They're My Best Buddies

Thursday, 17 November 2011

Kerana Takdir - Bab 7


"Lama dah korang sampai...?" ucapan pertama yang keluar dari mulut Reza ketika dia bersalaman dengan Idham.

          "Lama juga. Dah naik kematu bontot aku ni menunggu korang semua!" balas Idham sambil tersengih-sengih. Dia memberi ruang agar Reza boleh duduk di sebelahnya.

          "Korang sihat ke..?" tanya Reza lagi. Kali ini pandangannya terarah kepada Sarah yang duduk di sebelah kiri Idham.

          "Kau nak tanya 'korang' ke...nak tanya Sarah je..?" Idham mengusik. Dia menepuk peha Reza, lalu tersengih lagi.

          "Jangan nak merepek la Id. Kau dengar Reza tanya apa tadi, kan? Dia ni memang dari tadi asyik kenakan aku je, Reza. Teruk betul!" adu Sarah. Idham terus melepaskan tawanya yang tidak dapat ditahan lagi. Sarah tersipu-sipu malu ketika Reza turut tersengih mendengar aduannya itu.

          "Okay..cukup tu. Aku minta maaf sebab lambat sampai. Ada hal kat rumah tadi. Mama aku tak berapa sihat. Aku kena jaga dia dulu sebelum kakak aku balik," Reza menerangkan kepada Idham dan Sarah.

          "Eh, kau ada kakak..??" tanya Idham, terkejut.

          "Ada. Anak buah mama aku. Dia pun anak angkat juga. Tapi, dia tu macam something la..." beritahu Reza sambil membayangkan wajah kakak angkatnya, Suhana.

          "Something apa, Reza?" Sarah bertanya ingin tahu.

          Reza terdiam. Dia mengerutkan dahi mengenangkan perbalahan antara dirinya dengan Suhana malam tadi. Dia yang selama ini dengan tulus menganggap Suhana itu sebagai kakak kandungnya sendiri, tidak pernah menyangka bahawa gadis itu menyimpan perasaan terhadap dirinya. Malang bagi Reza, papa dan mamanya seakan-akan bersetuju dengan hal itu.

          Malah, papanya merancang untuk menjodohkan mereka berdua dalam tempoh masa yang terdekat ini. Dia sekeras-kerasnya membantah perancangan itu dan mula berbalah dengan Suhana. Dia tidak faham mengapa Suhana tidak pernah memberitahu kepadanya tentang perasaan itu? Mengapa harus melibatkan mama dan papa sehingga terjadi pergaduhan begini?

          Reza akui, Suhana memang gadis yang baik. Dia hormatkan orang tua. Dia juga amat mengambil berat perihal Reza. Namun, Reza tidak pernah terlintas untuk menganggap hubungannya dengan Suhana akan menjadi lebih dari seorang kakak.

          "Reza..?" panggil Sarah perlahan. Reza terkebil-kebil melihat Sarah dan Idham yang terdiam memandangnya.

          "Eh, aku berangan ke..?" tanya Reza. Idham hanya menggelengkan kepala mendengar pertanyaan itu. Terlalu kebudak-budakan!

          "Kau ingatkan siapa?" Sarah ingin tahu. Dia masih memandang tepat wajah kalut Reza.
          "Kakak aku tulah. Dia...err, dia nak kahwin dengan aku..."

          Jawapan yang tidak disangka-sangka akan keluar dari mulut Reza membuatkan Idham dan Sarah terlopong. Mereka berpandangan antara satu sama lain. Reza yang menyedari situasi itu, cepat-cepat mengalihkan mukanya ke arah lain.

          "Reza, kakak kau tu waras ke tak..?" Idham bersuara setelah puas melopong.

          "Kenapa kau tanya macam tu..?" Reza mengerutkan dahinya. Agak pelik dengan pertanyaan Idham yang dirasakan seperti menyindir Suhana.

          "Takdelah, dalam ramai-ramai lelaki kat dunia ni...kau juga yang dia nak. Malang betul dia sebab berkenan dengan kawan aku yang seorang ni," jawab Idham sambil ketawa. Sarah yang kemudiannya faham dengan maksud pertanyaan Idham sebentar tadi, turut ketawa.

          "Kurang asam kau, Id!! Aku ni Lelaki Melayu Terakhir tau..!" balas Reza yang kini merangkul leher Idham ke bawah lengannya.

          "Seriuslah sikit korang ni..." tegur Sarah yang sudah berhenti ketawa.

          "Aku serius je. Id ni yang main-mainkan aku," Reza pantas bersuara.

          "Dah tu, kau tak setuju ke nak kahwin dengan kakak kau tu..?" tanya Idham setelah ketawanya mulai reda.

          "Nama pun kakak. Takkanlah aku nak kahwin dengan dia. Aku tak pernah ada perasaanlah kat kakak aku tu. Walaupun aku tahu dia tu kakak angkat je, tapi perasaan aku pada dia hanyalah sekadar perasaan seorang adik terhadap kakak. Korang faham tak..?"

          Sarah mengangguk perlahan. Idham terdiam memikirkan kata-kata Reza. Alah, perasaan tu kan boleh dipupuk kemudian. Kalau hatinya baik dan ikhlas, apa salahnya terima je.

          "Dia cantik tak, Reza..?" soalan Idham sekali lagi menimbulkan kerutan di dahi Reza. Reza tidak menjawab. Namun, dia menganggukkan kepalanya.

          "Kalau dia cantik, kenapa kau tak boleh nak terima dia?"

          Reza memejam matanya sebentar. Bagaimana harus dia berterus-terang kepada Idham dan Sarah tentang Suhana. Kakaknya itu memang cantik. Bukan saja cantik, malah baik hati orangnya. Walaupun dia agak lincah dan suka keluar bersosial, tapi Suhana masih tahu menjaga batasannya sebagai gadis yang beragama Islam.

          Cuma, didikan mama dan papa yang membuatkan Reza tidak berkenan dengan Suhana. Kakaknya itu agak sombong sedikit. Dia hanya berkawan dengan anak-anak orang berada. Namun begitu, Suhana tidak pernah pula menghina orang yang lebih rendah taraf hidup mereka. Cuma, Suhana memang tidak akan bergaul-mesra dengan orang-orang kebanyakan.

          Sudah berapa kali Reza ditegur oleh Suhana kerana berkawan dengan orang-orang kebanyakan ketika bersekolah dulu. Reza tahu yang mama dan papanya mahu menjaga reputasi mereka sebagai VIP. Namun, dia tidak betah berkawan dengan anak-anak orang berada. Jiwanya tidak begitu.

          "Aku tak nak dia pisahkan aku dengan korang semua..." tiba-tiba Reza bersuara.

          "Apa maksud kau...?" tanya Sarah. Lembut sekali nada suaranya.

          "Dia memang cantik. Baik hati. Tapi, dia agak sombonglah. Dia selalu tegur aku kalau aku berkawan dengan orang biasa. Dia selalu pesan kat aku jaga nama baik mama dan papa," jawab Reza perlahan. Dia memandang Sarah yang kelihatan begitu prihatin terhadap dirinya.

          "Mungkin kau salah faham dengan maksud dia kot..?" Sarah cuba menduga.

          "Aku faham sangat dengan sikap dia, Sarah. Dia kan kakak aku. Kalau aku terima dia, aku tak boleh nak jumpa korang lagi. Korang suka ke..?"

          "Tu tak penting, Reza. Yang pentingnya sekarang ni, kau terlalu muda kawan. Eh, silap... kita ni masih terlalu muda untuk kahwin. Hala tuju hidup pun belum tentu lagi. Inikan pula nak mendirikan rumahtangga. Bukan kerja senang tu," Idham mencelah. Reza bersetuju dengan kata-kata Idham. Memang Idham selalu berfikiran lebih matang dari mereka berempat. Sebab itulah Reza selalu menganggap lelaki itu sebagai abangnya.

          "Kau bincanglah baik-baik dengan mama dan papa kau. Kalau tak suka, tolak secara baik. Jangan sakitkan hati orang. Ingat lagi pesan Bonda..?" tenang Sarah berkata-kata.

          "Eh, korang dah jumpa Bonda ke..? Aku tak sempat jumpa dia lagi. Bonda sihat tak..?" tanya Reza bertubi-tubi.

          "Reza, Bonda dah takde. Dia dah meninggal 3 tahun yang lepas," Idham memberitahu sambil tangannya menepuk lembut bahu Reza.

          "Innalillahhiwainnailaihiraji'un..." Reza meraup mukanya perlahan. Bayangan wajah Bonda Suraya yang sedang tersenyum mesra melintas di ruang matanya.

          "Assalammualaikum..."

          Serentak dengan salam itu, Sarah, Reza dan Idham pantas menoleh. Memandang wajah ayu pemilik suara yang memberi salam kepada mereka sebentar tadi. Sarah lantas berdiri. Tanpa sepatah suara, dia terus memeluk tubuh gadis yang berdiri dihadapannya itu.    

Post a Comment