They're My Best Buddies

Tuesday, 15 November 2011

Kerana Takdir - Bab 2


"Haa..masuklah. Tak payah nak segan-segan, buat macam rumah sendiri. Maaflah, rumah ni sempit sikit.." teguran Hamidah itu menyebabkan Sarah tersedar dari lamunannya. Dia mengekori langkah ibu angkatnya itu.

           "Makcik ni tukang jahit ke..?" tanya Sarah ketika mereka melewati ruang tamu rumah yang di penuhi dengan peralatan menjahit. Pelbagai jenis baju yang telah siap digantung, mungkin menanti untuk diambil oleh pelanggan.

           "Janganlah panggil makcik. Panggil ibu je. Sarah kan dah jadi anak ibu..?" lembut Hamidah membuat permintaan terhadap anak angkatnya itu.

            "Oh, maafkan Sarah. Sarah tak sengaja.."

           "Takpe..ibu faham. Sarah kena biasakan diri. Mulai hari ni, Sarah akan jadi anak ibu. Jadi, Sarah tak perlu nak segan-segan dengan ibu. Kalau ada apa-apa Sarah boleh beritahu pada ibu. Apa yang ibu boleh tolong, insyaAllah ibu akan tolong.."

           Sarah mengangguk sambil tersenyum. Dia membelek-belek baju yang tergantung di tepi sudut rumah flat itu. Dia merasa kagum dengan hasil kerja tangan ibu angkatnya. Di Rumah Bakti dulu, pernah dia menyuarakan hasrat untuk menjadi pereka fesyen yang terkenal suatu hari nanti. Dan selalu saja hasratnya itu menjadi bahan ketawa teman-teman rapatnya. Hanya Reza saja yang memahami. Ah, bagaimanakah agaknya nasib temannya itu sekarang..? Idham, Hakimi dan Azlyn..adakah mereka baik-baik saja..?

            "Inilah sumber pencarian ibu, sayang. Ibu tak sekolah tinggi. Ini saja yang ibu tahu buat. Sarah tak kisah kan ada ibu tukang jahit macam ni..?"

           "Apalah ibu ni. Sarah tak kisah langsung. Sarah suka menjahit. Nanti Sarah boleh belajar dengan ibu, kan..?" Sarah bertanya sambil memandang wajah manis Hamidah. Wanita yang berkulit sawo matang itu segera tersenyum. Dengan sekali anggukan saja sudah membuatkan Sarah turut tersenyum.

          Sarah beralih arah ke kabinet kayu yang terletak di tengah-tengah ruang tamu rumah itu. Ada beberapa keping gambar yang menarik minat Sarah. Dia lantas menuju ke kabinet itu lalu mengamati satu-persatu wajah-wajah di dalam gambar itu. Ada gambar seorang lelaki yang sedang mendukung seorang kanak-kanak perempuan, mungkin berusia dua atau tiga tahun. Dan ada juga gambar seorang wanita yang Sarah amat yakin itu adalah Hamidah, juga sedang mendukung kanak-kanak perempuan yang sama.

          "Ibu, siapa mereka ni..?" tanya Sarah ingin tahu. Dia memerhati langkah Hamidah yang sedang mendekatinya.

           "Ini arwah suami dan satu-satunya anak ibu.."

          Jawapan ringkas Hamidah itu membuatkan Sarah terdiam. Dia tertanya-tanya adakah dia telah mengecilkan hati Hamidah dengan pertanyaannya itu. Sarah meletak semula gambar itu ke tempat asalnya. Dia kembali untuk duduk di sisi Hamidah, yang masih tersenyum mesra kepadanya.

           "Sarah minta maaf.."

           "Tak perlu minta maaf sayang. Ibu tak salahkan Sarah. Mereka dah tinggalkan ibu hampir 5 tahun. Ibu dah biasa. Cuma, baru-baru ni ibu terasa sunyi sangat. Sebab itulah ibu ambil Sarah jadi anak angkat ibu. Ibu terasa macam Tuhan dah kembalikan semula anak ibu yang dah pergi tu.."

           Sarah mengusap lembut pipi Hamidah. Ada beberapa titis airmata jatuh ke pipi ibu angkatnya itu. Dia tersenyum memandang wajah Hamidah.

          "Kami terlibat dalam kemalangan. Masa tu ibu tak sedar apa yang berlaku. Kali terakhir ibu pandang wajah arwah suami ibu, dia sedang bercakap-cakap di telefon. Arwah anak ibu, Mimi, sedang lena di pangkuan ibu. Lepas tu, ibu terus tak sedar. Ibu sedar-sedar je, ibu dah ada kat hospital. Ibu tak dapat terima mereka dah pergi tinggalkan ibu.." Hamidah mula bercerita. Sarah tekun mendengar. Dia tidak menyampuk walau sedikit pun. Dia sengaja memberi ruang kepada ibu angkatnya itu untuk meluahkan perasaannya.

           "Beberapa tahun ibu menderita dengan kehilangan orang yang ibu sayang. Akhirnya ibu tersedar, ibu tak boleh nak teruskan hidup ibu macam ni. Ibu kena kuat. Ibu kena teruskan hidup. Ibu tak nak arwah suami dan anak ibu terus bersedih melihat kesedihan ibu. Ibu nak mereka tenang di sana, sayang. Jadi, sebab itulah ibu dah boleh tersenyum sekarang. Ibu dah boleh menerima hakikat yang mereka sudah pergi. Ibu pun tak sunyi lagi. Sebab ibu dah ada Sarah.." Hamidah menyambung ceritanya sambil memeluk erat anak angkatnya itu.

           "Alhamdulillah..Tuhan dah makbulkan doa ibu. Ibu mampu teruskan hidup dengan rezeki yang Tuhan bagi ni. Dan Tuhan juga dah temukan ibu dengan Sarah. Sarah jadi anak ibu, ya sayang..?"

           Sarah hanya tersenyum. Dia menangis mengenangkan nasib yang menimpa ibu angkatnya itu. Selama ini dia menyangkakan hanya dia dan teman-temannya saja yang bernasib malang. Rupa-rupanya masih ada ramai lagi manusia di luar ini yang ditimpa dengan pelbagai dugaan.

           "Ibu, Sarah janji akan jadi anak yang baik. Sarah bersyukur sangat sebab Sarah dapat ibu angkat macam ibu. Sarah akan temankan ibu selagi Sarah masih hidup. Sarah janji Sarah takkan tinggalkan ibu. Sarah takkan biarkan ibu kesunyian lagi," balas Sarah sambil menyeka airmatanya. Tangan kecilnya itu menggenggam erat tangan Hamidah.

           Hamidah mengusap perlahan rambut Sarah yg beralun itu. Dia mengucapkan syukur ke hadart Illahi kerana tidak silap memilih Sarah untuk dijadikan sebagai anak angkatnya.

            Termasuk Sarah, sudah 5 kali dia membuat permohonan untuk mengambil anak angkat. Namun, 4 kali sebelumnya gagal kerana keadaan kewangan dirinya tidak dapat meyakini pihak pengurusan rumah anak-anak yatim. Setelah 5 kali mencuba, barulah kini Tuhan memakbulkan doanya.

            Hamidah merangkul mesra tubuh kecil Sarah. Dia mencium dahi kanak-kanak itu. Kebahagiaan pasti akan dirasainya semula!

Post a Comment