They're My Best Buddies

Tuesday, 15 November 2011

Dia Dewa Hatiku - Bab 1


Syaqila tersentak bangun dari baringannya. Sebentar tadi dia melihat sesuatu yang bergerak-gerak di jendela bilik yang terbuka luas itu. Dia yakin ada bayangan hitam yang tercegat di situ tadi. Namun, mata Syaqila tidak berkedip. Dia terus merenung jendela itu walaupun hatinya mula terasa berdebar-debar. Degupan jantungnya juga telah bertukar rentak. Semakin laju.

Perlahan-lahan dia bangun dan melangkah ke jendela itu. Tangannya menggigil ketika menyentuh bingkai jendela yang kini seperti sediakala. Tiada bayangan hitam yang muncul lagi. Sudah 3 kali Syaqila melihat peristiwa yang serupa itu sebelum ini. Apakah sebenarnya bayangan hitam itu? Mengapa dia muncul di saat hati Syaqila dilanda kesedihan..?

Syaqila beristighfar beberapa kali. Petang tadi dia bertengkar lagi dengan Emran. Ini bukan kali pertama Emran menuduhnya curang. Dan ini juga bukan kali pertama Syaqila menangis di atas tuduhan itu. Dia tidak pernah curang terhadap Emran. Setianya dia pada cinta mereka hanya Allah saja mengetahui. Sakit hatinya mengenang semula kata-kata yang dilemparkan oleh Emran. Lelaki itu begitu tegar menuduhnya dan tidak langsung memberinya peluang untuk mempertahankan diri.

"Kalau kau rasa ada lelaki lain yang lebih bagus dari aku, kau pergilah pada mereka. Jangan cari aku lagi. Aku tak suka nak berkasih dengan perempuan yang curang.."

Syaqila merengus kasar. Setiap kali bertengkar, pasti Emran akan berkata begitu. Memintanya beralih kasih kepada lelaki lain. Ingat kerja mudah, ke..?

'Dia ingat perasaan aku ni murah sangat..? Suka-suka boleh beralih kasih pada orang lain. Itu kerja orang yang tak berperikemanusiaanlah..!' hatinya membentak.

Dan di saat dia berbicara dengan dirinya sendiri, ketika itulah bayangan hitam itu muncul di jendela kamar tidurnya. Namun, tidak pernah jelas kelihatan raut wajah bayangan itu. Bentuk tubuhnya juga tidak dapat digambarkan. Ketika pertama kali Syaqila melihat bayangan itu, dia menjerit kuat sehingga menyebabkan beberapa jiran yang berhampiran mengintai dari sudut jendela rumah mereka. Syaqila segera berlari mencari adiknya, Syakir.

"Kakak ni suka berangan. Sebab tulah nampak benda yang bukan-bukan. Siang hari pula tu! Tak logiklah cerita kakak ni.."

Masih terngiang-ngiang lagi di telinganya kata-kata Syakir. Syakir mentafsirkan perbuatannya itu sebagai 'buang tabiat'. Adiknya itu juga berkali-kali menampar lembut kiri dan kanan pipinya, kononnya untuk menyedarkan dia dari lamunan. Namun, Syaqila yakin dia tidak mengelamun. Bayangan hitam itu memang betul-betul muncul di jendelanya.

Akhirnya, Syaqila terpaksa melangkah lemah untuk kembali ke biliknya setelah dia tidak berjaya meyakinkan Syakir tentang bayangan hitam itu. Dan peristiwa itu berlaku lagi beberapa minggu kemudian. Seperti kali pertama bayangan itu muncul, kali kedua itu juga membuatkan Syaqila menjerit kuat. Dan ketika iu, Syakir pula yang berlari mendapatkannya. Setelah dia menceritakan apa yang berlaku, Syakir hanya mentertawakannya. Sambil menggelengkan kepala, Syakir sempat menasihatkan kakaknya itu agar berhenti dari membaca novel sehingga larut malam.

"Kakak mesti asyik terfikirkan watak-watak dalam novel yang kakak baca tu. Sampai nampak macam-macam. Kalau ada nampak watak Edward dalam novel Twilight tu, panggil Syakir ye. Nak juga Syakir berkenalan dengan dia.."

Walaupun kata-kata Syakir itu merupakan satu sindiran, namun Syaqila tidak dapat mencari kata-kata untuk membalas. Dia bagaikan terpaksa mengakui mungkin ada benarnya kata-kata Syakir itu. Dan hari ini, kali ketiga dia ternampak bayangan yang sama, dia tidak menjerit lagi. Syaqila bertekad untuk mengetahui apakah sebenarnya bayangan hitam itu. Namun, tidak sempat dia mendekati, bayangan itu hilang begitu saja.

Syaqila mencapai teddy bear dari hujung kepala katilnya. Sambil memeluk erat anak patung pemberian arwah mamanya itu, dia menyanyi untuk menyenangkan hati.

"Kiki..kalaulah kau boleh dengar apa yang aku cakap, mesti aku tak rasa sunyi macam ni. Sekurang-kurangnya aku ada tempat nak mengadu, kan..?" sayu nada suara Syaqila ketika dia cuba mengadu resah hatinya kepada teddy bear yang dinamakan Kiki itu.

"Awak sentiasa boleh meluahkan rasa hati pada saya.."

Post a Comment