They're My Best Buddies

Tuesday, 15 November 2011

Kerana Takdir - Bab 3


Reza teragak-agak untuk keluar dari kereta. Dia kini tiba di sebuah rumah yang tersergam indah. Lebih besar dari Rumah Bakti yang pernah didiaminya sebelum ini. Dia memandang ke sebelah kirinya, seorang wanita awal 40-an tersenyum mesra sambil mengangguk. Seorang lelaki yang sedang dduk di bahagian penumpang di hadapan, menoleh ke belakang, turut mengangguk kepadanya.

"Ini rumah papa dan mama..?" tanya Reza kepada kedua-dua orang ibu dan ayah angkatnya. Datin Noraini hanya tersenyum sebagai menjawab pertanyaan itu.

"Besarnya!" jerit Reza girang. Dia segera keluar dari kereta dan meninjau kawasan sekeliling. Ada sebuah kolam renang di situ. Reza juga sempat meninjau kawasan lapang yang telah dijadikan tempat untuk bermain badminton. Dia kembali mendapatkan Datin Noraini dan Dato' Hasrul.

"Suka tak..?" tanya Datin Noraini mesra.

"Mestilah suka. Reza selalu tengok rumah mewah macam ni dalam drama. Tak sangka akhirnya Reza sendiri akan tinggal di rumah macam ni.."

"Pak Badar, tolong saya bawa masuk barang-barang Reza ni.." suara Dato' Hasrul membuatkan Reza menoleh pantas ke arahnya. Reza segera berlari mendapatkan Pak Badar yang sedang menarik keluar 2 buah beg baju dari dalam kereta.

"Eh, biar Reza angkat sendiri. Beg ni Reza punya.." Reza cuba mengambil beg berisi baju-bajunya dari tangan Pak Badar. Namun, lelaki tua itu menolak. Dia sebaliknya menyuruh Reza meneruskan perbualan bersama-sama ibu dan ayah angkatnya.

"Reza, biar Pak Badar yang buat. Kita masuk dalam dulu.." Datin Noraini memanggil Reza dari jauh. Dato' Hasrul sudah pun menghilangkan diri ke dalam rumah mewah itu. Reza teragak-agak mahu meninggalkan Pak Badar yang bersusah payah membawa beg-beg kepunyaannya itu. Dia melepaskan satu keluhan sebelum berlari semula mendapatkan ibu angkatnya.

"Reza buat apa tadi?" tanya Datin Noraini ramah.

"Reza nak tolong Pak Badar je. Lagipun, semua tu barang-barang Reza. Rasa tak sedap hati biarkan Pak Badar yang angkat.." jawab Reza, tulus.

"Biarkan saja Pak Badar yang buat. Reza anak papa dan mama. Mana boleh buat kerja-kerja macam tu," sampuk Dato' Hasrul yang sedang bersantai di atas sofa di ruang tamu rumah mereka.

"Tapi..."

"Takde tapi-tapi lagi. Mama bayar gaji dia, biar dia yang buat kerja tu.." walaupun nada suara Datin Noraini kelihatan lembut dan mesra, namun hati Reza terasa sesuatu. Dia telah diajar oleh Bonda Suraya supaya menghormati orang yang lebih tua. Apakah perbuatannya membiarkan Pak Badar mengangkat semua barangnya akan dianggap tidak beradab..? Reza terfikirkan Idham. Mesti temannya itu akan memarahinya kerana bersikap begitu.

"Mama! Papa!"

Suara yang kedengaran asing itu menyebabkan Reza kembali ke dunia nyata. Siapa pula budak perempuan ni..?

"Reza, kenalkan..ini anak mama, Suhana.." Datin Noraini memperkenalkan budak perempuan itu sebagai anaknya.

"Hai, Reza! Awak kena panggil kita ni kakak, tau. Sebab kita dah Form 1. Mama cakap awak baru darjah 5.." Suhana bersuara lantang. Reza memandang dari atas kepala hinggalah ke hujung kaki Suhana. Dia dapat seorang kakak..? Tuah apakah ini..?

"Awak jangan lupa panggil kita ni kakak tau!" sekali lagi Suhana mengingatkan tentang status dirinya kepada Reza.

Suhana kemudian meminta keizinan Datin Noraini dan Dato' Hasrul untuk keluar bertemu dengan teman sekelasnya. Dia melangkah riang setelah diberi keizinan itu. Sempat Dato' Hasrul berpesan supaya dia tidak pulang terlalu lewat.

"Reza tak tahu pun mama dan papa ada anak.." Reza tiba-tiba bersuara.

"Sayang, Suhana tu pun anak angkat juga. Tapi, mama dah jaga dia dari dia kecil lagi. Dia tu anak abang kandung mama. Abang mama dan isteri dia dah meninggal dunia. Kebetulan mama dan papa takde anak. Jadi, kami ambil dan jaga dia macam anak kami sendiri," Datin Noraini menjelaskan. Dia memandang suaminya yang tersenyum mendengar penjelasan itu.

"Jadi, untuk apa mama dan papa ambil Reza sebagai anak angkat..?" Entah kenapa soalan itu yang terkeluar dari mulut Reza. Dia tunduk. Tidak berani mahu menatap wajah Datin Noraini dan Dato' Hasrul.

"Papa mahukan anak lelaki. Suhana memang anak yang baik. Dia sangat bijak. Papa bertuah dapat jadikan dia sebagai anak papa. Tapi, papa perlukan anak lelaki untuk menjadi waris papa. Reza pasti akan faham satu hari nanti," Dato' Hasrul menjawab pertanyaan Reza sambil menarik Reza duduk disebelahnya.

Reza masih tunduk. Satu perasaan yang kurang pasti menyerang dirinya. Cemburukah dia dengan Suhana..? Suhana sudah lama tinggal di rumah itu. Pasti perhatian dan kasih sayang papa dan mama akan tertumpu lebih kepadanya. Tapi, papa mahukan anak lelaki. Kenapa..? Reza mengeluh lagi. Dia seharusnya bersyukur kerana dipilih untuk menjadi anak angkat kepada sepasang suami isteri yang hidup mewah begitu. Bukankah itu yang diimpikannya selama ini..?

"Reza fikir apa tu, sayang..?" lembut Datin Noraini menegur. Reza memandang wajah Dato' Hasrul yang masih duduk di sebelahnya. Datin Noraini kini beralih tempat untuk duduk di sebelah lagi.

"Err..takde apa-apa, mama. Reza cuma teringatkan kawan-kawan Reza di Rumah Bakti tu," balas Reza kurang yakin. Dia memang terfikirkan temannya. Namun, hanya Idham saja yang muncul di fikiran. Sarah, Hakimi dan Azlyn tidak tercerna langsung di fikirannya ketika itu.

"Reza rindukan kawan-kawan Reza, ya..? Tapi, Reza tak boleh jumpa mereka lagi.." balas Datin Noraini lembut. Dia memegang tangan kecil Reza lalu menciuminya.

"Tapi, kenapa.." tanya Reza. Dia amat terkejut dengan kata-kata ibu angkatnya itu. Dia segera menarik tangannya dari pegangan Datin Noraini.

"Sebab papa tak mahu Reza bercampur dengan orang-orang macam tu lagi. Reza dah jadi anak papa. Reza kena tahu macam mana nak bezakan status seseorang itu dalam berkawan. Papa tak boleh biarkan Reza bercampur dengan orang yang tak tentu hala," jawab Dato' Hasrul. Datin Noraini mengangguk. Bersetuju dengan jawapan suaminya itu.

"Status..? Apa tu..?" tanya Reza kebingungan. Dia tidak faham dengan apa yang cuba disampaikan oleh ayah angkatnya sebentar tadi.

"Satu hari nanti Reza akan faham. Sekarang ni, papa nak Reza berehat dulu. Papa dan mama dah sediakan bilik untuk Reza kat tingkat atas. Mari, papa tunjukkan.." Dato' Hasrul segera memaut bahu Reza. Dia bagaikan telah memberi kata putus dan Reza tidak boleh menidakkannya lagi.

Post a Comment