They're My Best Buddies

Tuesday, 15 November 2011

Dia Dewa Hatiku - Bab 2


Bagaikan terkena serangan jantung, Syaqila mencengkam dadanya serta-merta. Suara itu datangnya dari jendela. Namun, tiada siapa kelihatan berada di situ. Syaqila yakin dia tidak bermimpi. Dia membalas pandangan dengan anak patungnya, walaupun dia tahu anak patungnya itu tidak bernyawa.

Syaqila berpura-pura mengalihkan pandangannya. Dia mahu mendengar suara itu lagi. Siapakah gerangan yang bersuara dan sudi mendengar segala keluhan hatinya itu..?

"Kalau dia nak kawan dengan kita, buat apa dia nak main sorok-sorok, kan Kiki?" Syaqila berbicara dengan anak patungnya. Dia berdebar-debar menunggu suara itu kedengaran lagi. Satu saat. Dua saat. Tiga saat. 

"Saya tak boleh nak tunjukkan diri saya pada awak. Nanti awak terkejut.."

Sepantas kilat Syaqila menoleh. Ada bayangan hitam yang tercegat di jendelanya. Namun, bayangan hitam itu kelihatan samar-samar. Syaqila pasti, itulah bayangan hitam yang sama yang pernah dilihatnya sebelum ini.

"Siapa awak..?" tegas Syaqila bertanya. Dalam ketegasan itu, terselit juga perasaan berdebar-debar.

"Saya kawan baru awak."

"Tunjukkan diri..!" perintah Syaqila. Dia agak geram bercakap dengan bayangan hitam yang tidak kelihatan jelas raut wajahnya.

"Awak janji awak takkan terkejut kalau saya tunjukkan rupa sebenar saya..?"

"Saya janji saya takkan terkejut," yakin Syaqila menjawab. Dia agak tertahan-tahan untuk bernafas. Cuba untuk membayangkan rupa sebenar bayangan hitam itu.

"Boleh saya masuk dalam bilik awak?" bayangan hitam itu perlahan-lahan menjadi semakin padu. Tidak lagi-lagi samar-samar seperti sebelumnya.

"Kenapa..?"

"Sebab saya tak boleh menjelma di bawah sinaran matahari," bayangan hitam itu masih tercegat di luar jendela, menanti kebenaran Syaqila untuk masuk ke dalam bilik gadis itu.

Syaqila mengerutkan dahinya. 'Dia ni apa sebenarnya..? Dah la muncul tiba-tiba. Lepas tu cakap tak boleh menjelma di bawah sinaran matahari pula. Vampire ke..?' hati Syaqila berbisik cemas. Dia merenung tajam bayangan hitam itu. Namun, perasaan takutnya beransur hilang. Dia melangkah menuju ke jendela, untuk menghampiri bayangan hitam itu.

"Baiklah. Awak boleh masuk ke dalam bilik saya. Tapi, awak kena keluar sebaik saja awak tunjukkan rupa sebenar awak. Awak tak boleh lama-lama dalam bilik saya. Nanti ayah saya marah.." kata Syaqila sambil memegang erat anak patung yang masih di tangannya.

"Baiklah. Saya setuju dengan permintaan awak..."

Dalam sekelip mata, bayangan hitam itu kini betul-betul berada di hadapan Syaqila. Jantungnya berdetak laju dan semakin laju. Dia merasa agak tidak senang dengan kehadiran bayangan hitam di dalam biliknya.

"Awak dah bersedia nak melihat rupa sebenar saya?" Entah dari mana suara itu muncul, Syaqila kurang pasti. Dia meneliti setiap inci bayangan hitam yang tidak bermuka, tidak bertangan, tiada apa-apa yang boleh dipanggil sebagai anggota badan.

"Sudah.." balas Syaqila teragak-agak.

Bayangan hitam itu tiba-tiba berputar-putar di hadapannya. Syaqila cuba menutup mulutnya sebelum sempat dia menjerit. Dia tidak mahu Syakir datang lagi mengetuk pintu biliknya.

"Nanti dulu!" jerit Syaqila tiba-tiba. Putaran itu terhenti secara tiba-tiba.

"Kenapa?" tanya bayangan hitam itu. Jika dia memiliki wajah, sudah tentunya wajahnya akan bertukar menjadi tertanya-tanya dengan perintah mendadak Syaqila itu.

"Err..rupa awak tak menakutkan sangat, kan?" tanya Syaqila perlahan. Dia menggigit jari telunjuk tangan kanannya. Dia tidak pasti kali ini benarkah dia bersedia untuk melihat rupa sebenar bayangan hitam itu.

"Saya tak boleh beri jaminan. Terpulang pada penerimaan awak. Kalau awak anggap rupa sebenar saya menakutkan awak, mungkin ia akan menakutkan. Kalau awak anggap sebaliknya, maka ia akan jadi sebaliknya.."

"Err..okay. Kalau macam tu, awak teruskanlah.."

"Pasti?"

"Ya..saya pasti," Syaqila menjawab sambil menganggukkan kepalanya.

Sekali lagi bayangan hitam itu berputar. Kali ini lebih laju dan Syaqila terasa angin yang terhasil dari putaran itu menganggu keseimbangan badannya. Dia berundur lalu bersandar di bingkai jendela. Menanti bayangan hitam itu muncul dalam keadaan rupa sebenarnya, membuatkan Syaqila merasa agak menyesal kerana terburu-buru begitu. Sebelum apa-apa terjadi, Syaqila sekali lagi menutup mulutnya.

Perlahan-lahan tangan Syaqila jatuh ke sisi badannya. Mulutnya terlopong melihat seorang lelaki yang muncul ketika bayangan hitam tadi menghilang. Ya Allah, sempurna sungguh ciptaan-Mu. Dia seorang lelaki yang amat elok rupa parasnya. Masakan Syaqila akan terkejut dengan rupa begini. Dia tidak terkejut langsung. Malah, dia kagum ada lelaki setampan itu berada di dalam biliknya kini.

"Saya menakutkan awak ke..?" sopan lelaki itu bertanya.

"Dengan rupa begini..?? Tak takut langsung. Awak pernah tahu tak rupa awak sebenarnya setampan ini..?"

"Saya tidak pernah diberitahu sebelum ini.."

"Okay. Kali ni awak dah tahu. Awak tak menakutkan saya langsung. Malah, kalau awak muncul di hadapan orang lain dengan rupa sebegini pun, awak takkan menakutkan mereka semua. Percayalah cakap saya. Err..awak boleh panggil saya Qila," panjang lebar Syaqila berkata sebelum memperkenalkan dirinya.

"Saya tak pernah berbual dengan sesiapa sebelum ini. Jadi, saya tak pernah tahu apa yang patut orang panggil saya," jawapan lelaki itu menimbulkan tanda tanya di hati Syaqila. Namun dia tersenyum. Beberapa nama kini telah tersenarai di kepalanya.

"Takpe..kalau macam tu, biar saya panggil awak..hmm…errr…Fiqry..setuju?"

"Awak suka dengan nama tu..?" tanya lelaki itu sebelum bersetuju dengan nama barunya. Dia memandang Syaqila yang masih tersenyum.

"Saya sangat sukakan nama tu. Kalau awak setuju, mulai hari ini saya akan panggil awak Fiqry," Syaqila bersuara riang.

"Saya gembira dapat buat awak tersenyum. Dua-tiga hari sebelum ni, saya nampak awak sedih je. Asalkan boleh buat awak terus tersenyum macam ni, awak boleh panggil saya dengan apa jua panggilan yang awak suka," balas lelaki itu, yang kini dikenali sebagai Fiqry.

"Saya sedih sebab boyfriend saya tuduh saya curang. Saya sayangkan dia. Tak mungkin saya akan curang. Tapi, dia tak faham.." suara Syaqila kembali sayu. Dia masih lagi terasa sedih dengan tuduhan Emran itu. Menuduhnya curang tanpa bukti yang kukuh.

"Qila, mulai saat ini..apa saja yang awak rasa awak nak luahkan..awak sentiasa boleh luahkan pada saya. Saya akan sentiasa berada disisi awak. Tak kira di mana jua awak berada. Awak sebut nama saya 3 kali dan kelipkan mata awak 3 kali, saya akan muncul di hadapan awak."

"Tapi, tadi awak cakap awak tak boleh menjelma di bawah sinaran matahari. Kalau masa tu saya ada kat tengah padang ke, macam mana saya nak panggil awak.." pantas Syaqila bertanya. Dia duduk di atas katilnya, membiarkan Fiqry terus berdiri.

"Untuk penjelmaan kali pertama saja saya tidak boleh muncul di bawah sinaran matahari. Lepas ni, tiada masalah lagi. Tapi, ada syaratnya.."

"Apa dia syaratnya..?"

"Awak tak boleh panggil saya kalau ada orang lain di sekeliling awak. Saya hanya wujud pada pandangan awak. Tidak pada pandangan orang lain. Saya tak nak awak dianggap gila bila bercakap dengan saya ketika orang lain tak boleh melihat saya. Awak faham, kan?"

Syaqila mengangguk tanda dia faham akan maksud Fiqry. Dia tersenyum lagi. Kali ini dia tidak akan keseorangan lagi. Dia sudah ada teman yang akan sentiasa menemaninya.

"Tapi, awak kena pergi sekarang. Sekejap lagi ayah saya akan balik. Nanti dia tahu awak ada kat sini, susahlah saya.."

"Baiklah. Saya akan pergi sekarang. Terima kasih sebab tidak terkejut dengan saya. Terima kasih atas nama baru saya. Saya akan datang lagi bila awak perlukan saya," balas Fiqry dan tanpa sempat Syaqila berkata apa-apa, lelaki itu telah hilang.

Syaqila berlari semula ke jendela. Dia mencari-cari kelibat Fiqry, namun tidak kelihatan di mana-mana. Hampa dengan keadaan itu, Syaqila cuba menenangkan hatinya sendiri. 'Fiqry akan datang setiap kali aku panggil dia. Hmm..aku kena cuba panggil dia malam ni. Kalau dia tipu aku, siaplah dia!' Syaqila tertawa dengan kata-kata hatinya itu.

Post a Comment