They're My Best Buddies

Tuesday, 29 November 2011

Kerana Takdir - Bab 10


Hafiz sudah pun terlelap ketika Azlyn masuk ke dalam rumah. Perlahan-lahan Azlyn mengejutkan abang angkatnya itu. Namun, Hafiz tidak memberikan sebarang reaksi. Mungkin terlalu letih agaknya, fikir Azlyn. Azlyn segera masuk ke bilik Hafiz untuk mencari selimut, buat menutupi tubuh Hafiz yg sedikit mengerekot itu.
            Azlyn terpandang bungkusan mee segera di atas meja. Sayu rasa hatinya mengenangkan Hafiz mengisi perut dengan makanan tersebut. Dia mengucup perlahan dahi Hafiz. Dalam hatinya, ribuan kata-kata maaf dipohon, kerana telah meninggalkan Hafiz keseorangan begitu.
            “Bila Lyn sampai..?” teguran Hafiz secara tiba-tiba itu mengejutkan Azlyn. Dia baru saja ingin beredar masuk ke dalam bilknya ketika Hafiz terjaga dari lena.
            “Baru je sampai, bang. Maaflah, Lyn balik lambat,” balas Azlyn lembut.
            “Eh, kenapa nak minta maaf pula? Lyn pergi jumpa kawan-kawan Lyn, kan? Bukan buat salah apa pun,” ujar Hafiz sambil berusaha membangunkan dirinya.
            “Lyn janji lepas ni Lyn takkan tinggalkan abang seorang diri lagi…”
            Hafiz tersenyum mendengar kata-kata adik angkatnya itu. Memang Azlyn tidak pernah meninggalkan dirinya. Dia menjadi peneman yang paling setia, di saat susah dan senangnya. Ketika ayah dan adik bongsu mereka, Hanif, pergi menemui Illahi, Azlyn banyak menemaninya. Gadis itu sedikit pun tidak pernah merungut tentang kesusahan hidup yang mereka alami. Malah, gadis itu turut berusaha untuk mencari rezeki bagi menampung keperluan hidup mereka berdua.
            Hafiz teringatkan emak dan adiknya, Hashim. Apalah khabar mereka sekarang ini. Sejak mereka berdua keluar dari rumah, belum pernah lagi mereka mendengar khabar berita tentang keluarga di kampung. Pasti emak tidak ambil peduli akan hal mereka lagi. Hafiz bersyukur kerana masih ada Azlyn di sisinya.
            “Selama ini pun Lyn memang tak pernah tinggalkan abang. Tak perlu janji begitu. Abang tahu, adik abang ni akan sentiasa ada di sisi abang, kan?” Hafiz bersuara, menggamit agar Azlyn datang dekat dengannya.
            “Lyn risau betul tadi. Lyn nak balik awal. Tapi, kawan-kawan pujuk Lyn makan malam sekali dengan mereka. Sebab tu Lyn lambat sikit. Lainkali, kalau nak jumpa mereka lagi, Lyn bawa abang sekalilah. Baru lega sikit hati Lyn ni bila nampak abang ada depan mata Lyn,” beritahu Azlyn bersungguh-sungguh. Memang sudah menjadi tabiatnya yang akan menerangkan sejelas yang mungkin segala perbuatannya.
            Hafiz sekadar tersenyum mendengar kata-kata Azlyn. Dia mengangguk, sekadar ingin melegakan hati gadis itu. Tidak mungkin dia mahu membebankan adik angkatnya itu dengan keadaannya di hadapan teman-teman yang lain.
            “Ceritalah kat abang tentang kawan-kawan Lyn,” Hafiz cuba mencari topik perbualan yang baru.
            “Mereka semua dah berjaya, bang. Masing-masing berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Lyn bangga sangat dengan mereka,” Azlyn bercerita sambil tersenyum, mengenangkan pertemuan indah bersama teman-teman baiknya.
            Hafiz terdiam. Perasaan bersalah mula menguasai dirinya. Kalaulah dia berkemampuan, pasti dia juga akan menghantar Azlyn untuk belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Pasti Azlyn juga boleh bersaing dengan teman-teman baiknya yang lain, Tapi, apakan daya. Kini hidupnya sendiri bergantung kepada gadis itu. Bagaimanalah pula dia mahu menghantar Azlyn belajar..?
            Terasa dirinya menjadi beban kepada Azlyn. Azlyn terpaksa mengorbankan cita-citanya yang ingin menjadi pendidik, semata-mata mahu menjaga dirinya.
            “Kimi dah tamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan. Reza dan Idham, masing-masing ada diploma dalam Pengurursan Perniagaan. Sarah pula sedang menunggu untuk menyambung ijazah dalam bidang senireka dalaman. Masing-masing sedang mencapai cita-cita masing-masing,” Azlyn menyambung ceritanya, tanpa sedar raut wajah Hafz yang mulai suram.
            “Lyn rasa kan, Kimi, Id dengan Reza mesti akan sambung belajar lagi. Mereka tu bukannya boleh kalah dengan Sarah. Dulu, masa kat Rumah Bakti, mereka selalu berlawan nak dapat tempat pertama dalam kelas. Nasib baiklah Lyn bukan sebaya mereka. Kalau tidak, pasti Lyn je yang akan kalah,” Azlyn tertawa kecil. Mengenangkan telatah teman-teman ketika masih di bangku sekolah dulu, sesuatu yang amat menghiburkan hatinya.
            Azlyn tersedar tangan Hafiz mengusap lembut rambutnya. Dia segera menoleh, memandang wajah Hafiz yang kelihatan muram. Tanda tanya mula berlegar-legar di fikiran Azlyn. Adakah dia telah mengguris perasaan Hafiz dengan ceritanya sebentar tadi..? Azlyn bingung sebentar.
            “Maafkan abang. Kalaulah abang tak menyusahkan Lyn macam ni, mesti Lyn boleh bersaing dengan mereka sekarang. Mesti Lyn sedang bertungkus-lumus belajar sekarang ni,” sayu Hafiz menuturkan kata-kata itu. Matanya mulai digenangi air.
            “Abang…”
            “Abang dah banyak menyusahkan Lyn. Kenapalah Allah tak ambil saja nyawa abang ni..? Tak perlu lagi abang nak bebankan adik abang macam ni,” Hafiz mulai emosi.
            “Astaghfirullah…mengucap bang. Kenapa abang cakap macam ni..? Kalau abang pergi, siapa nak temankan Lyn lagi..? Tergamak ke abang biarkan Lyn hidup seorang diri dalam dunia ni..?”
            Hafiz tidak menjawab. Dia cuba bertahan agar airmatanya tidak gugur lagi. Sudah acapkali dia mengeluh begitu. Dia benar-benar lemah. Lemah dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang abang.
            “Abang, tiada siapa minta ditimpa dengan dugaan macam ni. Tapi, bersyukurlah kerana kita masih bersama walaupun dah pelbagai kesusahan yang kita lalui. Lyn tak pernah kesal jadi adik abang. Lyn bersyukur sebab masih ada abang untuk menemani hidup Lyn,” Azlyn bersuara. Memujuk Hafiz yang kian muram. Memberi kata-kata yang boleh menaikkan kembali semangat abang angkatnya itu.
            “Abang bertuah ada adik yang baik macam Lyn..”
            “Lyn pun bertuah ada abang yang penyayang dan bertanggungjawab macam abang. Tapi…” Azlyn sengaja menggantung ayatnya.
            “Tapi apa…?” pantas Hafiz bertanya. Bimbang jika Azlyn bakal mengatakan yang dia sudah mulai bosan dengan kehidupan yang mereka lalui bersama.
            “Lyn tak nak dengar abang cakap macam ni lagi. Lyn nak abang janji, walau apa pun yang terjadi, kita sama sekali tidak akan berpisah, melainkan Allah saja yang menentukannya…boleh?”
            Hafiz mengangguk lemah. Dia sekali lagi telah menyebabkan masa depan adiknya tidak bercahaya. Anggukan itu akan menyebabkan Azlyn lebih memberikan komitmen kepada dirinya. Anggukan itu akan menyebabkan Azlyn tidak mahu memikirkan tentang masa depannya. Anggukan itu juga akan menyebabkan Azlyn terseksa batinnya. Hafiz mengeluh lagi. Mengapakah dia yang dipilih untuk menjadi beban kepada insan lain?
                                                            *          *          *
            “Lyn tu okay ke sebenarnya, Sarah?” tanya Hakimi dalam perjalanan menghantar Sarah pulang ke rumah. Mereka baru saja melepasi kawasan perumahan Azlyn. Hakimi berlalu pergi sebaik saja bayangan Azlyn hilang dari pandangan.
            “Kau dah tengok dia sendiri tadi, kan? Kenapa nak tanya lagi..?”
            “Aku rasa tak sedap hati. Aku tengok dia macam tak happy je jumpa kita. Dia ada masalah ke..?” tanya Hakimi lagi.
            “Kenapa kau tak tanya dia sendiri…?” Sarah bertanya balas.
            “Aku dah tanya. Tapi, dia asyik nak mengelak je. Suka tukar topik. Dia tu tak pernah berubah. Perahsia sangat!” komen Hakimi mengenai sikap Azlyn. Walaupun mereka berdua agak rapat ketika di Rumah Bakti dahulu, namun bukan semua perihal Azlyn diketahuinya. Gadis itu lebih senang berahsia dari bercerita kepada teman-teman tentang rasa hatinya.
            “Sebenarnya dia tak bahagia dengan keluarga angkat dia, Kimi. Ayah angkat dia dah meninggal. Dia sekarang tinggal dengan abang angkatnya. Dia tak sambung belajar macam kita. Dia dah mula bekerja sebaik saja tamat SPM. Dia kata, sekarang ni dah tiba masanya untuk dia membalas jasa baik abang angkat dia tu,” Sarah memulakan cerita. Dia memandang wajah Hakimi, menunggu reaksi lelaki itu.
            “Mak angkat dia..?” tanya Hakimi. Tenang saja nada suaranya.
            “Mak angkat dia tak pernah sukakan dia. Dia tak ambil tahu langsung hal Azlyn sejak dia keluar dari rumah,” ujar Sarah, menjawab pertanyaan Hakimi.
            “Jadi, rumah yang kita pergi tadi bukan rumah keluarga angkat Lyn…?”
            Sarah menggeleng. Hanya Hakimi saja yang belum mengetahui tentang keperitan hidup Azlyn. Sarah rasa, lelaki itu wajar untuk mengetahuinya. Dia tidak mahu berahsia tentang Azlyn. Hal seperti itu bukanlah sesuatu yang patut dirahsiakan.
            “Id dan Reza tahu tentang hal ni..?” Hakimi bertanya lagi.
            “Kau je yang belum tahu. Azlyn minta kami rahsiakan. Tapi, untuk pengetahuan kau, itulah serba sedikit kisah hidup dia. Adik kita tu dah banyak menderita, Kimi. Tapi, kau bukan tak kenal dia. Cerita sikit-sikit. Yang banyaknya, rahsia. Susah sangat nak tahu cerita dia. Nantilah, bila aku ada masa jumpa dia lagi, aku akan tanya. Aku nak bantu dia. Aku tak nak tengok sedih-sedih macam ni,” panjang lebar Sarah bersuara. Dia bertekad mahu membantu Azlyn selagi terdaya.
            “Aku nak datang lagi rumah dia, esok,” ujar Hakimi, bagaikan memberi kata putus. Dia kelihatan begitu tekad.
            “Alah, aku pun nak ikut juga!”
            “Tapi, aku tak nak dia tahu kita datang mencari dia. Kau rahsiakan dulu hal ni. Aku nak tahu sangat kisah hidup dia. Tak sangka di sebalik keceriaan dia tadi, ada duka yang tersembunyi,” Hakimi mengeluh. Dia juga seperti Sarah, mahu membantu Azlyn untuk keluar dari keperitan hidup.
            Okay. Esok kita jumpa lagi. Aku tunggu kau di kawasan rumah Azlyn. Mengikut ceritanya, awal pagi dia akan keluar bekerja. Jadi, mungkin masa tu sesuai untuk kita tahu serba sedikit hal dia,” ujar Sarah sambil membetulkan beg tangannya. Dia sudah bersedia untuk keluar dari kereta Hakimi. Lelaki itu hanya mengangguk, bersetuju dengan cadangan Sarah.

Post a Comment