They're My Best Buddies

Tuesday, 15 November 2011

Kerana Takdir - Bab 4


Kawasan rumah papan itu kelihatan sangat sunyi. Namun, persekitarannya amat tenang sekali. Bersih. Pasti tuan rumah ini amat cerewet dan teliti orangnya, fikir Azlyn. Tiada sehelai pun daun-daun kering yang berselerakkan di atas tanah. Tingkap rumah juga sengaja dibuka luas, mungkin untuk pengudaraan yang lebih baik.

          Azlyn hanya memerhati ayah angkatnya mengeluarkan beg dari dalam kereta. Sepanjang perjalanan tadi, dia tidak banyak bercakap. Hanya sesekali menjawab jika ditanya oleh Sanusi. Selebihnya, hanya Sanusi yang banyak berbicara. Bercerita tentang isterinya yang merupakan ibu angkat Azlyn. Bercerita tentang tiga orang anak lelakinya yang berlainan tingkah-laku. Azlyn berdebar-debar kini. Mampukah dia hidup dengan keluarga Sanusi..?

Bayangan Idham, Sarah, Reza dan Hakimi menari-nari di ruang matanya. Dia rindukan teman-teman baiknya itu. Dia mahu mereka ada bersamanya ketika ini. Menemaninya seperti biasa yang mereka lakukan jika dia dilanda keresahan.

Azlyn tersentak ketika tangan Sanusi menyentuh lembut bahunya. Dia menoleh dan mendongak untuk melihat dengan lebih jelas wajah Sanusi. Ayah angkatnya itu sedang tersenyum mesra.

"Jom masuk. Mulai hari ini, Lyn akan tinggal di rumah ini. Ayah harap Lyn tak kisah tinggal di rumah kampung macam ni," kata Sanusi ramah. Dia menarik tangan kecil Azlyn dan membawa kanak-kanak itu masuk ke dalam rumahnya.

Keriuhan beberapa suara kedengaran dari arah dapur. Sanusi menjerit beberapa nama supaya datang kepada mereka berdua. Azlyn menanti dengan resah. Bagaimanakah agaknya penerimaan mereka terhadap dirinya?

"Jadi, inilah dia budak yang awak nak jaga sangat tu..?" kedinginan suara Normah, ibu angkat Azlyn benar-benar mengejutkan. Dia mengerutkan dahi, tidak faham dengan apa yang cuba dimaksudkan oleh Normah.

"Awak ni..tak baik cakap macam tu. Kan kita sama-sama dah setuju nak ambil dia sebagai anak angkat. Janganlah cakap macam tu. Kecil hati budak ni nanti," balas Sanusi.

"Ayah, ini adik baru abang ke..?" tanya Hafiz girang. Azlyn lantas menoleh ke arahnya. Pada firasat Azlyn, mungkin Hafiz merupakan anak sulung Sanusi.

"Ya, nama dia Azlyn. Hafiz boleh panggil dia Lyn saja. Lyn, ini anak sulung ayah, Hafiz.." Sanusi memperkenalkan diri mereka masing-masing. Hafiz menghulurkan tangannya untuk bersalam. Lama kemudian, barulah Azlyn menyambutnya. Dalam keadaan yang masih teragak-agak, Azlyn menarik semula tangannya dari genggaman Hafiz.

Hafiz kemudian berlalu pergi. Dia bagaikan tercari-cari sesuatu. Tidak lama kemudian, Hafiz kembali dengan membawa seorang budak lelaki, yang berusia dalam lingkungan 7 ke 8 tahun.

"Lyn, ini adik bongsu abang. Nama dia Hanif. Dia baru je darjah 1. Abang ada lagi seorang adik lelaki. Tapi dah hilang entah ke mana. Nanti dia balik abang kenalkan dengan Lyn, ya.." Hafiz bersuara sambil memegang erat bahu Hanif. Hanif tersengih-sengih melihat Azlyn yang bagaikan tidak beremosi.

"Kak Lyn.." panggil Hanif lembut. Namun, tiada jawapan dari Azlyn. Dia hanya memandang Hanif bagaikan melihat sebuah anak patung yang tidak bernyawa.

"Ayah, kenapa Lyn ni diam je..?" tanya Hafiz. Dia mulai hairan dengan sikap Azlyn. Sanusi kemudian menghampiri mereka bertiga.

"Lyn masih belum dapat menyesuaikan diri lagi. Nanti bila dia dah dapat suaikan diri, mesti dia okay dengan kita. Hafiz kenalah selalu bercakap dengan dia, ya? Anggap dia macam adik Hafiz sendiri. Hanif, mulai hari ni..kak Lyn ni kakak Hanif, tau. Hanif kena dengar cakap kakak. Tak boleh lawan-lawan.." Sanusi bersuara dengan intonasi yang amat lembut. Dia tersenyum senang hati melihat penerimaan kedua-dua orang anak lelakinya terhadap Azlyn. Hanya Hashim yang masih menjadi tanda tanya. Di manalah agaknya budak tu pergi waktu-waktu macam ni?

"Hashim mana..?" tanya Sanusi. Suaranya berubah menjadi tegas. Dia memandang Normah yang masih berdiri di situ.

"Pernah ke awak ambil peduli tentang hal Hashim selama ni..? Kemana dia pergi, apa yang dia buat..pernah awak ambil tahu..?" bentak Normah. Ada nada dendam pada suara garaunya.

"Anak awak tu yang degil. Tak pernah dengar cakap saya. Nanti dia balik biar saya bercakap dengan dia. Budak tu kalau sehari tak ditegur, makin menjadi-jadi perangainya. Lyn, mari ayah tunjukkan bilik tidur Lyn.." Sanusi lantas membawa Azlyn ke salah satu bilik tidur di rumah itu sebaik saja dia membalas kata-kata Normah sebentar tadi.

Azlyn bungkam. Jika beginilah keadaannya, pasti hidupnya tidak akan tenteram. Ibu angkatnya seperti tidak mahu menerima kehadirannya di rumah itu. Berbeza pula dengan Hafiz dan Hanif. Kedua-dua orang abang dan adik angkatnya itu begitu mesra sekali. Namun, Azlyn mengheret juga kakinya, mengekori langkah Sanusi.

Bilik tidur yang dihiasi oleh set cadar dan langsir berwarna merah jambu, menarik perhatiannya. Ada sebuah almari baju yang terletak di hujung katil. Sebuah meja tulis yang diletakkan di sudut bilik, dihiasi dengan lampu kecil yang amat comel. Azlyn menggenggam erat tangan Sanusi, bagaikan melahirkan tanda terima kasih terhadap ayah angkatnya itu.

“Ayah, terima kasih…” ucap Azlyn perlahan.

Sanusi tersenyum mendengar ucapan terima kasih yang tulus dari mulut anak angkatnya itu. Hasratnya untuk memiliki seorang anak perempuan kini menjadi nyata. Berkali-kali dia mengucapkan syukur di atas kurniaan Tuhan ini.

            “Kak Lyn boleh cakap pun. Hanif ingatkan kak Lyn tak pandai cakap. Kalau tak pandai cakap, Hanif boleh ajarkan!” suara nyaring Hanif yang tiba-tiba berbunyi dari arah muka pintu itu menarik perhatian Azlyn.

            Azlyn kemudian melambai Hanif supaya menghampirinya. Hanif segera menghampiri Azlyn dan Sanusi, dengan raut wajah yang paling ceria. Hafiz yang turut berada di sisi Hanif sebentar tadi, turut mengekori langkah adik bongsunya itu.

            “Hanif tak marah kakak kongsi ayah dengan Hanif..?” tanya Azlyn lembut sambil memegang bahu Hanif.

            “Tak marah pun. Ayah kata kak Lyn kan kakak Hanif. Kenapa Hanif nak marah pula..?” jujur Hanif menjawab pertanyaan Azlyn.

            Azlyn tersenyum sebagai membalas kata-kata Hanif. Dia menarik nafas lega kerana ketakutannya sebentar tadi beransur hilang. Dia begitu selesa dengan sikap mesra Hanif terhadapnya. Azlyn kemudian mengalihkan pandangannya kepada Hafiz. Dia turut tersenyum memandang Hafiz sambil menganggukkan kepalanya.

Post a Comment