They're My Best Buddies

Thursday, 17 November 2011

Dia Dewa Hatiku - Bab 6


            “Senang hati nampak…?”

            Langkah Syaqila terhenti tatkala terdengar satu suara menyapanya. Dia menoleh ke arah punca suara itu. Kelihatan Syakir sedang bersantai-santai di hadapan televisyen sambil memandang ke arahnya. Syaqila tersenyum lebar. Dia bergerak menghampiri Syakir.

            “Kata orang tua-tua, jangan cepat percayakan kata-kata orang lain tanpa sebarang bukti,” Syakila tiba-tiba berkias dengan adiknya, menyebabkan Syakir mengerutkan dahi.

            “Kakak ni kenapa?”

            “Kakak rasa macam nak terbang!” jawab Syaqila sambil mendepakan tangannya. Syakir menggelengkan kepala melihat perbuatan Syaqila. Dia pantas meletakkan tapak tangannya pada dahi kakaknya itu.

            “Tak demam pun. Kakak ni okay ke tak?”

            Syaqila hanya tertawa riang. Tanpa menjawab pertanyaan Syakir, dia kembali menyambung langkahnya menuju ke tingkat atas. Perlahan-lahan dia melangkah ketika melintasi bilik papanya. Tidak mahu papa menangkapnya kerana pulang lewat. Alahai, baru pukul 11.00 malam. Tak la lewat mana pun!

            Sambil menyanyi-nyanyi lagu kegemarannya, Syaqila lantas mengeluarkan telefon bimbit, berniat untuk menghantar pesanan ringkas kepada Emran. Mahu berterima kasih kerana lelaki itu membuatkan hatinya kembali tenang.

Awak, thanks (“,)
Sy betul2 happy mlm ni
Luv U dear!

            Sementara menunggu Emran membalasnya, Syaqila sempat mencapai tuala, berkira-kira mahu mandi atau sebaliknya. ‘Papa cakap tak elok mandi lewat malam kan?’ hatinya bertanya. Dan Syaqila sendiri mengangguk sebagai menjawab pertanyaan hatinya itu.

            10 minit berlalu. Telefon bimbitnya masih sepi. Tiada sebarang bunyi. Syaqila mula tidak senang duduk. ‘Kenapa Emran belum balas SMS aku?’ hatinya kembali bertanya. Syaqila merenung skrin telefon bimbit itu bagai mahu menelannya. Dia cuba mendail nombor telefon teman lelakinya itu. Sekali. Dua kali. Tiga kali.

            Hampa. Tiada jawapan. Syaqila cuba menenangkan diri. Dia tidak mahu berfikir yang bukan-bukan. Emran sudah menjelaskan segalanya. Dia tidak harus berasa curiga terhadap lelaki itu.

            “Tapi, kenapa dia tak nak jawab call aku..??” bentak Syaqila. Dia mencapai anak patung kesayangannya, Kiki. Terus saja dia memeluk Kiki sambil cuba bertahan untuk tidak menangis.

            Masih terbayang lagi wajah Emran yang tersenyum mesra ketika berjanji yang dia akan menyayangi Syaqila selamanya. Syaqila menarik nafas. Dalam. Lama baru dilepaskannya. Dia sedikit tenang bila merasakan kemungkinan Emran yang sedang membersihkan diri kerana baru tiba di rumah. Maklumlah, mereka bertemu selepas Emran pulang dari kerja. Tentu saja badan terasa melekit dan tidak selesa.

Sorry Syg…dlm toilet tadi
Sleep well ok
Dream of me
Nite Syg :)

            Pesanan ringkas yang baru masuk di telefon bimbitnya itu membuatkan Syaqila kembali tersenyum. Sambil mengetuk perlahan kepalanya, Syaqila sempat berpesan kepada dirinya agar tidak terlalu mengelabah bila berhadapan dengan situasi begitu lagi.

            Tanpa berfikir panjang, Syaqila terus menutup lampu biliknya. Esok dia harus kembali semula ke pejabat. Sudah lama dia tidak bekerja. Dia tidak mahu mensia-siakan cuti tahunannya dengan bersedih lagi. Perasaan tidak sabar mahu bercerita dengan Amelia terasa meluap-luap. Syaqila tersengih keseorangan.

                                                            *          *          *

            Tidak menghiraukan langsung mata Zahir yang memandang, Syaqila terus saja bercerita dengan Amelia tentang pertemuannya dengan Emran, malam tadi. Amelia hanya mendengar tanpa berkata sepatah pun. Dia membiarkan Syaqila saja yang bercerita. Gadis itu kelihatan lebih bersemangat selepas bercuti selama seminggu.

            So, terasa sia-sia tak cuti lama-lama macam ni…?” tanya Amelia.

            “Ini semua Fiq punya pasal! Kalaulah dia tak buat cerita tentang Emran, mesti semangat aku tak jatuh teruk hari tu,” jawab Syaqila, cuba menyalahkan Fiqry di atas apa yang telah berlaku.

            “Hmm…hari tu kau yang beria-ia menegaskan Fiqry tu serba tahu. Dia kan ‘hero’ kesayangan kau!” tempelak Amelia.

            Syaqila mencebikkan bibir. Memang sebelum ini dia selalu memuji Fiqry di hadapan Amelia. Walaupun temannya itu tidak pernah percaya tentang kewujudan Fiqry, dan selalu pula menganggap Fiqry itu sebagai khayalannya semata-mata, namun Syaqila tetap bercerita dan terus memuji kesetiaan Fiqry yang sanggup menemaninya jika diperlukan. Mana nak dapat orang macam tu??

            “Aku rasa dia sengaja sabotaj aku la. Dia mesti cemburukan hubungan aku dengan Emran,” Syaqila menyuarakan metosnya.

            “Mengarut! Orang yang hanya wujud dalam khayalan mana boleh sabotaj orang yang wujud di alam realiti,” bidas Amelia.

            “Dia wujud, Amy. Cuma aku tak boleh nak tunjuk depan kau. Kalau boleh, dah lama aku bagi kau tengok. Handsome tau! Aku rasa kalau kau tengok dia, mesti kau jatuh cinta,” kata Syaqila sambil tersengih-sengih.

            Amelia menggelengkan kepala. Dia berlalu pergi meninggalkan Syaqila. Lagi lama dia melayan minah seorang ni, lagi kusut kepala otaknya nanti!

            Keceriaan Syaqila kekal sepanjang hari. Walaupun selalu marah-marahkan Zahir kerana sentiasa mengusiknya, namun hari itu Syaqila lebih bertolak-ansur. Dia menerima usikan Zahir dengan hati yang terbuka. Malah, dia pula yang turut serta dengan lelaki itu untuk mengusik Amelia pula.

            Sikapnya itu menimbulkan tanda tanya di hati Zahir. Namun, untuk menyibukkan diri dengan bertanya, umpama menyerahkan kepala di mulut harimau!

                                                            *          *          *

            “Aku pelik betul dengan sikap Qila hari ni. Ceria semacam!” Zahir memulakan perbualan ketika menemani Amelia untuk makan tengahari bersama-sama.

            “Orang tengah angau, macam tulah…”

            “Angau…?? Dia ada boyfriend baru ke…??” tanya Zahir.

            “Ish, kau ni! Kawan kita tu kan setia orangnya. Dia tengah angaukan boyfriend dia, si Emran tulah!”

            “Dengan boyfriend sendiri pun nak angau. Pelik betul minah ni,” ucap Zahir sambil mengeluh panjang.

            “Jangan risau. Tak lama tu. Adalah peluang kau nanti,” Amelia bersuara, bagaikan mengerti isi hati Zahir ketika itu.

            “Kau mengarut apa ni?” Zahir berpura-pura bertanya. Soalannya itu membuatkan Amelia tersenyum lebar.

            “Kau nak cakap sendiri ke, kau nak dengar aku cakapkan bagi pihak kau…?”

            Zahir mula menyuap makanannya ke mulut. Sekali lagi dia berpura-pura tidak mendengar apa yang dikatakan oleh Amelia. Gadis di hadapannya itu kini semakin giat tersenyum. Terasa seperti menelan pasir ketika makanan itu masuk ke dalam tekaknya. ‘Nampak sangat ke aku ada hati kat Syaqila..?’ hati Zahir berbisik tidak senang.

            Zahir mengaku, dia memang menyimpan perasaan terhadap gadis itu. Namun, dia sedar dirinya tidak layak untuk mendampingi Syaqila, apatah lagi menyimpan angan-angan untuk memiliki gadis itu. Dirinya hanyalah peon cabuk di pinggiran!

            “Hoi, berangan!”

            “Mak kau berangan, pisang berangan, eh berangan…ish, apa ni Amy?? Terkejut aku!” Zahir sempat melatah sebelum dia tersedar Amelia baru saja menyergahnya sebentar tadi.

            “Oh, kau suka usik Qila sebab minah seorang tu kuat melatah. Rupanya kau pun sama! Padanlah tu. Ada jodoh sangat,” Amelia berkata sambil menaik-naikkan keningnya.

            “Aku special case. Mana sama dengan dia. Dia punya melatah dah tahap pro. Aku ni amatur je,” jawab Zahir, kembali menyambung makan.

            “Zahir, kau tak nak cuba ke mengorat minah latah tu?” Tanya Amelia. Kali ini nada suaranya bertukar serius.

            Zahir memerhati raut wajah Amelia. Memastikan terlebih dahulu gadis di hadapannya itu benar-benar serius dengan pertanyaannya, sebelum dia menjawab. Serik asyik terkena je!

            “Dia mana nak pandang peon macam aku ni. Lainlah boyfriend dia, Engineer!” jawab Zahir agak emosi.

            “Ish, cinta kan tak mengenal rupa dan darjat. Apalah kau ni. Mengalah sebelum bertanding!” Amelia turut sama emosi.

            “Tadi kau juga yang kata, Qila tu setia dengan boyfriend dia. Kalau aku mengorat dia sekalipun, macamlah dia layan. Dia tu pandang aku kalau aku belikan apam balik untuk dia je…mengerti kamu?”

            “Dia setia. Tapi, aku berani kerat jarilah si Emran tu akan tinggalkan dia satu hari nanti,” Amelia bersuara penuh yakin. Semenjak mengenali Syaqila, memang nama Emran tidak pernah lekang dari mulutnya. Namun, seringkali juga dia mengadu perihal Emran yang selalu menyakitkan hati.

            “Tak baik kau cakap macam tu, Amy. Patutnya sebagai kawan, kita doakan yang terbaik untuk Qila,” Zahir cuba meluahkan pendapatnya. Walaupun dia sukakan Syaqila, itu bukan kayu pengukur untuk dia mendoakan kehancuran hubungan gadis itu dengan kekasih hatinya.

            “Ish, bukan aku doa yang tak baik. Masalahnya, Emran tu yang memang tak berapa nak baik! Qila ni nak kena tinggal baru nak tersedar. Bukan sekali dua Emran buat perangai. Buat perangai sebab perempuan. Lelaki apa namanya tu? Qila tu bendul. Senang-senang je dia nak tipu Qila. Kalau dengan aku jangan haraplah!” Amelia bersuara panjang lebar. Marah benar dia dengan sikap ambil mudah Emran terhadap Syaqila. Syaqila pula senang saja menerima semua alasan Emran tanpa usul periksa.

            “Sudahlah tu. Baik kita makan cepat. Waktu lunch dah nak habis ni,”pujuk Zahir, cuba meredakan kemarahn Amelia. Dia tahu benar akan keakraban Amelia dan Syaqila. Memang patut pun Amelia terasa hati dengan sikap Emran melayan temannya sebegitu rupa.
                                                            *          *          *
            “Sebagai hukuman kerana membuatkan saya kecewa hari tu, saya tak akan panggil awak untuk tempoh sebulan,” kata Syaqila sambil bermain-main dengan telefon bimbitnya. Fiqry yang berdiri di hujung katilnya tidak dipedulikan.

            “Saya terima hukuman awak, walaupun saya sedih. Asalkan awak gembira, awak hukumlah saya, Syaqila. Tapi, saya tetap nak ingatkan awak, apa yang Emran katakan pada awak tempoh hari, semata-mata nak menenangkan hati awak je. Dia tak maksudkan apa-apa pun. Macam yang saya dah beritahu pada awak sebelum awak jumpa dia dulu. Emran akan berkata tentang sesuatu yang melegakan hati. Dan terbukti, awak percayakan dia,” lembut saja Fiqry menuturkan kata-katanya. Dia tidak mahu menyakitkan hati Syaqila lagi. 

           Hampir seminggu Syaqila tidak memanggilnya. Dia hanya memerhati Syaqila dari kejauhan. Dia tidak berpeluang lagi untuk menghampiri gadis itu seperti yang pernah dilakukannya suatu ketika dahulu. Hari ini, bila Syaqila memanggilnya, dia dijatuhi hukuman pula. Syaqila tidak mahu memanggilnya untuk tempoh sebulan!

            Dia bukan bimbangkan tentang rasa rindu yang bakal wujud dalam diri. Namun, dia bimbangkan tentang rasa sedih yang bakal dilalui oleh Syaqila dalam tempoh beberapa hari lagi. Bagaimana dia mahu meyakinkan gadis itu tentang hal tersebut…?

            “Awak sentiasa boleh panggil saya bila-bila masa awak perlukan saya, Syaqila. Saya akan menjelma di hadapan awak, seperti selalu. Dua-tiga hari ni, jika awak terasa nak berbual tentang rasa hati, awak panggillah saya. Saya akan sentiasa menemani awak. Itu janji saya,” Fiqry menyambung semula kata-kata yang terhenti sebentar tadi. Melihat Syaqila hanya berdiam diri, membuatkan Fiqry yakin gadis itu benar-benar terasa htai dengannya.

            “Saya tak akan menarik balik hukuman terhadap awak. Ini keputusan saya. Dan ianya muktamad!” tegas Syaqila. Agak sedih mendengar kata-kata tulus dari lelaki itu. Namun, perasaan marah masih menguasai diri. Benci memikirkan andaian buruk Fiqry terhadap Emran.

            “Saya boleh anggap awak tak jatuhkan apa-apa hukuman jika awak perlukan saya,” Fiqry masih terus menawarkan diri.

            “Disebabkan saya sekarang sangat sibuk, jadi...awak tolong saya kira tarikh sebulan tu mulai hari ni, ye? Lepas sebulan, kalau saya tak panggil awak…anggaplah saya dah lupakan awak.”

            “Saya yakin awak masih perlukan saya. Bukan sebulan. Bukan seminggu. Malah, di saat ini juga awak masih perlukan saya. Tapi, awak ego. Awak tak nak mengakuinya. Saya faham, Syaqila. Saya akan sentiasa memahami awak,” Fiqry tersenyum mesra. Dia tahu apa yang keluar dari mulut Syaqila bukanlah datangnya dari hati. Namun, dia mahu Syaqila sedar sendiri akan sikapnya itu.



Post a Comment