampai hati je nak tolak pelawaan Kimi,” balas Azlyn tidak mahu mengalah. Dia gembira, namun tetap merasa tidak tenang memikirkan Hafiz yang keseorangan di rumah.

“Yelah, dia sayang kat Kimi je, Reza. Kita ni abang tiri dia. Sebab tu dia tak nak layan sangat,” sampuk Idham, cuba memanjangkan lagi gurauan Reza. Sarah hanya menggelengkan kepala, terhibur dengan suasana ceria itu.

“Lyn sayang kat semualah! Lyn ni adil tau, kasih sayang diberi sama rata,” Azlyn menegaskan. Dia turut ketawa melihat Reza dan Idham yang sudah ketawa besar mendengar kata-katanya. Hakimi yang berada di sebelahnya turut sama ketawa.

“Macam mana dengan keluarga angkat Lyn…diorang okay tak?” pertanyaan Hakimi itu membuatkan Azlyn kembai terdiam. Dia cuba memikirkan jawapan terbaik untuk pertanyaan itu.

“Hmmm, diorang okay sangat. Lyn happy dengan keluarga angkat Lyn…”

Jawapan Azlyn itu membuatkan Sarah, Idham dan Reza berpandangan sesama mereka. Jelas, Azlyn cuba menyembunyikan cerita sebenar kisah hidupnya daripada pengetahuan Hakimi.

“Baguslah kalau macam tu. Kimi selalu bimbangkan tentang Lyn. Kalau keluarga angkat Lyn layan Lyn dengan baik, legalah sikit Kimi dengar,” Hakimi bersuara, melahirkan rasa syukurnya.

Sarah, Idham dan Reza hanya mendiamkan diri. Mereka sedar, Azlyn tidak mahu Hakimi tahu tentang episod duka hidupnya. Jadi, mereka berdiam diri agar Hakimi terus berperasangka baik terhadap kehidupan Azlyn bersama keluarga angkatnya.

“Alhamdulillah, kita semua melalui kehidupan yang amat baik setelah berpisah selama 10 tahun, kan?” Azlyn cuba memecahkan suasana. Dia tidak mahu hanya kisahnya menjadi topik perbualan ketika itu.

Hakimi mengangguk bersetuju. Dia membayangkan wajah tulus Helena, ketika kali pertama dia melangkah masuk ke rumah itu. Ibu angkatnya itu terlalu menyayangi dirinya. Tidak pernah membiarkan dia merasakan kekurangan. Helena akan cuba untuk memenuhi setiap permintaan Hakimi. Walaupun Jamal amat jarang pulang ke rumah itu, namun Helena tetap menemani Hakimi seperti selalu. Dia tidak pernah membiarkan Hakimi keseorangan, baik di rumah atau di mana saja Haikimi memerlukan dirinya.





Post a Comment