They're My Best Buddies

Wednesday, 16 November 2011

Dia Dewa Hatiku - Bab 5


Sudah seminggu Syaqila bercuti. Berita tentang Emran yang didengarinya dari mulut Fiqry benar-benar mengecewakan. Cuba untuk berlagak ego dengan tidak menangis di hadapan Fiqry, Syaqila mencipta pelbagai alasan untuk menutupi kesilapan Emran.

            “Mungkin itu kawan pejabat dia,” Syaqila memberitahu dirinya sendiri. Namun, alasan itu belum cukup kuat untuk menguatkan semangatnya.

            Dia rasa benar-benar terganggu. Berkali-kali hatinya menafikan yang Emran mungkin berlaku curang. Namun, akalnya semakin lama semakin mengakui akan kebenaran kata-kata Fiqry. Walaupun tiada bukti tentang apa yang telah Emran lakukan, akalnya terus-terusan memikirkan lelaki itu memang berlaku curang terhadapnya!

            “Kalau kau terus begini, masalah tak akan selesai Qila. Kau kena kuat. Berdepan dengan Emran. Minta penjelasan daripadanya,” Amelia cuba menasihati Syaqila ketika temannya itu menelefon untuk bertanya khabar malam kelmarin.

            “Aku bukan tak kuat Amy. Aku cuma tak boleh nak terima hakikat jika benar Emran curang dengan aku,” rintih Syaqila dalam sedunya. Otaknya kembali memerah kenangan manis ketika di awal perkenalannya dengan lelaki itu.

            Syaqila bagaimanapun bersyukur kerana di dalam keadaan begitu dia masih boleh menyelesaikan kes salah laku Syakir di sekolah. Dia menguatkan semangat untuk bertemu dengan cikgu Syakir. Walaupun terbukti Syakir tidak bersalah, namun cikgu itu tetap mengambil peluang untuk memberi nasihat ‘percuma’ kepada Syakila dan adiknya.

            “Aku mesti bercakap dengan Emran. Aku tak boleh biarkan perasaan ni terus-terusan menyeksa aku!” putus Syaqila.

            Dia telah berfikir semasak-masaknya tentang perkara itu. Walaupun tiada kekuatan untuk menghadapi kemungkinan yang bakal berlaku, namun Syaqila lebih rela mengetahui kebenarannya dari menangis berhari-hari begitu.

            “Fiq…” panggil Syaqila sambil mengelipkan matanya sebanyak 3 kali. Dia perlukan lelaki itu. Mungkin dengan kata-kata Fiqry akan membantu semngatnya menjadi lebih kuat.

            “Saya datang!”

            Syaqila tersenyum melihat Fiqry yang sudah menjelma di hadapannya. Terasa ingin memeluk Fiqry untuk mengurangkan rasa beban di hati. Namun, akalnya segera menepis. Haram, Syaqila!

            “Awak kena makan Syaqila. Awak tak boleh berlapar macam ni. Kalau perut awak lapar, otak awak tak boleh berfungsi. Macam mana awak nak berfikir kalau otak awak tak berfungsi..?” Fiqry terus bersuara sebaik saja senyuman Syaqila lenyap di pandangan mata.

            “Saya dah makanlah. Saya panggil awak bukan sebab nak dengar awak cakap macam ni,” balas Syaqila, cuba menipu lelaki itu.

            “Awak tak boleh tipu saya, Syaqila. Awak lupa yang saya tahu semua perkara tentang awak..?”

            Syaqila terdiam. Dia melarikan pandangannya ke arah pintu bilik. ‘Kesilapan yang tak boleh dimaafkan. Menipu kepada orang yang serba tahu. Teruk betul kau ni, Qila!’ hati Syaqila mendengus.

            “Saya maafkan. Saya tak marah awak menipu. Saya tahu awak takde selera nak makan sebab peristiwa yang dah berlaku ni…” lembut Fiqry menjawab kata hati Syaqila.

            “Awak boleh dengar saya cakap dalam hati juga…?” tanya Syaqila. Dia mengerutkan dahi. Cuba mencerna kemahiran Fiqry yang langsung tidak terjangkau oleh akal fikirannya itu.

            Fiqry hanya mengangguk. Bukanlah dia berniat untuk menakutkan Syaqila, namun dia mahu gadis itu tahu bahawa antara mereka tiada apa yang harus dirahsiakan. Fiqry telah berjanji untuk setia menemani gadis itu di saat suka dan duka.

            “Kalau macam tu, lepas ni saya tak boleh cakap dalam hati lagilah ye..?” agak kebudak-budakkan Syaqila bertanya soalan itu. Fiqry tertawa.

            “Hmm…awak berhak untuk bercakap di dalam hati, mahupun secara langsung. Tapi, awak tak boleh berahsia daripada saya…itu saja,” jawab Fiqry tenang. Bagaimana harus dia menyatakan yang itu bukanlah perkara yang patut dibimbangkan oleh Syaqila.

            “Alahai, nanti susahlah saya nak protes hal papa dalam hati. Semua awak boleh dengar. Nanti mesti awak mengadu kat papa…”

            “Saya kan hanya wujud pada pandangan mata awak. Kewujudan saya ni tidak akan diketahui oleh sesiapa pun, termasuklah papa awak,” Fiqry menjelaskan. Dia nampak jelas raut wajah Syaqilan yang berubah lega.

            Syaqila cuba berbual-bual dengan Fiqry akan perihal adiknya. Cubaan untuk melupakan sejenak hal Emran yang menyakitkan hati. Fiqry yang memang telah sedia maklum akan hal Syakir itu, hanya mengangguk sambil tersenyum mendengarnya. Dia mengambil jalan mudah, berdiam diri dari terus mengaku bahawa dia tahu semua. Walaupun hakikatnya, Syaqila telah mengetahui akan hal tersebut, namun langkah itu sedikit sebanyak membuatkan Syaqila boleh terus bercerita dengan senang hati.

            “Saya nak jumpa Emran,” beritahu Syaqila tiba-tiba. Berita itu tidak mengejutkan Fiqry. Dia terus bersetuju, walaupun ada rasa gusar di dalam hati. Fiqry telah tahu rekasi Emran terhadap Syaqila nanti. Namun, untuk menegah gadis itu dari berjumpa dengan kekasih hatinya adalah perkara yang sia-sia.

            Syaqila menyatakan rasa kecewanya berkali-kali. Hinggakan dia sendiri tersedar yang dia asyik mengulangi ayat yang serupa. Namun, Syaqila amat berterima kasih kepada Fiqry kerana lelaki itu terus saja mendengar tanpa sebarang komen. Fiqry benar-benar memahaminya. Lelaki itu sedikit pun tidak menghalang niat Syaqila yang ingin bersemuka dengan Emran untuk meminta penjelasan. Pertama, penjelasan tentang hal berdiam diri lelaki itu selama hampir 2 minggu. Kedua, penjelasan tentang wanita yang bermesra dengannya, menurut kata Fiqry la!

            “Awak rasa apa agaknya alasan yang akan Emran bagi?” tanya Syaqila bagaikan tidak berfikir langsung tentang apa yang ditanyanya itu.

            “Sesuatu yang akan buat awak rasa lega. Dan awak akan percayakan dia,” jawab Fiqry tanpa berselindung.

            “Awak ni terlalu berterus-teranglah Fiq! Kan bagus kalau dia boleh legakan hati say. Dari asyik menyakitkan hati, lebih baik dia melegakan hati, kan?” bentak Syaqila geram. Dia tiba-tiba melenting dengan sikap jujur Fiqry itu. Walaupun dia tahu, Fiqry tidak akan membohonginya, namun jawapan itu benar-benar menyentap tangkai hatinya.

            “Saya cuma mahu awak lebih bersedia. Saya takde niat lain, Syaqila. Maaflah kalau saya dah buat awak marah…”

            “Takpe. Saya tak marah pun,” balas Syaqila endah tak endah. Hakikatnya, dia memang sedang marah!

            “Awak tak pandai menipu. Jadi, lebih baik jangan menipu.”

            “Suka hati saya nak menipu atau tidak. Hmm, awak pergilah dulu. Saya nak berehat. Kusutlah fikiran ni!” Syaqila sudah memberi kata putus. Mengarahkan Fiqry ‘pergi’ dari situ menyebabkan lelaki itu berasa sedikit hampa. Sudah seminggu dia menunggu Syaqila memanggilnya. Malang bagi Fiqry, dia tidak boleh datang sesuka hati menemui Syaqila seperti dulu.

            ‘Itulah susahnya bila dah pernah menjelma depan manusia. Kan dah susah! Nak jumpa dia pun kena tunggu dipanggil dulu.’

                                                            *          *          *

            “Betul saya ada keluar dengan perempuan lain. Tapi, dia tu sepupu saya. Salah ke saya nak keluar dengan sepupu saya sendiri?” Emran beralasan ketika ditanya tentang perihal gadis itu.

            “Sepupu awak yang mana? Selama ni awak tak pernah keluar dengan sepupu awak pun. Awak jangan nak tipu saya!” bentak Syaqila. Walaupun jawapan Emran itu sedikit-sebanyak melegakan hatinya, namun dia mahu tahu akan kebenarannya. Jika benar sepupu sekalipun, Syaqila mahu Emran jujur dengannya.

            “Perlu ke saya beritahu semua hal saya pada awak..? Saya bukan suami awaklah!” jawab Emran kasar. Dia berpaling dari terus memandang wajah Syaqila.

Memang benar dia ada keluar dengan seorang gadis seperti yang didakwa oleh Syaqila. Namun, gadis itu bukanlah sepupunya. Masakan dia mahu berterus-terang dengan Syaqila. Hubungannya dengan gadis itu baru saja berputik. Bila hubungan itu menjadi lebih serius, barulah dia akan berterus-terang dengan Syaqila. Dia akan meninggalkan Syaqila kerana perasaannya yang semakin hambar terhadap gadis itu.

‘Buat masa ini, biar aku pegang kedua-duanya dulu. Syaqila ni boleh jadi back-up,’ bisik hati Emran jahat.

“Jadi, siapa saya pada awak, Emran…?” nada suara Syaqila kembali rendah. Dia tersentak mendengar kata-kata Emran. Bagaikan tiada harga dirinya di sisi Emran.

“Sayang, awak kan girlfriend saya. Tapi, awak tak boleh kongkong saya macam ni. Saya tak selesa. Awak faham kan, Sayang…?” Emran turut merendahkan nada suaranya. Berlagak kesal dengan kata-katanya sebentar tadi. Cuba memancing perasaan Syaqila terhadapnya.

“Saya bukan nak kongkong awak. Tapi, saya tak selesa bila ada orang cakap-cakap pasal awak. Awak pun kenalah faham…”

“Baiklah, Sayang. Lepas ni kalau awak dengar lagi cerita tentang saya, awak abaikan je. Selagi awak ni girlfriend saya, tak akan ada perempuan lain yang saya pandang. Awak kan first-love saya..? Awak tahu sayang kat awak, kan?” Emran semakin galak memancing perasaan Syaqila. Ternyata gadis itu begitu mudah dipujuk. Nasib kaulah, Syaqila!

“Awak janji awak akan sayang saya sampai bila-bila…?”

“Saya janji!”

Syaqila menarik nafas lega. Dia tersenyum melihat Emran mengangkat tangan kanannya lagak berikrar. Lelaki itu telah berjanji kepadanya. Tak mungkin dia akan memungkiri janji. Lagipun, hubungan mereka bukan baru sebulan dua. Mereka telah berkawan semenjak dari zaman Matrikulasi lagi. Sesekali bergaduh tu kan adat bercinta!

“Sayang…” panggil Emran lembut. Dia masih terus berpura-pura di hadapan Syaqila. Mahu membuatkan gadis itu tersnyum bukanlah perkara yang sukar.

“Ada apa..?”

“Sepupu yang saya maksudkan tu, anak buah ayah saya. Buat masa ni dia menetap kat rumah kami. Dia baru je seminggu kat sini. Dia belum dapat rumah sewa lagi. Jadi, ayah saya pelawa dia untuk tinggal dengan kami sementara waktu. Sebab dia belum ada kawanlah yang menyebabkan saya bawa dia keluar malam tu. Bukannya saya sengaja nak keluar dengan dia pun…” Emran cuba mereka-reka cerita untuk membuatkan Syaqila percaya kepadanya.

“Hmm, saya tak kisah awak nak keluar dengan dia. Tapi, janganlah mesra sangat. Antara sepupu pun ada batasannya, kan?”

“Alahai, dia tu dah macam adik saya je. Awak cemburu ye..?” duga Emran. Terasa ingin menduga sejauh mana perasaan Syaqila terhadapnya.

“Mestilah cemburu! Awakkan boyfriend saya,” tegas Syaqila.

Okay. Kalau awak cemburukan saya, sayangkan saya, awak kena percayakan saya juga. Awak tak boleh nak buat perangai macam ni.”

“Saya bukan sengaja nak buat perangai. Dan saya bukannya tak percayakan awak. Awak tu…dah la tak nak contact saya beberapa hari. Bila saya call awak tak nak jawab. Hati saya tak tenanglah,” Syaqila cuba mengadu perihal hatinya. Mengharapkan agar lelaki itu memahami perasaannya.

“Saya tak perasaan handphone berbunyi. Selama ni mana pernah saya tak pedulikan call awak, kan?” Emran cuba memujuk. Sikap hipokritnya semakin menjadi-jadi.

Syaqila terdiam. Dia berfikir sejenak kata-kata lelaki itu. Memang benar Emran tidak pernah mengabaikan setiap panggilan telefonnya selama ini. Malah, lelaki itu juga kerap menghubunginya melalui khidmat Sistem Pesanan Ringkas. Hati Syaqila semakin pulih seperti sediakala. Dia tahu Emran memang jujur terhadapnya. Tapi, kenapa Fiqry menuduh Emran begitu?

“Sayang, kalau awak percayakan saya…awak tak sepatutnya dengar cakap-cakap orang tentang hal saya. Mungkin orang lain cemburukan awak…siapa tahu? Kawan-kawan awak tu mungkin sengaja nak tengok hubungan kita hancur. Takkanlah awak nak berpisah dengan saya semata-mata kerana cakap-cakap orang?” Emran tersenyum sinis ketika berkata sedemikian. Dia melihat wajah Syaqila yang bagaikan termakan dengan kata-kata manisnya. Ah, perempuan!

“Saya tak nak berpisah dengan awak…” perlahan Syaqila menuturkan ayat tersebut. Dia tiba-tiba terasa sayu mendengar kata-kata Emran. Tidak pernah dia membayangkan hubungan di antara mereka akan terputus di tengah jalan.

“Sudahlah. Janganlah sedih. Saya janji saya takkan tinggalkan awak. Kita dah janji nak kahwin, kan?”

Syaqila kembali ceria. Rupa-rupanya Emran masih ingat lagi akan perancangan mereka untuk berkahwin tidak lama dulu. Sayqila tersenyum mesra. Dia tidak sabar mahu berkahwin dengan lelaki itu. Indahnya jika dapat menjadi isteri kepada lelaki yang didambakan!

Post a Comment