They're My Best Buddies

Wednesday, 16 November 2011

Kerana Takdir - Bab 6


Bangunan Rumah Bakti masih tegak berdiri seperti dahulu. Pokok-pokok yang dulunya masih kecil kini sudah tegap berdiri. Pintu gerbang juga masih kelihatan sama seperti dahulu. Cuma warnanya saja sudah mulai pudar dimamah usia. Pengawal yang menjaga pintu besar Rumah Bakti, sudah bertukar rupa. Mungkin yang ke-5 atau ke-6..siapa tahu.

          Sarah melangkah masuk selepas mendaftar di pos pengawal. Hatinya berbunga riang. Tempoh sepuluh tahun terasa amat pantas berlalu. Terasa seperti baru semalam dia berpisah dengan teman-temannya. Dia terlalu merindui mereka semua. Dia semakin melajukan langkah kakinya. Tidak sabar-sabar mahu bertemu dengan Bonda Suraya, Pengetua Rumah Bakti yang telah dianggap seperti ibu kandungnya sendiri.

          Sarah melintasi beberapa buah bilik yang tidak kelihatan asing pada pandangan matanya. Salah satu dari bilik itu merupakan bilik bacaan umum, di mana dahulunya dia dan teman-teman sering menghabiskan masa mereka bersama-sama. Sarah tersenyum mengingatkan kenangan itu. 'Mungkin lukisan aku masih ada pada dindingnya..' hatinya berbisik ceria.

          Perlahan-lahan dia memulas tombol pintu bilik bacaan umum itu. Kelihatan beberapa orang kanak-kanak lelaki dan perempuan sedang khusyuk membaca. Sarah memperlahankan langkahnya. Tidak mahu mengganggu kosentrasi mereka semua.

          Dia menuju ke bahagian rak-rak buku yang menempatkan bahan bacaan ringan untuk kanak-kanak. Di situlah dia sering bersembunyi jika perasaannya dilanda sesuatu. Sedih, marah dan kecewa atau merajuk dengan Bonda Suraya terutamanya, rak-rak di situlah menjadi tempat mengadunya. Dan selalunya, cuma Reza yang akan berjaya mencarinya di situ. Ah, dia semakin rindu pada semua teman-teman baiknya. Bila agaknya mereka nak sampai ni..??

          Mata Sarah tertumpu pada bahagian hujung rak. Dinding di situ kelihatan tertulis sesuatu. Sarah segera menghampirinya. Dia terasa sebak ketika melihat lukisannya masih ada di dinding itu. Lukisan yang menjadi bahan ketawa teman-temannya. Setitis airmata jatuh ke pipinya.

          "Sarah..?"

          Sarah segera menoleh. Suara lelaki itu datang dari arah belakangnya. Dia berfikir sejenak. Siapakah lelaki ini. Idham? Reza? Atau Hakimi..? Tapi, macam...

          "Id..!!"

          "Syhhh..!! Ini bilik bacaanlah. Suka hati kau je nak menjerit.." bantah Idham separuh berbisik. Namun dia tersenyum melihat keterujaan Sarah. Dia juga teruja bila melihat Sarah sudah tiba di situ. Perjanjian yang telah mereka ikat 10 tahun yang lalu, kini hampir dapat ditunaikan.

          "Ya Allah, Id..tak sangka kau dah besar," Sarah bersuara perlahan. Cuba sedaya upaya mengawal nada suaranya.

          "Kau ni mengarutlah. Takkanlah aku nak kekal jadi budak 11 tahun kot..? Kau pun dah besar juga, kan? Makin cantik pula aku tengok kau sekarang ni.."

          Sarah segera menarik tangan Idham keluar dari bilik itu. Tanpa memberi sebarang komen terhadap kata-kata Idham sebentar tadi, Sarah membawa lelaki itu terus menuju ke bilik Pengetua Rumah Bakti, Bonda Suraya.

          "Kau kenapa kelam-kabut sangat ni..?" tanya Idham terpinga-pinga.

          "Susahlah cakap dalam bilik bacaan tadi. Rimas aku nak cakap bisik-bisik. Sekarang ni kita pergi jumpa bonda dulu.  Nanti kita sambung borak.."

          Mereka terhenti di muka pintu. Nama yang tertera di pintu kini bukan nama Bonda Suraya. Sarah dan Idham saling berpandangan. Tangan Idham teragak-agak mahu mengetuk pintu bilik itu atau sebaliknya.

          "Masuk ke..?" tanya Idham.

          "Aku ikut kau la.."

          Idham lantas mengetuk pintu bilik pengetua Rumah Bakti itu. Kedengaran satu suara mengarahkan mereka masuk. Perlahan-lahan Idham memulas tombol pintu. Sarah hanya mengekori dari belakang. Seorang lelaki tersenyum menyambut ketibaan mereka berdua.

          "Assalammualaikum.." sapa Idham mesra.

          "Waalaikumussalam. Sila duduk. Err..ada apa-apa yang boleh saya tolong..?" lelaki itu bertanya balas. Tertera namanya sebagai Pengetua Rumah Bakti di atas meja. Plat nama yang tertulis namanya kelihatan masih berkilat. Idham sempat membaca nama Pengetua baru itu sebelum menjawab pertanyaannya. Muhammad Sufian.

          "Kami cari Bonda Suraya," Sarah terlebih dahulu menjawab sebelum sempat Idham menyatakan tujuan mereka.

          "Oh, awak berdua ni siapa..? Kenapa nak cari dia..?"

          "Kami dulu penghuni di Rumah Bakti ni. Anak-anak Bonda Suraya.." giliran Idham pula menjawab.

          "Dah lama ke encik..err.."

          "Panggil saya Idham. Ini kawan saya, Sarah.." pantas Idham memperkenalkan diri mereka berdua.

          "Dah lama ke encik Idham dan cik Sarah tinggalkan Rumah Bakti ni..?" tanya Sufian sambil memandang silih berganti wajah Idham dan Sarah.

          "Genap 10 tahun hari ni," ceria Idham menjawab.

          "Sejak tu, cik berdua tak pernah ke sini lagi..?"

          Idham dan Sarah, masing-masing menggelengkan kepala. Ada raut tanda tanya pada wajah mereka berdua. Sarah lantas bertanya sekali lagi di mana Bonda Suraya berada.

          "Bonda dah meninggal 3 tahun lepas," jawab Sufian ringkas. Nada suaranya amat perlahan. Dia tunduk sambil melepaskan sebuah keluhan.

          "Dia meninggal sebab serangan jantung. Saya ambil alih tugas bonda sebulan kemudian. Saya pun anak bonda juga. Mungkin kita tak pernah kenal sebelum ni. Tapi, alhamdulillah..hari ni saya sempat berkenalan dengan 2 orang lagi anak-anak bonda.." sambung Sufian tanpa menghiraukan Sarah yang menggelengkan kepalanya.

          "Kami tak pernah tahu bonda ada penyakit jantung.." Idham bersuara.

          "Rasanya tiada siapa yang tahu. Bonda memang rahsiakan perkara ni. Saya sendiri tak tahu mengenai hal ni," balas Sufian.

          "Rasa macam baru semalam kita bersalaman dengan bonda sebelum tinggalkan tempat ni.." Sarah merintih. Dia cuba menahan sebak di dada.

          Selepas berbual ringkas dengan Sufian tentang pentadbiran baru Rumah Bakti serta aktiviti-aktiviti yang bakal dijalankan, Sarah dan Idham meninggalkan bilik itu. Mereka menuju pula ke Laman Cahaya. Idham segera duduk di salah satu kerusi kayu yang terdapat di situ. Sarah masih berdiri, memandang jauh bangunan yang menempatkan bilik tidur penghuni-penghuni di Rumah Bakti. Dia terkenangkan bilik tidurnya.

          "Sarah, kau masih teringatkan hal bonda..?" tegur Idham.

         "Hmm..aku teringat bilik tidur aku tu," jawab Sarah sambil menunjuk ke arah bangunan tersebut. Idham menoleh dan tersenyum.

          "Mana roommate kau..?" tanya Idham yang memaksudkan Azlyn.

          "Entah. Aku dah email dia 2 hari lepas. Ingatkan dia supaya datang ke sini hari ni. Tak tahulah kalau dia tak baca email aku tu.."

          "Aku tak dapat contact Reza dan Kimi. Tapi, diorang tak lupa kan perjanjian kita..?"

          "Mestilah tak lupa. Aku pun menghitung hari tau. Tak sabar nak tunggu hari ni datang," balas Sarah penuh yakin. Dia sebenarnya memang ternanti-nantikan kedatangan teman-temannya, terutama sekali Reza. Dia amat rapat dengan lelaki itu.

          Idham mengangguk. Bersetuju. Dia juga seperti Sarah, tidak sabar untuk bertemu semula dengan teman-teman baiknya. Sepuluh tahun tidak bertemu. Tentu ada banyak perubahan. Tentu ada banyak cerita yang mereka ingin kongsikan.

          "Sarah, macam mana kehidupan kau dengan keluarga angkat kau..?" Idham memulakan perbualan. Dia memandang Sarah yang sudah duduk di sebelahnya.

          "Sangat bahagia. Ibu sangat sayangkan aku. Kalau kau nak tahu, dia kehilangan suami dan anaknya beberapa tahun sebelum dia ambil aku jadi anak angkat. Dia ibu tunggal. Dia ambil upah menjahit untuk menyara kehidupan kami. Sekarang ibu dah ada butik sendiri. Alhamdulillah, aku rasa hidup aku sangat sempurna dengan adanya ibu aku tu.." Sarah bercerita tentang kehidupan bersama ibu angkatnya.

          "Ibu kau pandai menjahit? Mesti kau pandai juga, kan..? Dulu kan kau pernah bercita-cita nak jadi pereka fesyen terkenal," kata Idham sambil tersenyum kecil. Dialah yang selalu mengusik Sarah tentang cita-cita gadis itu. Dia jugalah yang selalu mengejek-ejek Sarah jika gadis itu memperlihatkan hasil lukisannya.

          "Kau masih ingat lagi hal tu..? Hehehe..aku tak jadi pereka fesyen pun. Tapi, aku buat Interior Design. Ibu galakkan aku ambil jurusan tu. Alhamdulillah, sekarang tengah tunggu masa untuk kemasukan Ijazah pula," Sarah menjawab mesra. Dia juga teringatkan perihal Idham yang pernah memperkecilkan bakat dan minatnya suatu ketika dahulu.

          "Maaflah, dulu aku selalu ejek-ejek kau. Sekarang kau dah berjaya pun..."

          "Aku tak ambil hati pun Id. Cerita lama, jadi kenangan manis untuk aku. Dan kau tak boleh cakap aku dah berjaya sebab aku belum betul-betul berjaya lagi," ikhlas Sarah berkata. Sesungguhnya dia memang tidak ambil hati dengan sikap teman-temannya dahulu.

          "Mestilah kau tak ambil hati. Sebab ada Reza yang selalu teman dan pujuk kau, kan..?" Idham mengusik. Dia tertawa melihat Sarah yang tersipu-sipu malu.

          "Ish, Reza memang macam tu. Dia baik dengan semua orang, kan..? Bukan dengan aku je. Haa...kau pula apa cerita? Macam mana dengan keluarga angkat kau?"

          "Superb! They are the best family I've ever had," jawab Idham spontan. Dia menaikkan ibu jari tangan kanannya. Menunjukkan kepada Sarah betapa bertuahnya dia memiliki keluarga angkat seperti keluarga angkatnya.

          "Ceritalah sikit pasal diorang," pinta Sarah.

          "Papa dan mama merupakan manusia yang sangat-sangat baik, Sarah. Mereka tak pernah abaikan aku walaupun aku ni anak angkat je. Mereka sayang aku macam aku ni anak kandung mereka. Aku rapat dengan papa. Selalu ikut dia pergi main golf. Dengan mama pun aku rapat. Tapi, semua rahsia aku kongsi dengan papa. Pelik, kan? Orang kata anak-anak selalunya kalau ada apa-apa hal, mesti cerita dengan mak berbanding ayah. Tapi aku dah terbalik. Aku dengan papa macam bestfriend. Kami berkongsi minat yang sama...memancing," Idham tersengih-sengih bercerita tentang keluarga angkatnya. Dia tahu Sarah turut merasakan kebahagiaan yang dirasainya.

          "Kau ni masih gila memancing macam dulu juga. Bertuahlah dapat ayah angkat yang ada minat yang sama," balas Sarah mesra.

          "Eh, aku kan kaki pancing. Aku dan joran mana boleh dipisahkan. Hahaha.." Idham senang hati ketika berkata demikian.

          "Id, aku nak tanya sikit, boleh?"

          "Apa dia..?"

          "Kau dah ada girlfriend..?" tanya Sarah lembut. Suaranya sengaja diperlahankan. Membuatkan Idham terpaksa mengerutkan dahinya, takut jika tersalah dengar.

          "Girlfriend..?? Aku tak fikir pasal girlfriend pun selama hampir 21 tahun aku hidup ni, Sarah. Belum tiba masanya. Kau macam mana pula..?"

          "Aku pun belum fikir lagi tentang hal tu," pantas Sarah menjawab pertanyaan itu.

          "Ke..kau tunggu Reza..?" Idham menduga. Dari kecil lagi Sarah dan Reza mempunya hubungan yang sangat akrab. Mereka tidak pernah bargaduh atau bermasam muka. Reza jugalah yang selalu menyebelahi Sarah jika gadis itu diejek oleh teman-teman yang lain. Idham mengagak mungkin mereka menyimpan perasaan terhadap diri masing-masing.

          "Ish, mengarutlah kau ni, Id. Takkanlah Reza nak kat aku!" jawab Sarah.

          "Dia tak nak kau...tapi, kau nak dia, kan?" usik Idham. Dia tertawa melihat wajah Sarah berubah merah.

          "Dah, jangan nak mengarut lagi. Reza tu kawan baik aku. Kawan baik kita.." Sarah cuba menutup perbualan itu. Dia menggelengkan kepala. Idham memang suka mengusiknya sejak dari dulu lagi. Perangai yang tak boleh diubah lagi.

          "Aku rindu adik kecil kitalah. Mana diorang tak sampai-sampai lagi ni..?" Idham melihat jam tangannya. Sudah hampir 2 jam dia di situ. Hanya Sarah yang berjaya ditemuinya. Reza, Hakimi dan Azlyn masih belum muncul lagi.

          "Aku pun rindukan dia juga. Macam manalah dia dengan keluarga angkat dia tu? Aku dengar keluarga angkat dia ada 3 orang anak lelaki.."

          "Wah, bertuah betul Lyn ada 3 bodyguard! Aku betul-betul rindu kat dia. Dah lama tak dengar dia menyanyi lagu London Bridge tu," Idham tersenyum, mengenang semula kerenah Azlyn yang amat manja itu.

          Sarah turut tersenyum. Mengenangkan bekas teman sebilik yang amat dirinduinya itu. Walaupun Sarah mempunyai 2 orang lagi teman sebilik suatu ketika dahulu, namun dia paling rapat dengan Azlyn. Azlyn yang usianya muda setahun dari mereka semua, memang seorang anak yang sangat manja. Dia selalu merungut jika tiada perhatian diberikan kepadanya.

          "Sarah, cuba tengok. Siapa yang datang tu..?" Idham menunjuk ke suatu arah. Sarah cuba meneka. Hatinya berbisik riang!

Post a Comment