They're My Best Buddies

Tuesday, 29 November 2011

Dia Dewa Hatiku - Bab 7


Zahir masih berpusing-pusing mencari tempat seperti yang tertulis di atas kertas di tangannya itu. Sambil meninjau, Zahir mengambil keputusan untuk berhenti rehat. Cuaca panas membuatkan dia terasa letih dan dahaga.

            Dia melintas ke seberang jalan untuk berteduh di salah sebuah gerai makan yang terdapat di situ. Tekaknya terasa ingin menikmati ais kacang pula. Tanpa membuang masa, Zahir terus memanggil seorang kakak yang berniaga di situ untuk mengambil pesanannya.

            Sementara menunggu ais kacangnya siap, Zahir sempat memikirkan hal mamanya. Kalaulah bukan kerana kedegilannya itu, tentu dia masih boleh bermanja-manja dengan mama di saat ini.

            “Zahir jangan buat keputusan melulu, nak. Papa tu memang keras hati sikit. Tapi, Zahir janganlah melawan cakap dia. Apa yang papa buat tu adalah yang terbaik untuk Zahir,” pujuk mama ketika dia meluru menuju ke bilik tidur selepas bergaduh besar dengan papanya.

            “Dari kecil hinggalah dewasa, papa yang buat keputusan untuk Zahir. Tak boleh ke sekali dalam seumur hidup, Zahir buat keputusan sendiri?”

            “Zahir, papa tu cuma mahu lihat Zahir berjaya. Papa takde niat lain. Mama pun macam tu juga. Mama tak nak tengok Zahir terkandas dalam hidup. Zahirlah satu-satunya anak mama,” mama masih berusaha memujuk.

            “Zahir dah buat keputusan, ma. Tiada siapa boleh halang Zahir lagi lepas ni. Zahir dah dewasa. Biarlah Zahir pergi dari sini untuk berdikari,” Zahir yang sempat memasukkan beberapa helai pakaiannya ke dalam beg, lantas menarik tangan mama untuk disalami.

            “Zahir tak sayangkan mama ke..? Tergamak Zahir nak tinggalkan mama macam ni..?”

            “Maafkan Zahir, ma. Zahir dah buat keputusan…”

            Hati Zahir masih terasa pedih dengan perpisahan itu. Pada hari dia meninggalkan rumah, papanya langsung tidak menegah. Malah, papa juga bagaikan mahu dia keluar dari rumah itu. Hanya mama yang teresak-esak, masih berusaha untuk memujuk, walaupun Zahir sudah melewati perkarangan rumah mereka.

            ‘Zahir akan cari mama lepas Zahir berjaya satu hari nanti. Zahir janji, ma!’ kata hati Zahir. Dia amat merindui mamanya. Dia tidak pernah lagi menghubungi mamanya sebaik saja dia meninggalkan rumah mereka. Hanya pembantu pejabat papa saja satu-satunya harapan Zahir untuk bertanya khabar kedua orang tuanya.

            “Baliklah Encik Zahir. Puan terlalu rindukan Encik Zahir. Dia pun selalu je tak sihat,” kata-kata Salina, pembantu pejabat papa masih terngiang-ngiang di telinganya. Zahir mengeluh berat. Dia masih belum bersedia untuk menunjukkan diri setelah hampir 3 tahun dia pergi membawa diri.

            Sebaik saja menghabiskan ais kacangnya, Zahir terburu-buru menyambung tugasnya. Mencari alamat di sekitar Ampang, bukanlah perkara sukar bagi dirinya. Selok belok kawasan itu sudah dihafalnya. Kalau kumpulan kongsi gelap mahu melantiknya sebagai abang kawasan pun, dia mampu untuk memikul tanggungjawab itu!

            Zahir menarik nafas lega sebaik saja melangkah masuk ke dalam pejabat berhawa dingin itu. Dia tercari-cari penyambut tetamu yang tiada di tempat duduknya. Zahir menunggu dengan sabar. Lagipun, ini adalah tugasan terakhirnya untuk hari itu. Selepas ini dia akan pulang semula ke pejabatnya. Dia sempat mengingatkan dirinya untuk membeli apam balik kesukaan Syaqila sebelum pulang ke pejabat.

            “Cari siapa?”

            Belum sempat Zahir melabuhkan punggungnya untuk duduk di ruang menunggu, satu suara halus seorang gadis menegurnya. Zahir tergesa-gesa mengeluarkan sepucuk surat yang sudah ditandai ‘PENTING’ di atas sampulnya.

            “Saya tak nak jumpa sesiapa. Tapi, tolong pass surat ni kepada cik Julia, boleh?”

            “Baiklah. Nanti saya pass surat ni kat dia,” jawab gadis itu sambil tersenyum penuh mesra.

            “Jangan nanti-nati tau. Penting ni. Nampak tak chopnya…?” Zahir cuba bergurau-senda dengan gadis tersebut.

            “Sekarang juga saya pass surat ni pada cik Julia.”

            “Baiklah. Terima kasih. Jasamu dikenang selalu. Nama apa ye tadi…?” Zahir sempat bertanya nama, sekadar nak beramah mesra!

            “Saya takde pula beritahu nama saya tadi,” gadis itu terus berlalu sebaik saja menjawab pertanyaan Zahir.

            “Eleh, dia ingat dia cun sangat ke sampai aku kebulur nak tahu nama dia. Boleh jalan daa!” Zahir merungut. Geram dengan reaksi dingin gadis itu. Sementara menunggu lif, Zahir sempat berangan tentang masa depannya. Bangunan yang didatanginya itu kelihatan begitu gah. Jika dia punya wang yang banyak, dia pasti akan melabur untuk memiliki bangunan seperti itu. Mempunyai pekerja-pekerja yang cekap dan berdedikasi. Mempunyai pembantu yang cantik dan seksi…huh!

            Anganan Zahir terhenti ketika pintu lif terbuka. Kelihatan seorang lelaki dan perempuan, keluar dari lif tersebut. Mereka kelihatan begitu mesra. Sambil tersenyum mesra ke arah mereka berdua, Zahir tergesa-gesa masuk ke dalam lif. ‘Cantik juga awek tadi. Malangnya boyfriend dia tu tak la handsome mana pun!’ detik hati Zahir. Beranggapan bahawa dua orang manusia yang dia nampak sebentar tadi adalah pasangan kekasih, Zahir terus saja mengomel dalam hatinya tentang ketidakserasian mereka.

            “Apam balik tiga ringgit, bang!” pinta Zahir ketika tiba di gerai menjual apam balik yang selalu disinggahinya.

            “Banyak beli hari ni, dik? Ada makan-makan ke kat pejabat?”

            “Eh, takdelah bang. Orang yang suka makan apam balik ni, hari ni mood dia sangat bagus. Jadi, kena beli lebih sikit,” jawab Zahir sambil tersenyum. Mengenangkan wajah ceria Syaqila menerima apam balik ini nanti, membuatkan hatinya berbunga riang.

            Zahir segera membayar harga apam balik tersebut dan bergegas kembali menunggang motornya untuk balik ke pejabat.

Post a Comment