They're My Best Buddies

Wednesday, 16 November 2011

Dia Dewa Hatiku - Bab 4


Selepas cubaan kali ketiga mendail nombor telefon bimbit Emran tidak berjawab, Syaqila terus saja menghempas telefon bimbitnya ke atas katil. Dalam hatinya merungut-rungut kerana Emran bagaikan sengaja mahu mengelak dari menjawab panggilannya.

            “Dia yang tuduh aku curang, dia pula yang nak merajuk. Benci!” Syaqila meluahkan rasa tidak puas hatinya di hadapan cermin. Tergambar di situ, bayangan seorang gadis berkulit hitam manis, berambut lurus yang agak lebat. Syaqila tersenyum melihat bayangnya sendiri.

            “Nanti kalau aku cari boyfriend lain, baru kau tahu Emran! Jangan ingat aku tak laku. Comel juga aku ni rupanya,” bebel Syaqila sambil membelek-belek wajahnya di cermin. Dia tersenyum senang hati.

            Syaqila kemudian mencapai majalah EH yang baru dibelinya petang tadi. Satu persatu helaian majalah itu diselak. Tiada satu topik pun yang menarik perhatian Syaqila. Dia kemudian mengulangi membelek majalah itu dari helaian pertama.

            Bunyi ketukan pintu menghentikan perbuatan Syaqila. Dia menoleh sambil meneka siapakah yang bertandang ke biliknya di waktu-waktu begini. Papa?? Syaqila lantas melompat turun dari katil sebaik saja nama itu terlintas di fikirannya. Agak kalut dia memulas tombol pintu biliknya. Dengan satu keluhan, Syaqila kembali meneruskan pembacaan yang lebih ke arah pembelekkan.

            “Kakak ni macam tak suka je tengok muka Syakir. Tak baik tau tarik muka macam tu. Berdosa!” Syakir bersuara setelah melihat perubahan wajah Syaqila sebaik saja terlihat wajahnya di muka pintu sebentar tadi.

            “Syakir nak apa ni..?” tanya Syaqila tanpa menoleh sedikit pun.

            “Syakir nak berbual dengan kakak, tak boleh ke..?”

            Syaqila duduk bersila menghadap adiknya yang masih berdiri di muka pintu. Dia kemudian mengarahkan Syakir masuk dan duduk di hadapannya. Syaqila terus bersikap prihatin sambil bertanyakan apa topik yang mahu dibualkan oleh Syakir. ‘Pasti ada perkara penting, kalau tak budak ni mana nak berbual dengan aku…’ detik hati Syaqila.

            “Syakir ada masalah kat sekolah…” Syakir memulakan perbualan. Menantikan reaksi kakaknya, membuatkan jantungnya agak berdebar. Namun, Syaqila tidak memberi sebarang reaksi. Dia sekadar mengangguk-angguk sambil berharap Syakir terus bercerita.

            “Minggu lepas ada aduan tentang kes salah laku. Syakir dituduh sebagai salah seorang yang buat salah tu. Cikgu nak jumpa papa. Kakak kena tolong Syakir,” sambil menundukkan kepalanya, Syakir terus bercerita. Dia berdoa agar kakaknya itu tidak akan melenting.

            “Kes salah laku apa..?” Syaqila bertanya, lembut. Syakir yang agak terperanjat dengan nada suara kakaknya itu segera mengangkat muka. ‘Biar betul kakak ni, selalu kalau aku buat hal, dia mesti mengamuk,’ hati Syakir berbisik penuh tanda tanya.

            “Err...kalau Syakir cakap, kakak jangan marah tau…”

            “Cakaplah dulu,” pinta Syaqila sambil cuba menahan rasa curiganya terhadap salah laku Syakir di sekolah.

            “Err…kawan Syakir baru-baru kehilangan handphone kat sekolah. Ada seorang cikgu yang jumpa handphone tu. Tapi, cikgu yang jumpa handphone tu bukan sekadar jumpa handphone. Ada benda lain lagi yang cikgu tu jumpa…”

            “Jadi, apa kaitannya dengan Syakir…?” tanya Syaqila agak kurang sabar.

            “Ada video klip lucah dalam handphone tu…”

            “Hah…???” Syaqila tertinggikan nada suaranya, menyebabkan Syakir terus berdiri sambil menjauhkan diri dari Syaqila sejauh yang mungkin.

            “Kak, dengar dulu. Video klip lucah tu memang kawan Syakir yang download. Tapi, dia edit balik video tu. Lepas tu pandai-pandai tulis nama geng kitaorang sebagai editor. Dengan Syakir sekali kantoi!”

            “Syakir memang buat juga,kan?” duga Syaqila.

            “Sumpah kak. Syakir tak buat. Tapi, sebab nama Syakir ada sekali dalam video tu, sebab tu cikgu fikir Syakir terlibat sekali. Lepas tu dia nak jumpa papa untuk sesi kaunseling. Kalau papa tak nak datang, dia nak buat aduan pada Pengetua sekolah. Kakak, tolonglah Syakir, kak…”

            “Kenapa gatal-gatal nak edit video tu..?? Tengok je tak boleh..??” tanya Syaqila geram. Dia menekankan suaranya, membuatkan Syakir hanya mampu terdiam.

            “Korang ni kan, kecil-kecil dah gatal. Mak ayah hantar pergi sekolah jadi pandai, tapi korang layan video lucah pula. Kerja orang bodoh je semua ni. Siapa yang ajar korang jadi macam ni..??” Syaqila kembali bersuara sambil cuba menahan ton suaranya agar tidak boleh didengari oleh papa mereka.

            “Kak, Syakir tak buat…” Syakir cuba pertahankan diri.

            “Kalau Syakir tak buat, takkan kawan Syakir tulis nama korang ramai-ramai..? Kakak tak percayalah. Mesti Syakir ni pun sama naik. Ish, budak ni..belajar tak habis lagi dah menggatal nak layan video lucah ye. Kalaulah papa dapat tahu…”

            “Demi Allah kak, Syakir memang tak buat. Syakir mengaku, Syakir ni tak la baik sangat. Tapi, Syakir tak pernah layan video lucah. Syakir cuma selalu dengar je kawan-kawan bercerita tentang video lucah yang diorang tengok. Syakir tak pernah tengok kak. Percayalah cakap Syakir, kak…” sayu kedengaran suara Syakir ketika dia cuba meraih kepercayaan Syaqila.

            Syaqila memandang raut wajah Syakir. Jelas adiknya bersikap jujur. Memang selama ini pun Syakir tidak pernah menipu. Cuma sikap Syakir yang suka bercampur dengan kawan-kawan yang berperangai tidak senonoh, menyebabkan Syaqila selalu saja berleter dengan adiknya itu.

            “Hmm, lepas tu Syakir nak kakak buat apa..?”

            “Jumpa cikgu Syakir…” perlahan, namun bunyinya jelas kedengan di telinga Syaqila. Dia mengerutkan dahinya sambil memikirkan permintaan Syakir itu.

            “Nanti kakak fikirkan,” tegas Syaqila memberi kata putus.

            Syakir tersenyum. Dia tahu Syaqila pasti akan membantunya. Memang siang tadi ketika di sekolah, dia sudah bergaduh besar dengan Norman kerana perihal video lucah itu. Bukan Syakir saja, malah dua orang lagi teman mereka yang secara tidak sengaja terlibat turut sama memarahi Norman kerana memandai-mandai menggunakan nama mereka sehingga terjadinya peristiwa tersebut.

            Syakir bertekad tidak mahu lagi bersahabat dengan Norman, walaupun sudah hampir 5 tahun dia bersahabat baik dengan lelaki itu.

                                                            *          *          *

            “Awak janganlah marah sangat adik awak tu. Dia tak bersalah pun dalam hal ni. Memang dia teraniaya…” lembut Fiqry memujuk hati Syaqila yang sedikit terganggu dengan perangai Syakir itu.

            “Saya tak tahulah dia tu bercakap benar atau tidak. Tapi, saya memang betul-betul kecewa dengan sikap dia. Macam mana saya nak beritahu pada papa..?”

            “Awak harus percayakan Syakir. Saya tahu dia tak bersalah. Awak percayakan saya tak..?”

            “Macam mana awak boleh tahu Syakir tak bersalah…?” Syaqila agak was-was dengan kata-kata Fiqry itu.

            Sebaik saja Syakir keluar dari biliknya sebentar tadi, Syaqila terus saja memanggil Fiqry agar datang menemaninya. Dia begitu runsing memikirkan hal Syakir. Apatah lagi hal Emran yang merajuk dengannya. Bertambah sakit hatinya!

            “Saya kan serba tahu,” jawab Fiqry lembut sambil tersenyum mesra.

            “Awak ni siapa sebenarnya…? Kenapa tiba-tiba awak datang dalam hidup saya? Lepas tu, awak mengaku awak tahu semua yang berlaku di sekeliling saya. Saya peliklah dengan awak ni. Awak ni manusia ke apa..?”

            Fiqry sekali lagi tersenyum. Dia tahu Syaqila berada di dalam emosi yang kurang stabil. Dia menghampiri Syaqila yang sedang duduk berlunjur di atas katilnya.

            “Masih terlalu awal untuk saya jelaskan siapa diri saya yang sebenarnya. Yang pasti, saya juga hamba Allah…” jawapan Fiqry itu benar-benar membuatkan Syaqila menjadi lebih tegang. Mesti dia ni bukan manusia!

            “Syaqila, tenangkan diri. Awak tak perlu bersikap macam ni. Dah lama saya perhatikan awak. Awak memang suka memberi tekanan pada diri awak sendiri. Sikap tu tak membawa keuntungan pun. Dengarlah cakap saya,” Fiqry bersuara tenang. Bertahun-tahun dia menjadi pemerhati Syaqila dari tirai jendela gadis itu. Memang sikap gadis itu sudah boleh dibaca olehnya. Setiap perubahan emosi pada Syaqila turut memberi kesan terhadapnya. Fiqry sendiri kurang mengerti mengapa perkara sedemikian boleh terjadi. Sebab itulah dia berhasrat untuk mengenali Syaqila dengan lebih dekat untuk merungkaikan persoalan yang telah lama bersarang di fikirannya.

            “Apa yang patut saya buat…?” tanya Syaqila meminta pandangan Fiqry.

            “Bantulah Syakir dengan apa cara sekalipun. Jangan biarkan papa awak tahu tentang perkara ni. Saya tak mahu hal ini akan memburukkan kesihatannya. Orang yang berpenyakit lemah jantung tak seharusnya dikejutkan dengan cerita seperti ini, kan?”

            “Macam mana awak tahu papa ada penyakit lemah jantung? Saya tak pernah beritahu pada awak pun,” Syaqila yang agak tersentak mendengar kata-kata Fiqry tentang papanya, segera bertanya. Dia memandang tepat wajah kacak Fiqry, menanti jawapan lelaki misteri itu.

            “Banyak lagi perkara lain tentang diri awak yang saya tahu, Syaqila. Jangan buat muka terkejut macam tu. Awak kena biasakan diri untuk berdepan dengan saya yang berpengetahuan meluas tentang diri awak dan persekitaran awak,” senyuman Fiqry melenyapkan rasa gusar di wajah Syaqila.

            Syaqila memikirkan sejenak tentang kewujudan Fiqry. Sebelum dia sedar tentang bayangan hitam yang selalu muncul di saat-saat dia sedang bersedih, dia selalu berbual-bual dengan Kiki, anak patung kesayangannya itu. Ya, mungkin ketika itulah Fiqry mendengar semuanya! ‘Jadi, Fiqry ni takde la tahu banyak sangat tentang hal aku. Dia tahu sebab dia dengar aku selalu mengadu dekat Kiki je,’ hati Syaqila berbisik senang.

            “Kalau macam tu, awak mesti tahu perihal Emran juga, kan? Kalau awak kata awak tahu sangat tentang hal saya, beritahu saya…apa yang Emran sedang buat ketika ni..?” Syaqila cuba menguji Fiqry. Raut wajah mesra Fiqry terus berubah mendung. Dia terdiam mendengar pertanyaan Syaqila.

            “Saya tak pasti awak cukup kuat untuk mengetahui tentang perbuatan Emran yang sebenarnya…”

            “Apa maksud awak..?” tanya Syaqila.

            “Saya takut kalau saya beritahu apa yang sedang Emran buat sekarang ni akan menyebabkan awak menangis,” balas Fiqry perlahan. Dia merenung wajah Syaqila. Gadis itu kelihatan terkesima.

            “Saya nak awak buktikan yang awak ni serba tahu. Takde kaitan dengan Emran. Jadi, soalan saya mudah…kalau awak tahu sangat tentang hal sekeliling saya, beritahu saya apa yang Emran sedang buat sekarang ni?” Syaqila mengulangi soalannya. Kali ini kedengaran agak kurang yakin.

            Fiqry lantas membelakangi Syaqila. Dia tidak sanggup menatap wajah kecewa Syaqila sebaik saja mengetahui sikap sebenar Emran terhadapnya nanti.

            “Dia sedang keluar dan bermesra dengan seorang perempuan. Sebab tu dia tak jawab call awak tadi…”

Post a Comment