They're My Best Buddies

Tuesday, 29 November 2011

Dia Dewa Hatiku - Bab 8


Pintu bilik Syaqila diketuk ketika dia sedang bersiap-siap untuk keluar menemui Emran. Sambil merungut perlahan, Syaqila melangkah malas menuju ke pintu biliknya. Wajah papa yang tersenyum mesra muncul di muka pintu.

            “Anak papa nak ke mana cantik-cantik ni?”

            “Err, Qila nak keluar sekejap, pa. Ada apa papa datang jumpa Qila ni..? tanya Syaqila sambil memaut mesra tangan papanya, Syafiq. Dia menarik Syafiq masuk ke dalam bilik, dan bersama-sama duduk di atas katil.
            “Dah lama papa tak bercakap dengan Qila. Qila ada masa tak nak borak-borak dengan papa ni?”

            “Hmm…boleh saja. Anytime!” balas Syaqila. Namun, matanya sempat melirik ke arah jam dinding. Emran akan tiba bila-bila masa saja nanti.

            “Qila dengan Emran dah lama berkawan. Takde rancangan nak kahwin ke?” soalan Syafiq membuatkan Syaqila tersipu-sipu malu. Tidak pernah dia bercakap soal kahwin dengan sesiapa pun sebelum ni. Terasa dirinya telah dewasa ketika Syafiq mengajukan soalan seperti itu kepadanya.

            “Sabarlah, pa. Dalam perancanganlah ni. Nanti, kalau dah confirm, Qila beritahu pada papa ye,” Syaqila menjawab dengan penuh yakin. Kata-kata Emran tentang isu kahwin beberapa hari yang lepas menjadi pegangannya.

            “Baguslah kalau ada perancangan. Papa tak kisah siapa pun pilihan Qila. Asalkan orang tu beragama, boleh jaga Qila, bertanggungjawab, itu sudah memadai. Bila Qila nak bawa Emran datang jumpa papa lagi? Dah lama rasanya papa tak jumpa dia…”

            “Nanti bila dia senang, Qila ajak dia datang sini ye. Kita dinner sama-sama. Malam ni tak bolehlah, pa. Kami dah reserve tempat kat restoran tu. Next time, okay?” ujar Syaqila sambil merangkul bahu papanya.

            “Yelah. Papa pun bukanlah maksudkan malam ni. Qila jangan balik lewat sangat tau. Ingat pesan papa. Jaga diri baik-baik,” pesan Syafiq sebelum melangkah keluar dari bilik anak gadisnya itu. Sebaik saja Syaqila mengangguk, telefon bimbitnya terus berbunyi. Emran telah tiba di hadapan rumah.

            “Qila keluar dulu ye, pa?” Syaqila menyalami tangan Syafiq ketika melintasi lelaki itu.

            “Jangan balik lewat,” sekali lagi Syafiq berpesan ketika matanya mengekori langkah Syaqila yang menuruni anak tangga.

            “Baik, boss!” balas Syaqila riang.

            Perjalanan yang mengambil masa hanya setengah jam itu, bagaikan tidak terasa. Syaqila banyak bercakap sebaik saja melangkah masuk ke dalam kereta. Emran hanya mendengar dan hanya sesekali menyampuk.

            Pelayan yang ditugaskan untuk menyambut tetamu membawa Syaqila dan Emran ke meja yang telah dikhaskan untuk mereka berdua. Syaqila tersenyum berseri-seri melihat sebatang lilin yang menghiasi meja tersebut. Candle light dinner!

            “Kenapa awak susah-susah reserve tempat makan ni? Kan kita boleh makan kat tempat biasa je,” Syaqila sengaja bertanya, mengumpan tujuan Emran membawanya ke situ.

            “Sesekali nak juga makan kat tempat-tempat macam ni, kan?” jawab Emran, yang lebih merujuk kepada pendapat Syaqila sebenarnya. Gadis itu hanya mengangguk. Bibirnya masih menguntum senyuman yang mesra.
            Sementara menunggu pesanan tiba, Syaqila meneruskan perbualannya dengan Emran. Dia sibuk bertanyakan hal-hal kerja teman lelakinya itu. Sudah lama Syaqila tidak menemani Emran di pejabat jika lelaki itu terpaksa bekerja pada hujung minggu.

            “Eh, sebelum saya lupa, saya ada sesuatu nak beritahu pada awak ni,” Syaqila bersuara dengan matanya merenung tempat ke arah Emran.

            “Apa dia, Sayang?”

            “Tadi papa…” ayat Syaqila terhenti di situ. Bunyi telefon bimbit Emran bagaikan mengganggunya.

            Excuse me…” pinta Emran lalu meninggalkan Syaqila untuk menjawab panggilan telefon tersebut.

            Syaqila mengerutkan dahinya. Belum pernah Emran berkelakuan begitu. Selama ini, setiap panggilan telefon akan dijawab di hadapan Syaqila, tidak kiralah siapa pun pemanggilnya.

            ‘Macam tak nak bagi aku dengar je. Siapa yang call dia tu?’ Syaqila resah apabila hatinya mula berteka-teki. Dia sabar menanti Emran kembali ke meja mereka.

            Sorry…” kata Emran sebaik saja dia duduk semula di kerusinya.

            “Siapa tu?” tanya Syaqila penuh curiga. Terasa dirinya agak menyibuk bila mengajukan soalan itu.

            My friend la, Sayang…”

            “Perlu ke cakap jauh-jauh macam tu…?” tanya Syaqila lagi.

            Emran tersenyum memandang Syaqila. Hilang sudah senyuman yang menghiasi bibirnya sebentar tadi. Akal Emran ligat memikirkan jawapan terbaik untuk diberikan kepada Syaqila.

            “Diorang ajak saya main futsal petang tadi. Tapi, saya tolak dengan alasan tak sihat. Sebab tu saya cakap jauh-jauh. Nak cari tempat sunyi sikit. Takdelah diorang syak saya keluar,” Emran beralasan.

            “Kenapa mesti tipu? Tak boleh beritahu diorang yang awak keluar dengan saya?” Syaqila tidak berpuas hati dengan alasan Emran itu terus mengasak dengan pelbagai pertanyaan.

            “Nanti diorang ketawakan saya!”

            “Sebab?”

            “Sebab pergi dating. Dulu, saya selalu ketawakan budak pejabat yang suka sangat keluar dating tu. Saya tak naklah diorang ketawakan saya balik,” Emran cuba bersuara dengan yakin. Dalam hatinya sudah terbayangkan wajah Julia, gadis yang dikenalinya ketika mereka bersama-sama menghadiri Kursus Kecemerlangan Diri, beberapa bulan yang lepas. Gadis itulah yang sebenarnya telah menelefonnya sebentar tadi. Dia terpaksa pula berpura-pura dengan Julia dengan mengatakan yang dia sedang berkumpul dengan ahli keluarganya dan berjanji akan menghubunginya semula lewat malam nanti.

            “Tak logik,” balas Syaqila ringkas, tapi amat memberi kesan terhadap Emran. Dia cuba berlagak biasa. Sambil tersenyum mesra, Emran segera memegang tangan Syaqila dan memujuk gadis itu kembali meneruskan perbualan mereka yang terhenti sebentar tadi.

            “Papa tanya pasal kita.”

            Okay….then?” tanya Emran, berpura-pura tidak faham maksud yang hendak disampaikan oleh Syaqila. Mana mungkin dia berbicara tentang masa hadapan dengan Syaqila sedangkan dalam hatinya sudah tersemai rasa cinta untuk Julia.

            “Awak ni janganlah pura-pura tak faham pula. Papa nak tahu pasal kitalah. Pasal perancangan kita. Takkan nak berkawan je sampai bila-bila,” balas Syaqila. Agak keras nada suaranya.

            “Sayang, kan saya dah janji dengan awak. Sabarlah. Beritahu pada papa, takkan lari gunung dikejar,” pujuk Emran lagi. Dia sengaja memancing Syaqila agar gadis itu terus hanyut dibuai perasaan.

            “Papa nak jumpa awak, minggu depan…boleh?”

            “Hmm..nanti saya check jadual saya dulu. Kalau free, bolehlah saya jumpa papa awak. Dah lama saya tak jumpa dia, kan?” Emran bersuara sambil mencari beberapa alasan yang bakal diguna-pakai untuk menolak pelawaan itu di kemudian hari.

            “Tahu pun. Papa pun cakap macam tu tadi. Kalau awak jadi datang minggu depan, bolehlah saya masak sesuatu yang istimewa,” Syaqila kelihatan girang sekali. Emran hanya tersenyum sinis melihat telatah gadis itu. Baginya, Syaqila tidak lebih dari seorang kawan. Perasaannya terhadap gadis itu telah lama pudar. Dia hanya menunggu masa untuk pergi sejauh mungkin dari hidup Syaqila.


            “Sayang pandai masak ke?”

            Hellooo…tengok kakilah! Saya yang jadi Chef kat rumah tu tau,” balas Syaqila penuh yakin. Dia ketawa melihat reaksi tidak percaya pada raut wajah Emran. Perasaan bahagia mula meresapi hatinya kini.

                                                            *          *          *

            “Lama betul you keluar dengan family you tadi…” ucap Julia dalam nada suara yang begitu manja. Emran yang mendengar terasa bagaikan di awang-awangan.

            “Sesekali dapat berkumpul, macam tulah,” balas Emran. Dia tahu, Julia tidak akan sekelumit pun menaruh syak wasangka terhadapnya. Julia tidak pernah tahu tentang hal dirinya dan Syaqila.

            I mengganggu ke tadi…?”

            “Eh, tak langsung! Cuma I je yang rasa tak selesa nak berbual dengan you tadi. Maklumlah, mama, papa, atuk, nenek, adik-adik I…semua ada depan I. Seganlah…” Emran memulakan sesi pembohongannya. Dia tersenyum sendiri membayangkan wajah Julia yang mungkin sedang tersenyum juga di saat ini.

            “Wah, sampai atuk dan nenek pun ada sekali! Hmm, patutlah you tak boleh nak cakap dengan I. Okay lah, I faham…but so sorry to disturb you,” kata Julia.

            It’s okay, no need to apologise,” Emran membalas, ringkas.

            “Rancangan kita minggu depan, jadi kan?” tanya Julia tiba-tiba. Emran mengerutkan dahinya. Rancangan munggu depan..?? Ada ke dia merancang sesuatu dengan gadis itu? Emran pantas memerah otaknya, ligat memikirkan kembali perbualan-perbualan yang antara mereka berdua.

            Recall me…” pinta Emran. Dia mengalah. Tidak dapat mengingat kembali apa jua perancangan yang mungkin telah dibuat dengan Julia.

            You promised to meet my parents next week, remember?”

            Did I..?” tanya Emran kurang pasti. Benarkah dia telah berjanji untuk bertemu dengan keluarga Julia..? Jika benar, dia perlu mencari alasan untuk mengelaknya. Walaupun dia benar-benar telah jatuh cinta dengan gadis itu, namun untuk meletakkan seratus peratus komitmen terhadap Julia, adalah perkara yang amat mustahil untuk dilakukannya sekarang. Hubungan mereka masih di peringkat awal. Banyak lagi perkara tentang Julia yang dia tidak tahu.

            You sendiri yang janji dengan I. I tak pernah ajak pun you jumpa keluarga I. Tapi, kalau you tak nak, takpela…” balas Julia separuh merajuk. Dia tahu, Emran amat lemah dengan rajuknya. Pasti lelaki itu akan menurut. Julia yang ada agenda tersendiri untuk memiliki Emran, harus memastikan lelaki itu mesti berada dalam genggamannya.

            “Err…I bukan tak nak. I belum sedia lagi,” balas Emran teragak-agak. Dia mulai susah hati. Jika Julia merajuk, pasti gadis itu tidak mahu menghubunginya lagi. Sebelum ini pernah terjadi, di mana Emran dengan tidak sengaja telah terlupa akan janjinya, menyebabkan Julia merajuk hingga berminggu-minggu tidak mahu bercakap dan bertemu dengannya. Ketika itu, Emran bagaikan kucing yang kehilangan anak. Semuanya bagaikan tidak kena.

            I bukan nak suruh you kahwin dengan I pun. I sedarlah diri I ni tak layak untuk you. But, you yourself promised me to meet my parents. I dah beritahu pada papa dan mama yang you nak datang jumpa mereka. Hmm, it’s okay…I’ll tell them you’re cancelling the plan,” kata-kata Julia yang berbaur ugutan itu sedikit-sebanyak mencemaskan Emran. Dia tidak mahu kehilangan Julia. Dalam hatinya kini hanya wujud gadis itu sahaja.

            “Janganlah cakap macam tu. I yang tak layak dengan you sebenarnya. I dapat kawan dengan you macam ni pun dah rasa sangat bertuah. Okay, I setuju pergi jumpa papa dan mama you, puas hati..?”

            “Betul ni..?” suara Julia kembali ceria.

            Promise!”

            Second time you promised, dear. Don’t ever forget it…” pesanan Julia itu membuatkan Emran tertawa riang. Senang hatinya mendengar suara Julia yang kembali ceria.

            Mereka kembali berbual seperti sediakala. Kadang-kadang terdengar suara Julia di hujung talian yang tertawa riang dengan jenaka Emran. Emran terasa amat bahagia. Tidak sedikit pun perasaan bersalah terhadap Syaqila wujud dalam hati. Baginya, cinta dalam hati hanyalah untuk gadis yang bernama Julia.

Post a Comment